Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Beri semangat murid kembali sekolah, wakil rakyat agih bantuan tunai, beg

SHAH ALAM, 9 FEB : Wakil rakyat Selangor meneruskan usaha membantu keluarga kurang berkemampuan serta yang terkesan akibat Covid-19 antaranya melibatkan perbelanjaan kelengkapan sekolah.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata seramai 450 pelajar menerima bantuan tunai dan kelengkapan yang diagih secara berperingkat sejak Disember tahun lalu sehingga kini.


ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar turun padang menyampaikan bantuan sekolah kepada pelajar di kawasannya pada Disember tahun lalu. Foto Pejabat ADN Meru

“Daripada jumlah itu 300 pelajar terima wang tunai RM100 daripada MBI (Menteri Besar Selangor Pemerbadanan)  manakala 150 pelajar lagi menerima jumlah sama sumbangan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru.

“Bantuan masih diagihkan sehingga sekarang, kita harap inisiatif ini meringankan beban ibu bapa yang mungkin terjejas pendapatan untuk membuat persediaan anak mereka kembali ke sekolah,” katanya kepada SelangorKini.

ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata pihaknya baru selesai mengagihkan 400 beg Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) kepada pelajar yang memasuki sesi persekolahan darjah satu.

ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menyampaikan sumbangan kepada pelajar dalam Program Kembali Ke Sekolah anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Dewan Bandar Baru MPKS, Kuala Selangor pada 22 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Seramai 300 pelajar lagi menerima bantuan RM100 tajaan MBI. Kita harap sumbangan ini membuka semangat baharu kepada pelajar untuk meneruskan pembelajaran secara fizikal,” katanya.

Tahun ini MBI memperuntuk RM1.68 juta bagi menjayakan program berkenaan melibatkan seramai 16,800 pelajar di seluruh DUN.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bina asrama pekerja asing, atasi isu penempatan tidak tersusun

MERU, 14 DIS: Bangunan asrama pekerja warga asing bakal dibina di lokasi sekitar Meru bagi menjaga keselesaan penduduk tempatan, kata wakil rakyatnya.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata perbincangan bersama beberapa pengusaha antaranya Top Glove Sdn Bhd (Top Glove) sudah dilakukan dan dipersetujui.

“Meru berdepan masalah kebanjiran warga asing dan penempatan tidak tersusun memandangkan sudah jadi kawasan industri. Keadaan ini menyebabkan penduduk tempatan kurang selesa.

“Jadi kita syorkan syarikat besar bina penempatan khusus. Hasilnya beberapa lokasi sudah dikenal pasti dan pembinaan bermula tidak lama lagi. Langkah ini juga boleh atasi penyakit berjangkit yang boleh merebak penduduk setempat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada 49 mangsa ribut di sini.

Mohd Fakhrulrazi berkata beliau akan memastikan perniagaan kedai runcit atau restoran yang ada dalam asrama itu dikendalikan penduduk setempat.

Pada 30 Ogos EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim ketika sidang Dewan Negeri Selangor memaklumkan inisiatif bakal diperkenal di kawasan perindustrian baharu bagi membolehkan pelabur dan pengilang mengurus kebajikan pekerja dengan lebih sistematik.

Beliau berkata antaranya kebenaran membina asrama setempat yang bertujuan memusatkan semua pekerja kilang dalam kawasan industri itu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 20 pesakit terima bantuan RM5,000, tampung kos rawat

MERU, 14 DIS: Lebih 20 pesakit dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru menerima bantuan perubatan sehingga RM5,000 seorang.

Wakil rakyat Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar inisiatif menerusi Skim Peduli Sihat itu diberikan sepanjang tahun ini bagi meringankan beban pesakit.

“Kita terima lebih 30 permohonan namun selepas dikenal pasti ada yang tidak layak. Jadi kita minta pesakit yang tidak berkemampuan supaya membuat permohonan ini.

“Antara bantuan diberikan dalam bentuk ubat, peralatan seperti katil dan kerusi roda serta dialisis. Bantuan mengikut keperluan pesakit,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada 49 mangsa ribut di sini.

Skim Peduli Sihat diperkenalkan pada 2017 bagi membantu menampung perkhidmatan kesihatan golongan berpendapatan rendah termasuk kos ubat, rawatan dan perundingan.

Program ditambah baik tahun lalu yang memberi jaminan perlindungan kesihatan kepada 85,000 keluarga dan isi rumah bawah RM2,000 sebulan.

Setiap keluarga yang layak menerima rawatan asas berjumlah RM500 setahun manakala bagi individu bujang sebanyak RM200 setahun.

Selain membantu kos rawatan asas ahli Peduli Sihat yang meninggal atau hilang upaya kekal akibat kemalangan mendapat manfaat RM5,000, khairat kematian (RM1,000), penyakit kritikal (RM5,000) dan kematian semula jadi  (RM5,000).

Pada Ogos tahun ini Dato’ Menteri Besar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM42.5 juta untuk inisiatif Skim Peduli Sihat dalam mendepani krisis Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemegang kad Peduli Sihat yang dijangkiti Covid-19 atau meninggal dunia, waris mereka boleh menuntut insurans sehingga RM6,000.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

MBI agih tunai bantu 49 mangsa ribut di Meru

KLANG, 13 DIS: Seramai 49 mangsa ribut sekitar pekan Meru pada Jun lalu menerima bantuan tunai RM300 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hari ini.

Wakil rakyat Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata sumbangan mencecah RM15,000 mampu mengurangkan beban mangsa selepas mengeluarkan kos membaik pulih rumah.

“Kebanyakan mangsa merupakan golongan berpendapatan rendah (B40). Jadi mereka perlu dibantu supaya tidak merasa terbeban dengan kejadian yang menimpa,” katanya selepas menyerahkan bantuan berkenaan.

Turut hadir pemangku Eksekutif Kanan Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Nurul Hani Nadira.

Mohd Fakhrulrazi berkata pihaknya sebelum ini membelanjakan RM20,000 bagi membaiki segera kerosakan rumah berikutan mangsa memerlukan tempat berteduh.

“Pada masa sama kita turut bantu menerusi tabung bencana daerah. Semua mangsa menerima bantuan berbeza mengikut kerosakan dialami,” katanya lagi.

Kejadian pada 17 Jun lalu merosakkan hampir 80 kediaman sekitar Jalan Jambu, Taman Meru 3, Taman Desa Permai, Jalan Hamzah Alang, Kampung Budiman, Jalan Nanas dan Jalan Limau pada Jun.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Categories
ADN SELANGOR

Kolam tadahan di Jalan Paip dibina atasi banjir kilat

KLANG, 27 SEPT: Sebuah kolam tadahan di Jalan Paip akan dibina untuk tangani masalah banjir di Meru, kata wakil rakyatnya.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata peruntukan untuk membina kolam tadahan sudah diluluskan dan dijadual dibina dalam masa terdekat.

“Untuk peringkat awal ini tiga unit pam elektrik di Perepat diaktifkan untuk tangani banjir dan beroperasi sehingga keadaan kembali normal.

“Setakat ini tiada penduduk yang dipindahkan dan beberapa inisiatif juga diambil seperti pembersihan perparitan dilakukan supaya air mengalir,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Fakhrulrazi memaklumkan banjir kilat yang berlaku semalam melibatkan beberapa kawasan antaranya Kampung Budiman, Taman Daya Maju, Jalan Teratai, Jalan Cempaka, Jalan Haji Abdul Manan dan Taman Meru Utama.

“Punca banjir disebabkan aliran terlampau banyak daripada kebiasaan sehingga mengakibatkan banjir kilat yang agak teruk.

“Air naik di kawasan yang rendah dan di kawasan pembangunan yang menyukarkan air mengalir ke sungai,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Pusat seni kraf dibuka di Meru, pasar produk tempatan

SHAH ALAM, 24 SEPT: Sebuah pusat seni kraf diwujudkan di Meru bagi mengumpul dan memasarkan produk tempatan, kata wakil rakyatnya.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata pusat berkenaan ditubuhkan dengan kerjasama Pusat Wanita Berdaya (PWB) Meru dan seorang pengusaha kraf dari Jalan Jambu.

“Kita juga sedang berusaha untuk membantu mereka yang terlibat bagi menambah pendapatan di samping memperkenalkan seni dan budaya kepada warga tempatan serta asing.

“Usaha ini mengangkat hasil seni warga Meru ke peringkat negara dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Menurut beliau, beberapa produk hasil kraf krusye atau mengait warga Meru berjaya memasuki pasaraya utama tahun lalu antaranya Isetan dan Suria KLCC.

Pereka kraf yang berminat boleh mendapatkan maklumat melalui platform berikut:

Telegram – https://t.me/pusatkhidmatrakyatdunmerun42
Facebook – PWB Meru N42
Instagram – https://instagram.com/pebs_dunmeru?utm_medium=copy_link
WhatsApp – https://chat.whatsapp.com/F23LJ58nTaqCBJFDEYPKvC

 

Categories
ADN SELANGOR

ADN desak tutup kilang punca lonjakan kes Covid-19

KLANG, 8 JULAI: Wakil rakyat Meru mendesak pihak berkuasa menghentikan sementara operasi kilang yang dikenal pasti menjadi punca penularan kes Covid-19.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata tindakan tegas tidak boleh dilengahkan meski sektor terbabit memainkan peranan penting kepada ekonomi negara.

“Saya merayu dengan sepenuh hati khususnya kepada kerajaan supaya dapat tutup sementara kilang yang dikesan masih beroperasi walaupun ada kes Covid-19 membabitkan pekerja.

“Ia bukanlah untuk tempoh yang lama tetapi (dalam tempoh) tertentu bagi memastikan wabak berbahaya ini tidak merebak kepada komuniti,” katanya selepas meninjau kilang Top Glove di sini hari ini.

Beliau menegaskan nyawa rakyat perlu diutamakan berbanding menjaga kepentingan individu atau syarikat yang ingin meraih keuntungan.

Pada 30 Jun, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 91 peratus kluster membabitkan tempat kerja dikesan di negeri ini sepanjang Jun.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan 80 peratus meliputi kluster perkilangan manakala 11 peratus lagi kluster tapak binaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Makan bubur, bekas askar kibar bendera putih dibantu wakil rakyat

KLANG, 5 JULAI: Empat sekeluarga hanya menjamah bubur nasi selama beberapa hari untuk meneruskan kehidupan sebelum mereka memutuskan untuk mengibar bendera putih.

Md Sani Mohamad, 69, yang menyara isteri dan dua anak berusia sembilan dan 10 tahun dengan mengambil upah membuat kerja kampung hilang pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bekas askar itu juga terpaksa menebalkan muka dengan berhutang di kedai runcit milik penduduk keturunan Acheh untuk memperoleh barangan keperluan asas.

“Sejak PKP, saya tiada pendapatan kerana orang kampung tidak panggil kerana khuatir Covid-19 merebak. Akibat tiada pendapatan, saya tidak mampu beli lauk. Isteri hanya masak bubur nasi demi kelangsungan hidup.

“Apabila beras habis, saya terpaksa berhutang membeli beras dan lauk di kedai berhampiran. Kadangkala pemiliknya beri secara percuma,” katanya kepada Selangorkini.

Mesra dengan panggilan Wak Sani, beliau menjelaskan tindakan mengibar bendera putih adalah pilihan terakhir demi memastikan mereka sekeluarga tidak kebuluran.

“Sebelum letakkan bendera putih, saya ada pergi ke beberapa tempat yang meletakkan makanan percuma tetapi semuanya habis.

“Saya tiada pilihan dengan mengibar bendera putih dan terkejut apabila menerima kunjungan wakil rakyat Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar,” katanya kepada Selangorkini.

Md Sani yang menetap di Jalan Paip, Meru mengetahui kempen kibar bendera putih melalui beberapa jirannya.

Sementara itu, Mohd Fakhrulrazi ketika dihubungi berkata pihaknya membantu lima keluarga yang mengibar bendera putih akibat pendapatan terjejas sejak PKP dilaksanakan.

“Mereka mahu bekerja tetapi tidak dibenar kerana pandemik Covid-19. Bukan sahaja tiada pendapatan tetapi terputus bekalan makanan kerana tidak bekerja.

“Selain keperluan makanan, ada keluarga yang diberikan susu formula, lampin pakai buang dan ubat serta wang ringgit,” tambahnya lagi.

Kempen bendera putih dimulakan di media sosial bagi membantu golongan susah dengan mengibarkannya di rumah jika tiada bekalan makanan.

PKPD dikuat kuasa membabitkan di 34 mukim di lapan daerah di negeri ini selama 14 hari bermula kelmarin hingga 16 Julai.

Categories
SELANGOR

Mangsa ribut di Meru lega bumbung rumah siap dibaiki

SHAH ALAM, 28 JUN: Ribut yang membadai beberapa kawasan sekitar Meru baru-baru ini meninggalkan kesan kepada penduduk apabila kebanyakan mereka masih terkejut dengan bencana itu.

Yahya Rakiming Hassan, 54, yang tinggal di Jalan Limau berkata kejadian pada Khamis lalu, sekitar jam 3 petang menerbangkan atap zink ruang tamu kediaman dan dimasuki air.

Namun bapa kepada empat anak itu bersyukur tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa menimpa keluarganya termasuk penduduk berhampiran.

“Kami sekeluarga trauma sebab sebelum ini kalau hujan lebat dan angin kencang sekalipun, rumah tidak rosak tetapi kejadian kali ini bumbung terbang sampai ke rumah jiran sebelah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau lega kerana struktur rumah yang mengalami kerosakan kecil segera dibaiki dengan bantuan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

“Kerja baiki keroskan siap dalam tempoh kurang tiga hari. Saya tidak mampu menanggung kos pembaikan kerana pendapatan sebagai jurukimpal terjejas sejak tiga bulan lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Perasaan sama dikongsi seorang lagi mangsa, Syahrul Nizwan Ahmad Husni, 35, yang berkata kejadian secara mengejut itu menyebabkannya kerugian hampir RM1,000.

Bumbung rumah Syahrul Nizwan Ahmad Husni yang siap dibaiki

“Ini kali pertama angin kuat sampai bumbung tercabut. Dulu di belakang rumah saya ada ladang kelapa sawit jadi angin kurang, tetapi sekarang pemilik sudah bersihkan dan tempat itu lapang.

“Bila fikir semua memang sukar nak lupakan peristiwa tersebut. Saya bimbang kalau kejadian sama berulang, namun berharap tidak berlaku apa-apa lagi selepas ini,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Khamis lalu, beberapa rumah di sekitar Jalan Jambu, Taman Meru 3, Taman Desa Permai, Jalan Hamzah Alang, Kampung Budiman, Jalan Nanas dan Jalan Limau mengalami kerosakan termasuk bumbung tercabut selain dihempap pokok.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Meru agih lebih 130 pek makanan asas

SHAH ALAM, 5 JUN: Lebih 130 pek barangan dapur diagih kepada keluarga kurang berkemampuan dan individu yang sedang menjalani kuarantin di sekitar Meru setakat ini.

Wakil rakyatnya Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata bantuan makanan Covid-19 disalur sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi meringankan beban golongan berkenaan.

“Bantuan seperti beras, minyak masak, tepung gandum, bihun, sos cili dan gula diberi mengikut keperluan keluarga terbabit berdasarkan maklumat yang diperoleh.

“Sumbangan disampaikan dari rumah ke rumah atau pemohon hadir sendiri ke pejabat pusat khidmat rakyat manakala mereka yang dikuarantin, bekalan diletakkan di pintu rumah bagi mengurangkan interaksi fizikal,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, beliau mengingatkan individu yang mahu mendapatkan bantuan supaya memberi maklumat jelas bagi memudahkan urusan pengagihan sekali gus mengelak keciciran.

Mohd Fakhrulrazi turut mempelawa mana-mana badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta mahupun individu untuk menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program berkenaan.

Berikut disertakan syarat kelayakan memohon bantuan tersebut:

1. Pengundi DUN Meru
2. Penduduk atau pemastautin sah DUN Meru
3. Mempunyai surat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh kuarantin

Untuk pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi pusat khidmat rakyat Meru di talian 03-33920863 atau 01169669086.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir 2,000 penduduk Meru sertai saringan percuma Covid-19

KLANG, 28 MEI: Penerimaan penduduk Meru terhadap Saringan Komuniti Covid-19 menggalakkan apabila lebih 2,600 individu mendaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata mereka beratur seawal jam 8 pagi untuk menyertai program secara percuma anjuran Kerajaan Negeri.

“Hampir 2,000 individu sudah disaring setakat jam 2 petang ini dan jumlahnya mungkin melebihi jumlah berdaftar kerana ramai yang datang secara terus.

“Perjalanan program juga lancar kerana peserta tidak mengambil masa lama untuk selesai disaring” katanya selepas meninjau program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Beliau turut menyeru seluruh masyarakat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Ini satu-satunya ikhtiar paling berkesan untuk mengekang penularan jangkitan kerana hanya diri kita sendiri mampu mengubahnya.

“Jika anggap perkara ini remeh, kita bukan sahaja risiko diri tetapi membahayakan nyawa ahli keluarga. Harus diingat, kesilapan kecil boleh penyebab kematian,” katanya lagi.

Bermula 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan saringan percuma di 56 DUN.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat buka permohonan bantuan makanan kepada penduduk Meru

SHAH ALAM, 9 FEB: Penduduk Dewan Undangan Negeri  (DUN) Meru yang terputus bekalan makanan akibat pandemik Covid-19 diminta memohon bantuan menerusi pusat khidmat rakyat kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Negeri, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata pihaknya memfokuskan bantuan kepada keluarga berpendapatan rendah, mempunyai tanggungan ramai, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.

“Kami menyediakan bantuan makanan kepada penduduk yang benar-benar terputus bekalan makan. Justeru, kami akan hubungi pemohon yang layak.

“Biarpun sumbangan terhad, saya akan berusaha pastikan semua yang memohon terima bantuan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Menurut Mohd Fakhrulrazi, pemohon perlu memberikan maklumat seperti nama, nombor MyKad, nombor telefon, gambar kad OKU dan penyata gaji sekiranya ada ketika membuat permohonan.

“Hantar maklumat ke www.wasap.my/+601169669086/pkpmeru atau cari pautan borang https://forms.gle/a115QJVtNpRvn4kN7.

“Kepada pihak perseorangan, swasta atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin sama-sama membantu, penyertaan anda amat dialu-alukan,” katanya.