Categories
AGENDA NASIONAL

Pasangan kekasih cuba cederakan polis berdepan penjara tiga tahun

BANGI, 12 MAC: Remaja yang tular di media sosial apabila videonya melarikan diri semasa pemeriksaan polis sehingga seorang anggota polis terpaksa berpaut pada bonet hadapan kereta yang dipandunya sejauh 150 meter, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini.

Muhammad Asraf Zulkefli, 19, mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencederakan dan merosakkan motosikal milik anggota polis itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai majistret.

Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Asraf didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohamad Amirul Yahya seorang penjawat awam yang menjalankan kewajipan, di tempat letak kenderaan di sebuah restoran makanan segera di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi pada 10.30 malam, 9 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa melakukan khianat iaitu dengan sengaja merosakkan handle bar, ekzos, sport rim dan nombor pendaftaran belakang motosikal Mohamad Amirul sehingga kerugian RM1,060 di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan kedua mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, teman wanita tertuduh, Umiezatul Asyikin Nasrun, 20, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan Muhammad Asraf bagi kesalahan sama di tempat dan masa serupa.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 332 dan Seksyen 427 yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzan Mohd Nor menawarkan jaminan RM10,000 terhadap Muhammad Asraf sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan tertuduh pesalah muda di bawah 21 tahun.

Jumlah sama turut ditawarkan kepada Umiezatul Asyikin.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu masing-masing diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 12 April untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, tular di media sosial video rakaman orang awam menunjukkan detik cemas apabila seorang anggota polis terpaksa berpaut pada bonet kereta sejauh kira-kira 150 meter setelah pemandu kereta bertindak memecut kenderaan ketika polis ingin melakukan pemeriksaan dalam kejadian di Bandar Baru Bangi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar polis: Ahli perniagaan tidak mengaku bersalah

KAJANG, 13 MEI: Seorang ahli perniagaan yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar seorang anggota polis yang bertugas dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Covid-19 awal bulan ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bagaimanapun, K Kalaichelvan, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol, tidak berhenti semasa sekatan jalan raya dan membawa kenderaan tanpa lesen memandu, yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Bapa dua orang anak itu didakwa memandu kenderaan pacuan empat roda di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian Koperal Safwan Mohamad Ismail, 31, yang sedang menjalankan sekatan jalan raya di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), di sini, jam 2.10 pagi, 3 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44 (1) (B) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda minimum RM8,000 dan maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa tidak mematuhi isyarat yang diberi oleh seorang pegawai polis yang mengkehendakinya berhenti sebelum sampai di sekatan itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 dan sabitan kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh juga didakwa tidak memiliki lesen memandu yang membenarkannya memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Dia didakwa mengikut Seksyen 26 (1) Akta Polis dan boleh dihukum di bawah Seksyen 26 (2) akta serupa yang memperuntukkan denda tidak kurang RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat, menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Peguam Mohd Haijan Omar, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan rendah kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga yang menyara isteri serta dua anak yang masih kecil dan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan sebutan kes ditetapkan pada 18 Jun ini.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, ahli perniagaan itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berada di luar rumah di waktu, tarikh dan lokasi sama.

Di didakwa bergerak dari satu tempat ke tempat lain di dalam kawasan jangkitan seperti diwartakan dalam Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Dia didakwa mengikut Peraturan 3(1) yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan) (No 4) 2020.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Mohd Haijan merayu anak guamnnya dijamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada jam 2 pagi 3 Mei lalu, Koperal Safwan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan dipandu oleh tertuduh.

– BERNAMA