Categories
NASIONAL SUKANKINI

FMLLP sedia bantu FAS isu rasuah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 FEB: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) komited menawarkan bantuan kepada Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dalam menangani isu rasuah berkaitan persatuan berkenaan.

Dalam kenyataannya, FMLLP berkata, pihaknya bersedia bagi tujuan itu sekiranya FAS memerlukannya.

“Secara dasarnya, FMLLP bersetuju atas tindakan pantas FAS dalam membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dalam pertemuan antara kedua pihak, FMLLP dan FAS juga bersetuju untuk tidak memberi sebarang komen atau menimbulkan sebarang spekulasi sehingga SPRM menyelesaikan siasatan berhubung isu berkaitan,” katanya.

Satu pertemuan di antara Presiden FAS, Datuk Posa Majais bersama wakil pengurusan pasukan Sarawak bersama Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam serta Penolong Setiausaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Abang Zulkarnain Abang Abdurahman dan Ketua Unit Integriti FAM, Osman Abu Bakar diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan, semalam.

Dalam pertemuan itu, FAS menjelaskan situasi sebenar berhubung isu berbangkit termasuk laporan dibuat kepada SPRM.

Sebelum itu, seorang pemain pertahanan dan tengah pasukan Liga Perdana itu serta seorang bookie ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kerana mengatur perlawanan.

Mahkamah Majistret Kuching membenarkan permohonan reman dikemukakan SPRM di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Portia Tham Ong Leng terhadap tertuduh iaitu pemain pertahanan, Maswandi Zakaria, 29 dan pemain tengah, Mohd Hafiz Abu Bakar, 28, serta bookie, Mohamad Zaiman Rosli, sehingga 21 Februari ini.

Pada 11 Februari lalu, FAS memulakan siasatan selepas Sarawak tewas kepada Felcra United 2-3 walaupun mendahului lawan 2-0 pada separuh masa pertama dalam perlawanan liga, 10 Februari lalu.

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Liga Perdana: Sabah, MISC-MIFA menang

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 FEB: Sabah mengutip tiga mata dengan mengalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah, malam tadi.

Pasukan tuan rumah mendahului lawan pada minit ke 16 hasil gol Maxsius Musa dengan memperdaya penjaga gol, Willfred Jabun.

Dalam separuh masa kedua, Sabah terus garang dengan serangan berterusan bagi mengancam PDRM.

Skuad bimbingan Jelius Ating mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua dijaringkan pemain import dari Korea, Heo Jae-nyeong (m67).

Kedudukan kekal hingga tamat perlawanan dan selepas tiga perlawanan, Sabah menduduki tangga teratas Liga Perdana dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri.

Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, MISC-MIFA menundukkan Terenganu 2 1-0.

Gol pasukan tuan rumah dihasilkan penyerang import Brazil, Elizeu Batista, pada minit ketujuh.

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Liga Perdana: TFC II, Sarawak kongsi mata

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA TERENGGANU, 6 FEB: Sarawak berjaya mencuri satu mata apabila seri 1-1 dengan Terengganu FC II (TFC II) dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.

Gol jaringan Bobby Gonzales pada minit akhir perlawanan menafikan kelebihan pasukan tuan rumah bagi mengutip mata penuh di hadapan penyokong sendiri.

TFC II bermula dengan garang apabila mendahului pasukan pelawat seawal minit pertama melalui Akanni Sunday Wasiu yang menolak bola tepat ke dalam gawang.

Kelebihan gol itu memberi keyakinan kepada skuad Mustaffa Kamal Abdul Wahab yang mengasak dengan beberapa percubaan bahaya ke pintu gol lawan dikawal Mohd Iqbal Suhaimi.

Mohd Iqbal juga menafikan percubaan pemain import TFC II dari Haiti, Sebastian Thuriere (m22) yang menyepak kencang dari luar kotak penalti.

Ketinggalan dengan satu gol, Sarawak menggandakan percubaan dalam separuh masa kedua melalui barisan penyerangnya.

TFC II nyata hampa apabila asakan berterusan pasukan kendalian Ian Gillan membawa padah dengan jaringan Bobby Gonzales pada minit akhir perlawanan untuk gol penyamaan.

Selepas dua perlawanan, Sarawak kini mendahului Liga Perdana dengan empat mata manakala TFC II menghuni tangga kesembilan (satu mata).