Categories
EXCO SELANGOR

Khairuddin lepaskan pelumba Le Tour De Langkawi 2020

HULU SELANGOR, 11 FEB: EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman menyempurnakan pelepasan Petronas Le Tour De Langkawi (LTdL) 2020 yang bermula di Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Perlumbaan peringkat kelima akan berakhir di Ipoh membabitkan jarak 165.8 kilometer.

Perlumbaan lapan peringkat LTdL 2020 bermula 7 hingga 14 Februari meliputi jarak keseluruhan 1,145.9 kilometer merentasi sembilan negeri iaitu Sarawak, Terengganu, Pahang, Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Perlumbaan edisi ke-25 menampilkan 126 pelumba daripada 21 pasukan.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Koronavirus tidak jejas Le Tour De Langkawi

SHAH ALAM, 29 JAN: Aspek pencegahan susulan penularan wabak koronavirus 2019 menjadi keutamaan penganjur Petronas Le Tour De Langkawi (LTdL) 2020.

Ketua Pegawai Operasi LTdL Shahaizereen A Hamid berkata buat masa ini hanya satu pasukan dari China menarik diri daripada perlumbaan yang dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 15 Februari ini kerana bimbang penularan wabak itu, lapor Berita Harian.

“Secara rasmi satu pasukan sudah menarik diri semalam (kelmarin) disebabkan isu koronavirus. Kami masih menunggu pengesahan dua lagi pasukan dari China dan satu dari Hong Kong.

“Jadi, kami akan mematuhi arahan Kementerian Kesihatan supaya setiap pelumba (terutama) dari China diwajibkan membuat pemeriksaan kesihatan dan mengikut prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya.

Sebanyak tiga pasukan berpangkalan di China iaitu Hengxiang Cycling, Giant Cycling dan Ssois Mioge Cycling Team.

LTdL 2020 yang membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9 kilometer merentasi sembilan negeri bakal membuka tirai pada Majlis Pengenalan Pasukan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Kejayaan Le Tour de Langkawi melangkaui jangkaan

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Acara perlumbaan berbasikal tertua Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) melangkaui jangkaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam setiap aspek dan berjaya mencatatkan banyak peristiwa bersejarah sepanjang penganjurannya.

Dr Mahathir berkata penganjuran acara berkenaan selama ini berjaya memenuhi objektif asal pengenalannya, yakni bagi menampilkan Malaysia dan Langkawi sebagai satu destinasi pelancongan menarik di samping menjadi sebuah hub sukan yang hebat.

Katanya dengan tahap penganjuran yang setanding dengan lain-lain acara perlumbaan berbasikal di negara-negara Eropah, LTdL selama ini berjaya menarik kehadiran ramai pelumba terbaik dan pasukan Jelajah Dunia serta Pro Continental.

“Sejak pengenalannya 24 tahun lepas, 232 peringkat LTdL dianjurkan di Malaysia. Hasilnya, kini bukan hanya Malaysia dan Langkawi berdiri teguh di atas peta dunia sebagai salah satu destinasi yang ‘perlu’ dikunjungi, malah lain-lain daerah dalam negara yang dilalui oleh para pelumba ini turut mendapat manfaatnya.

“Dunia kini melihat panorama kawasan pinggir bandar dan desa di Malaysia, sama seperti tempat-tempat yang perlu dikunjungi di bandar dan kota,” katanya semasa berucap di majlis pelancaran Petronas LTdL di sini malam tadi.

Perdana Menteri seterusnya mengumumkan bahawa LTdL akan kembali ke Sabah dan Sarawak, selepas kali terakhir ia sampai ke negeri berkenaan pada 1997.

Katanya selepas sejak sekian lama, perlumbaan di Sabah dan Sarawak akan menambah lagi ‘keindahan’ dalam perlumbaan itu, apabila ia melalui kawasan yang memiliki landskap serta penduduk yang unik lagi menarik, di samping membangkitkan suasana ‘pengembaraan’ buat pelumba.

Dr Mahathir berkata selain menyaksikan juara dunia akan datang muncul dari LTdL, acara ikonik itu telah menyumbang kepada kelahiran juara bertaraf dunia seperti Anuar Manan, yang menjadi pelumba pertama Malaysia memenangi satu peringkat, dan memperoleh jersi hijau (Raja Pecut) pada 2010.

“Tahun ini kita juga menyaksikan kehebatan yang sama diulangi oleh Mohd Harrif Salleh, pelumba dari pasukan Terengganu Incorporated Cycling (TSG), pasukan Continental ranking tertinggi Asia.

“Saya percaya kejayaan-kejayaan ini telah menjadi sebagai inspirasi kepada ramai rakyat Malaysia. Acara berbasikal telah menjadi lebih popular kini di Malaysia.

“Dalam konteks ini saya ingin menggesa pihak penganjur agar merebut peluang daripada minat ramai terhadap LTdL ini, dengan mengambil inisiatif yang berkaitan bagi membangunkan sukan berbasikal sebagai sukan pilihan di kalangan belia,” katanya.

Perdana Menteri juga memuji pihak penganjur kerana memperkenalkan dua perlumbaan tambahan sebagai sebahagian daripada sambutan jubli perak dan usaha pembangunan pertandingan itu, yakni Criterium International dan Malaysia Classic – 2 new 1-Day races dalam kalendar UCI (Union Cycliste Internationale), yang akan membuat penampilan sulungnya tahun hadapan.

Perlumbaan Criterium International akan disasar bagi kategori pelumba Bawah-23 (U23) dengan lesen perlumbaan elit UCI, mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai tempat untuk mengenali juara acara berbasikal akan datang, manakala Malaysia Classic yang dianggap sebagai “Perlumbaan Juara-juara ” akan menampilkan saingan juara-juara kebangsaan dari seluruh dunia.

“Sudah pasti ini akan menjadi satu-satunya pertandingan yang seumpamanya dipertandingkan buat pertama kali, belum pernah dianjurkan dimana-mana tempat sebelum ini.

“Saya percaya kedua-dua acara ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai salah satu kuasa besar dalam arena lumba berbasikal di Asia Tenggara dan memberikan publisiti antarabangsa yang lebih luas kepada negara, melangkaui LTdL,” katanya.

Dr Mahathir turut menyambut baik kehadiran kembali ‘Title Sponsor’, yakni PETRONAS Bhd, yang bukannya nama asing dalam arena sukan Malaysia.

“Terima kasih seikhlasnya kepada semua penganjur terhadap kemurahan hati mereka dan kita berharap kerjasama yang serupa akan diberikan kepada LTdL di masa akan datang,” katanya.

Perlumbaan acara berbasikal terbesar Asia yang dinaik taraf kepada Professional Series (ProSeries) menampilkan empat tahap perlumbaan itu dijadualkan berlangsung dari 7 sehingga 14 Februari, meliputi jarak 1,095.7km melintasi laluan di Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Penang serta Kedah.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Persimpangan Bertingkat Simpang Ampat ditutup sementara esok

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 5 APR: Bersempena Le Tour De Langkawi persimpangan Bertingkat Simpang Ampat di Kilometer (km) 217 di Lebuhraya Utara-Selatan akan ditutup sementara, esok.

Menurut kenyataan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini, penutupan itu bagi memberi laluan kepada penganjuran acara berbasikal itu yang akan melalui Jalan Persekutan 1 Alor Gajah-Melaka.

Katanya, kenderaan dari arah Seremban dan Kuala Lumpur yang menghala ke Alor Gajah atau Tampin dinasihatkan supaya keluar melalui Plaza Tol Pedas Linggi.

“Manakala, bagi kenderaan dari selatan (Johor) yang menghala ke Alor Gajah atau Tampin dinasihatkan agar keluar melalui Plaza Tol Ayer Keroh,” katanya.

Pada masa sama, PLUS menasihatkan pemandu supaya merancang perjalanan dan menggunakan aplikasi mudah alih seperti Waze dan Google Maps.

Pemandu juga boleh mengikuti laman Twitter @plustrafik atau menghubungi talian PLUSLine di 1800 88 0000 bagi mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya PLUS.