Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN: Lewat lapor kes harian Covid-19 tidak wajar berlaku

SHAH ALAM, 1 FEB: Kelewatan melaporkan kes harian Covid-19 tidak sewajarnya berlaku, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata tindakan itu menjadi punca peningkatan kes yang membimbangkan rakyat.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu telus, cepat dan tepat dalam melaporkan data harian kes Covid-19 agar rakyat tidak panik.

“Malah, kita sebagai wakil rakyat atau mana-mana pihak berkaitan boleh fikir tindakan seterusnya (bantuan) jika mereka berkongsi data dengan tepat,” katanya kepada SelangorKini.

Menurut Mohd Fakhrulrazi, beliau percaya bukan salah kakitangan KKM berhubung kelewatan itu tetapi mungkin disebabkan campur tangan politik.

“Saya tidak salahkan kakitangan itu sebaliknya mungkin campur tangan politik atau orang atasan yang beri arahan kurang jelas sehingga menjejaskan reputasi jabatan itu sendiri.

“Justeru, saya nasihatkan mereka terus bekerja seperti biasa dan profesional. Kita sentiasa menyokong jasa petugas barisan hadapan ini,” jelasnya.

Semalam, KKM berkata peningkatan mendadak kes pandemik melebihi 5,000 sejak tiga hari lalu disebabkan kelewatan kes dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) termasuk jangkitan tahun lalu.

Jangkitan Covid-19 kekal melebihi 5,000 kes tiga hari berturut-turut apabila merekodkan 5,298 kes semalam, Sabtu (5,728) dan Jumaat (5,725).

Categories
AGENDA NASIONAL

Lewat lapor kes punca jangkitan catat lebih 5,000 sehari

SHAH ALAM, 31 JAN: Peningkatan mendadak kes Covid-19 melebihi 5,000 sejak tiga hari lalu disebabkan kelewatan kes dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) termasuk jangkitan tahun lalu.

Ketua pengarah kesihatan bagaimanapun berkata Pejabat Kesihatan Daerah sudah mengambil tindakan wajar seperti pengasingan dan rawatan, pengesanan kontak rapat serta pengesanan kes secara aktif.

“Peningkatan jumlah jangkitan ini turut berpunca hasil saringan bersasar di tempat kerja, kontak rapat dan kumpulan berisiko tinggi yang dijalankan di beberapa negeri.

“Terdapat juga klinik dan hospital swasta yang lambat membuat laporan menggunakan Sistem Makmal Kesihatan Awam (Simka),” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan semua pihak supaya isu kelewatan laporan dapat ditangani dengan segera bagi membendung penularan pandemik.

Jangkitan Covid-19 kekal melebihi 5,000 kes tiga hari berturut-turut apabila merekodkan 5,298 kes hari ini. Semalam, Malaysia merekodkan 5,728 kes dan 5,725 pada Jumaat.