Categories
SELANGOR

LiSS bantu optimumkan pelepasan sumber air

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membangunkan sistem LUAS ‘Intelligent Support System’ (LiSS) untuk membuat keputusan bagi mengoptimumkan dan memantau kuantiti serta kualiti sumber air.

Pengarahnya, Dato’ Ir Hashim Osman berkata, sistem ini membolehkan analisa data ramalan sumber air bagi tempoh 36 jam ke hadapan dilakukan serta mengawal pelepasan air daripada empangan.

“Menerusi LiSS, kita akan maklumkan kepada Air Selangor berapa banyak ia perlu dilepaskan. Kalau jumlah air dilepaskan melebihi had diperlukan kita akan tahu.

“LiSS ini akan dapat membantu mengimbangi sumber air negeri berdasarkan kadar permintaan kerana jumlah pelepasan takungan empangan-empangan akan dilakukan berdasarkan data-data semasa keadaan sumber air yang telah dianalisa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor dihoskan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Katanya, hasil data LiSS yang digunakan sejak 2018 ini juga boleh dikongsi bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH), Air Selangor dan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyempurnakan perasmian LiSS di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bekalan air Selangor mencukupi hadapi musim kemarau

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Negeri menjangkakan bekalan air untuk keperluan rakyat Selangor mencukupi walaupun berdepan musim kemarau sehingga April hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, paras air di tujuh empangan utama negeri berada di dalam keadaan sangat baik sekitar 95 hingga 100 peratus sehingga penghujung tahun lalu.

Katanya, status paras takungan air yang mencukupi untuk membekalkan sumber air ke Loji Perbersihan Air (LPA) menyebabkan tiada operasi pembenihan awan seperti musim kemarau pada 2014 dan 2015.

“Secara keseluruhannya, takungan kesemua empangan negeri adalah dalam keadaan baik dan mampu menampung keperluan LPA dan peemintaan 4,800 juta liter sehari sepanjang musim panas yang dijangkakan sepanjang Mac sehingga April ini.

“Kita juga sentiasa memantau paras bekalan air dalam empangan. Kita juga melaksanakan ‘off-river storage’ (ORS) dan Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) bagi membantu untuk mengekalkan kapasiti air diperlukan jika berlaku musim kemarau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor dihoskan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Katanya, walaupun berlaku beberapa insiden pencemaran yang menyebabkan henti tugas LPA, sumber air negeri masih terkawal dan bekalan air kepada rakyat tidak terganggu.

Berdasarkan Indeks Kualiti Air (IKA) diterbitkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor bagi 2017, Sungai Tengi dan Sungai Bernam direkodkan bersih dengan bacaan 82 serta 80.

Sungai Langat, Sungai Klang, Sungai Selangor, Sungai Sepang dan Sungai Buloh pula masing-masing merekodkan IKA sederhana tercemar sekitar 64 hingga 78.

Beliau berkata, hasil analisis IKA 2017 juga menyaksikan tiada sungai di kategorikan sebagai sungai mati di Negeri Selangor.

Dalam ucapan sama, beliau turut menggesa semua pihak untuk menjaga sumber air terutama bagi mengelakkan berlakunya pencemaran serta memaklumkan kepada pihak berkuasa secepat mungkin jika berlaku pencemaran.

Categories
SELANGOR

Kerja mitigasi bendung sisa minyak giat dijalankan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 MAC: Kerja mitigasi bagi membendung dan membersihkan sisa minyak yang dibuang ke dalam sebuah kolam takungan di Taman Eng Ann, Klang semalam sedang giat dijalankan.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, hasil siasatan dan maklumat diterima, sisa minyak itu dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sisa minyak ini bertakung di dalam sebuah kolam takungan dan juga longkang yang turut akan mengalir terus ke Sungai Klang.

“LUAS melakukan pensampelan air dan dihantar ke makmal untuk mengenal pasti jenis bahan buangan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, sebahagian daripada Sungai Klang di sini dikesan dicemari dengan bahan kimia yang masih belum dikenal pasti, dipercayai dilakukan pihak tertentu.

Sementara itu, Pengarah LUAS, Datuk Hashim Osman berkata, satu siasatan mendalam akan dijalankan.

“Pencemaran itu tidak memberi kesan kepada bekalan air kerana ia terletak di hilir Sungai Klang dan tidak berbahaya kepada manusia.

“Ia mungkin memberi kesan kepada hidupan sungai tetapi bergantung kepada jenis bahan kimia, yang belum kami kenal pasti, ” katanya.

Categories
SELANGOR

Giat warta rizab sungai Zon Perlindungan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 APR: Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang dalam usaha mewartakan rizab sungai sebagai Zon Perlindungan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, ketetapan itu diambil bagi melindungi sungai dan rizab dari sebarang gangguan kualiti, kuantiti, struktur dan persekitaran fizikalnya.

Katanya, pewartaan itu dilakukan di bawah seksyen 48 (1) Enakmen LUAS 1999 di seluruh negeri dan tiga buah sungai membabitkan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Damansara kini berjaya diwartakan.

Manakala, katanya, baki sungai utama dan anak sungai masih berada di pelbagai peringkat antaranya penyediaan pelan ukur, semakan pelan warta dan perlantikan juru ukur bagi menjalankan kerja ukur mengikut fasa yang ditetapkan.

Sungai Klang“Pewartaan rizab sungai ini merangkumi 50 meter kiri dan kanan tebing sungai. Melalui pewartaan ini terdapat beberapa sekatan dikenakan membabitkan halangan ke atas pembinaan struktur, penggunaan atau penyimpanan bahan kimia, perubahan kontur tanah sedia ada, halangan ke atas pembersihan atau penuaian sayuran termasuk penebangan pokok.

“Ia juga sebagai halangan ke atas pembuangan apa-apa bahan pencemar atau buangan,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Seri Andalas, Xavier Jayakumar.

Pada masa sama, Elizabeth memaklumkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang menyediakan inventori lengkap senarai premis berada di dalam atau berhampiran rizab sungai yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sungai.

“Kerajaan Negeri turut mengeluarkan arahan kepada semua PBT untuk menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap kilang atau premis yang menyebabkan pencemaran sungai,” katanya.

Selain itu, beliau berkata LUAS selaku agensi pengurusan sumber air negeri turut melaksanakan Pelan Pengurusan Sungai Bersepadu atau Integrated River Basin Management (IRBM) bagi lembangan sungai utama iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang.

“Pelaksanaan IRBM ini adalah selaras dengan Seksyen 46 (1) Enakmen LUAS 1999 di mana pelaksanaan pelan pengurusan bersepadu adalah bagi tujuan pemuliharaan dan pembangunan mampan mana-mana sumber air.

“Pelan-pelan IRBM ini mengandungi polisi-polisi yang merangkumi strategi yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak berkepentingan,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Kos bina ORS RM600,000, RM17 juta lagi bagi 2017

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 18 NOV: Bagi memastikan bekalan air di Lembah Klang sentiasa mencukupi, Kerajaan Negeri membelanjakan RM600,000 bagi membolehkan projek ‘Off River Storage’ (ORS) dijalankan di Kolam Kampung Hang Tuah.

Pemangku Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Nor Zamri Sondor, berkata Kerajaan Negeri turut memperuntukan RM17 juta kepada LUAS untuk menguruskan kolam-kolam terbabit.

“Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Selangor memperuntukan RM600,000 untuk membina projek kali ini di mana merangkumi pembinaan projek mendalamkan kolam dan membina kunci air yang memakan masa kurang sebulan untuk disiapkan.

mugshot“LUAS juga mengucapkan terima kasih kerana keyakinan yang diberikan Kerajaan Negeri apabila pada tahun hadapan RM17 juta diperuntukan untuk menguruskan kolam-kolam ini merangkumi pemasangan dan penyewaan pam-pam, operasinya, penyelenggaraan alur-alur, pembinaan muka sauk dan operasi pembenihan awan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada Majlis Perasmian ORS Kampung Hang Tuah di Bestari Jaya, semalam.

Jelasnya, peruntukan RM17 juta bagi tahun hadapan itu meningkat RM1 juta, berbanding RM16 juta peruntukan yang diterima pada tahun ini.

Katanya, selain menguruskan air yang terdapat di sungai, LUAS turut memainkan peranan menguruskan sumber air hujan dengan melaksanakan kerja-kerja pembenihan awan.

“Pada tahun ini kita membelanjakan lebih kurang RM4 juta untuk pembenihan awan. Kita bukan sahaja menguruskan air di sungai sahaja tetapi juga di atas,” katanya lagi.

Katanya lagi, ini membuktikan Kerajaan Negeri Selangor tidak hanya duduk diam tetapi sentiasa menjadikan isu bekalan air kepada pengguna sebagai keutamaan dengan menjalankan pelbagai ikhtiar bagi menambah sumber bekalan air di negeri itu.

-nR-

Categories
SELANGOR

ORS bekal 1,300 JLH air, mampu elak bekalan tercemar

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 18 NOV: Kaedah ‘Off River Storage’ atau ORS yang digunakan di Kolam Kampung Hang Tuah mampu membekalkan 1,300 juta liter sehari (JLH) memenuhi keperluan pengguna di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Pemangku Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Nor Zamri Sondor berkata, kaedah itu juga mampu mengelakkan air sungai tercemar memasuki tujuh kolam terbabit.

“Pada tahun ini sahaja kita telah gunakan sebanyak 33 buah pam dan di kolam ini sahaja dua pam dan di Kolam Hang Tuah 5 ada satu lagi dan boleh mengeluarkan air sebanyak 1,300 JLH.

“Hari ini kita berjaya menyiapkan ‘intake’ bagi membolehkan lebihan air Sungai Selangor masuk ke kolam ini dan seterusnya turut memenuhkan kolam-kolam lain yang bersambung dengan kolam ini.

mugshot“Menerusi ORS, sekiranya berlaku pencemaran, kita boleh tutup pintu itu untuk mengelakkan pencemaran masuk sekali gus menjamin air lebih selamat dan bersih,” kata Nor Zamri kepada SelangorKini pada Majlis Perasmian ORS Kampung Hang Tuah di Bestari Jaya, semalam.

Jelasnya, walaupun ORS mampu membekalkan air sebanyak 1,300 JLH tetapi pada masa ini kerja mengalirkan air melibatkan Kolam Hang Tuah dijalankan pada paras optima, 800 JLH dan ditingkatkan mengikut keperluan.

Katanya, ORS turut berperanan mengurangkan kebergantungan kepada empangan terutama apabila menjelang musim kemarau panjang.

“Apabila musim kering kita boleh pam air kolam ke sungai dan tidak lagi bergantung kepada empangan sepenuhnya seperti sekarang kita bergantung sepenuhnya kepada empangan Sungai Selangor dan Sungai Tengi. Contohnya pada 2014 paras air di empangan semakin susut dan memberi masalah untuk membekalkan air,” katanya lagi.

-nR-

Categories
SELANGOR

LUAS teliti punca pencemaran Sungai Selisek

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 10 NOV: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang mengenal pasti punca pencemaran air di loji pembersihan air (LPA) Sungai Selisek, Hulu Selangor apabila mendapati kandungan parameter Ammonia meningkat.

Pemangku Pengarah LUAS, Nor Zamri Sondor berkata, LPA Sungai Selisek di Hulu Selangor menghentikan operasi pada jam 9 malam semalam, namun beroperasi semula jam 6.00 pagi tadi.

“Penutupan sementara itu disebabkan oleh peningkatan parameter Ammonia dan juga bau di dalam air sungai.

“Walaubagaimanapun, operasi LPA telah dimulakan semula pada jam 6 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Zamri berkata, LUAS serta agensi-agensi terlibat sedang menjalankan siasatan punca sebenar henti tugas tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau mendakwa berkemungkinan punca pencemaran tersebut daripada ternakan kerana lokasi tersebut berhampiran dengan kawasan pertanian.

-nR-

Categories
SELANGOR

LUAS: Kapasiti empangan Sungai Selangor memberangsangkan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 JUL: Takungan air di empangan Sungai Selangor terus berada pada tahap memberangsangkan dengan 66.93 peratus atau 153.95 meter padu.

Menurut laman sesawang Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), taburan hujan di kawasan terbabit juga pada kadar 13.10 mm.

Bagi Empangan Batu, ia mencatat kadar takungan 63.16 peratus manakala Klang Gates pula mencatatkan paras empangan 55.14 peratus.

EMPANGAN SG SELANGORKolam Takungan Sungai Labu pula 49.65 peratus dicatatkan dan empangan Langat 74.06 peratus.

Selain itu, empangan Semenyih sebanyak 79.47 peratus manakala empangan Sungai Tinggi 73.13 peratus dan empangan Tasik Subang pula 71.03 peratus.

Reka bentuk dengan keluasan 400 meter di kaki, 800 meter panjang dan 110 meter tinggi, Empangan Sungai Selangor mampu membekalkan kira-kira 60 peratus air terawat ke Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

-nR-

Paras air empangan Sg Selangor konsisten, 68.55%

Walau El-Nino, takungan air di empangan Sunagi Selangor masih konsisten 68.55 peratus. Dalam masa sama proses pembenihan awan tetap dilaksana untuk menambah kapasiti air.

24 jeti haram di Sungai Sepang

24 jeti haram sekitar Sungai Sepang dikenal pasti dan akan dikenakan tindakan tegas.

Operasi pam air 24 jam, pastikan air cukup

Kerajaan Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sedang memaksimakan penggunaan air kolam alternatif di Bestari jaya melalui operasi pengepaman yang berjalan selama 24 jam.

Exco Belia, Sukan, Insfrastruktur dan Kemudahan Awam Dr Ahmad Yunus Hairi berkata langkah itu diambil sebagai persediaan sumber air menjelang musim perayaan.

Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri menyeru kepada semua pihak untuk sentiasa berhemah dan berjimat di dalam penggunaan air semasa musim perayaan ini.

Seminar air lombong perjelas kekeliruan

Kerajaan Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (Luas) telah mengadakan seminar Pemakluman Berkaitan Kualiti Air Kolam Alternatif Negeri Selangor bagi menerangkan maklumat sebenar berhubung kontroversi penggunaan air kolam di Bestari Jaya.

http://tv.selangorku.com