Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MPOB tinjau kesesuaian MCT berasas minyak sawit tangani koronavirus

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam proses meninjau kesesuaian Medium Chain Triglyceride (MCT) berasaskan minyak sawit sebagai bahan antiviral meningkatkan sistem imun badan bagi melindungi diri daripada Koronavirus 2019.

Ketua pengarahnya, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata memandangkan usaha itu masih pada peringkat awal, lebih banyak kajian perlu dijalankan bagi mengesahkan keberkesanan antiviral tersebut.

“Usaha ini tidak berlaku dalam tempoh semalaman tetapi potensinya ada dan kita perlu menjalankan penyelidikan berterusan bagi tujuan itu.

“Tumpuan utama bukan setakat aspek pasarannya tetapi mencuba sedaya upaya membantu China dan dunia dengan memberi sumbangan termasuk dalam bentuk penyelidikan bagi mengenal pasti kaedah melindungi diri daripada penularan itu,” katanya.

Ahmad Parveez berkata kajian awal menunjukkan MCT berkemungkinan dapat memusnahkan lapisan virus.

Susulan itu, beberapa penyelidik berminat untuk mengenal pasti kesan antiviral dalam MCT dan MPOB akan turut bekerjasama rapat dengan mereka.

Selain itu, MPOB turut menyedari peningkatan permintaan untuk MCT berasaskan sawit itu di China sejak tahun lepas, terutamanya bidang makanan bagi tujuan perubatan khas dan penggantian makanan bertepung.

Beliau berkata, terdapat beberapa pakar China yang bekerjasama dengan MPOB untuk mendapatkan kajian kolaboratif berkaitan kesan tocotrienol sawit ke atas imuniti manusia yang kini dibincangkan secara meluas bagi mencegah penularan koronavirus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Stok minyak sawit turun 4.08 peratus pada November

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Jumlah stok minyak sawit Malaysia pada November 2019 menurun 4.08 peratus kepada 2.26 juta tan metrik berbanding 2.35 juta tan metrik yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Dalam kenyataan hari ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, stok minyak sawit mentah (MSM) merosot 12.75 peratus kepada 1.15 juta tan metrik pada November berbanding 1.32 juta tan metrik pada Oktober, manakala stok sawit diproses meningkat 7.07 peratus kepada 1.10 juta tan metrik berbanding 1.03 juta tan metrik sebelumnya.

Pengeluaran MSM merosot 14.35 peratus kepada 1.54 juta tan metrik pada November berbanding 1.79 juta tan metrik pada Oktober, manakala output isirung sawit turun 18.07 peratus kepada 362,640 tan metrik berbanding 442,604 tan metrik.

“Eskport minyak sawit merosot 14.64 peratus pada November kepada 1.40 juta tan metrik daripada 1.64 juta tan metrik pada Oktober, manakala eksport oleokimia menyusut 1.84 peratus kepada 286,254 tan metrik berbanding 291,607 tan metrik pada bulan lepas,” kata MPOB.

Eksport biodiesel pada semakan bulan semasa bagaimanapun melonjak 120.98 peratus kepada 44,153 tan metrik daripada 19,980 tan metrik pada bulan sebelumnya, manakala eksport hampas isirung meningkat 0.22 peratus kepada 221,772 tan metrik daripada 221,238 tan metrik.

Sementara itu, eksport minyak isirung sawit merosot 11.34 peratus pada November 2019 kepada 89,890 tan metrik daripada 101,382 tan metrik pada bulan sebelumnya, katanya.

– BERNAMA