SHAH ALAM, 19 MEI: ?Tangan Wan digari di belakang. Lepas tu Wan dibelasah disepak di perut, badan, kepala dan ada juga anggota polis yang memijak kepala Wan.”
Ini pengalaman Fauzan, seorang peserta BERSIH 3.0 yang telah tampil ke hadapan untuk memberi bukti dan kenyataan tentang insiden keganasan polis semasa himpunan April 28 itu.
Fazuan antara lima peserta BERSIH yang telah memberi keterangan kepada Angkatan Muda Keadilan (AMK). Sayap parti itu sedang mengumpul bukti dan keterangan daripada peserta yang mendakwa dikasari polis semasa himpunan itu.
Menurut Fazuan, yang meminta hanya nama pertamanya disiarkan, beliau dan kawan lain sedang berjalan kaki ke Stesen LRT Masjid Jamek pada pukul 5.30 petang hari itu.
“Masa tu kami dah pun bersurai, dah berpecah nak balik. Bila sampai di Masjid Jamek kami nampak ramai yang dah kena tangkap, kena tendang, pukul dan macam-macam lagilah.
“Masa kelam kabut orang ramai berlari menyelamatkan diri tu lah, Wan kena tendang polis dari belakang dan jatuh.
“Bila Wan dah jatuh, Wan digari kebelakang dan lepas tu Wan dibelasah, disepak di perut, badan, kepala dan ada juga anggota polis yang memijak kepala Wan,” beritahu Fazuan ketika dihubungi TVS hari ini.
Menurut Fazuan, beliau juga telah diseret dengan menggunakan tali ke Dataran Merdeka.
“Wan dah tak boleh nak bangun tetapi dia orang seret Wan dengan tali ke Dataran Merdeka,” ujar Fazuan.
Ketika dalam perjalanan menuju ke Dataran Merdeka, Fazuan juga telah dipukul oleh anggota-anggota polis yang berada di sepanjang laluan itu.
“Memang cukup ramai polis yang pukul Wan. Bayangkan masa diseret dengan tali untuk dibawa ke Dataran Merdeka berapa ramai polis ada, kiranya nak sampai ke Dataran tu memang banyak kena ‘bayar tol’, tangan, kaki semua naik,” ujar Fazuan.
Fauzan mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur selepas dilepaskan daripada pusat tahanan di Pusat Latihan Polis (Pulapol).
“Dalam ‘medical check-up’ tu, kecederaan Wan pecah mata dalam macam darah beku, bengkak-bengkak di muka, luka di kening.
“Sampai sekarang Wan jadi semacam fobia dengan polis,” katanya lagi.
Pada May 17, Jawatankuasa pemandu BERSIH 3.0 menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi menyeru badan itu menyiasat keganasan polis semasa himpunan tersebut.
Manakala dalam satu sidang media pada May 6 oleh AMK, ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin memaparkan klip video dan gambar yang di ambil pada perhimpunan tersebut yang menunjukkan peserta BERSIH dikasari polis.
Ayman, 18, seorang lagi peserta yang sudah tampil memberi kenyataan kepada AMK dengan mendakwa beliau dimasukkan ke dalam wad akibat kecederaan selepas dipukul polis.
“Masa di Hospital Kuala Lumpur, Doktor tak masukkan saya ke wad cuba beri rawatan biasa sahaja.
?Tetapi bila dah sampai Kedah, saya dibawa oleh bapa saya ke Hospital Pantai dan Doktor telah memasukkan saya ke wad selama sehari untuk rawatan lanjut.
“Doktor beritahu saya mengalami kecederaan dalaman,” kata pemuda itu yang hanya mahu singkatan namanya disiarkan.
Menurut Ayman, beliau juga berada di kawasan Masjid Jamek apabila tiba-tiba diserangi sekumpulan anggota polis.
Ayaman mendakwa disepak dan ditumbuk di seluruh bahagian badan serta muka oleh anggota polis yang dianggarkan melebihi 20 orang.
“Masa tu ada sekumpulan orang di situ tiba-tiba menjerit suruh lari.
“Saya pun tergesa-gesa lari tetapi baju saya sempat ditarik oleh seorang anggota polis hinggakan terkoyak.
“Mula-mula saya disepak sampai jatuh dan kemudian saya ditumbuk dan disepak dengan ‘boot’ yang dipakai polis-polis itu di seluruh badan dan muka,” kata Ayman.
Shamsul Iskandar berkata, parti Pakatan dan NGO seperti SUARAM, Lawyers For Liberty dan Majlis Peguam sedang mengumpul kenyataan daripada mangsa seperti Ayman dan Fauzan.
Usaha tersebut bagi menyelaraskan tindakan udang-undang yang bakal diambil oleh mangsa terhadap Kerajaan Pusat dan polis.