Categories
NASIONAL

Kerajaan lancar dana pengangkutan awam RM500 juta

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Kerajaan hari ini melancarkan Dana Pengangkutan Awam berjumlah RM500 juta dan menawarkan kadar subsidi dua peratus kepada pemohon yang layak mendapatkan dana itu, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, Dana Pengangkutan Awam itu, yang diuruskan oleh Bank Pembangunan Malaysia, bertujuan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dengan menambah baik lagi prasarana.

“Menerusi dana ini, kita berharap untuk meningkatkan bilangan orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam dengan membiayai penambahbaikan sistem,” katanya selepas melancarkan dana tersebut di sini, hari ini.

Lim berkata, pembiayaan itu boleh digunakan untuk membeli kenderaan seperti teksi, bas atau kenderaan pengangkutan awam lain, dan boleh digunakan oleh pengendali, pembekal, pengilang dan pemasang kenderaan pengangkutan awam dan kontraktor, serta pemaju prasarana.

Menurutnya, meskipun pelaburan yang besar dalam perkhidmatan kereta api dan bas, peratusan orang yang menggunakan pengangkutan awam masih rendah dan beliau mengakui masih ada ruang untuk menambah baik sistem pengangkutan awam.

“Berbanding peratusan orang menggunakan pengangkutan awam bagi Kuala Lumpur dengan pasaran pengangkutan awam paling maju, ia hanya berjumlah kira-kira 20 peratus berbanding Jakarta (36 peratus), Bangkok (30 peratus) dan Singapura (67 peratus),” katanya.

Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia, Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata, subsidi itu yang akan menumpukan kepada cadangan berkaitan perkhidmatan terkini akan diagihkan secepat mungkin.

“Kami melihat kepada pelbagai kemungkinan dan penyedia perkhidmatan e-hailing tidak terkecuali dan saya percaya dana itu akan dapat diagihkan segera kerana jumlahnya tidak besar.

“Dan apa yang paling penting, era kami menyediakan pinjaman yang besar kepada sesebuah syarikat telah berakhir, kini kami mahu lebih terangkum. Subsidi dua peratus itu akan berdasarkan kepada kadar pembiayaan yang diberikan kepada pemohon bagi kes demi kes bergantung kepada prestasi kredit syarikat,” katanya.

Zaiton juga berharap dana itu akan dapat menggalakkan perniagaan di Malaysia, terutamanya pengendali pengangkutan awam, bagi meningkatkan prasarana sedia ada, dengan pembekal, pengeluar dan kontraktor prasarana pengangkutan awam memohonnya.

Menurut laporan Bank Dunia 2015, kos pengangkutan adalah 50 peratus lebih tinggi di Kuala Lumpur berbanding Hong Kong dan Tokyo.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Isu Gambar Dipijak : Siasat Penghinaan Terhadap Pemimpin Pakatan Juga


PETALING JAYA, 4 SEPT : Polis harus bersikap adil dalam siasatannya terhadap tindakan manghina pemimpin negara dengan menyiasat semua kes tidak kira Umno-BN atau Pakatan Rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pihak berkuasa perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan tidak hanya mementingkan pemimpin Umno-BN.

Katanya, beberapa pemimpin Pakatan dan NGO pernah dihina dengan gambar mereka dipijak, dikoyak dan dibakar oleh pihak tertentu yang tidak bersetuju dengan pendirian mereka.

“Hari ini dengarnya polis sebut nak tubuh pasukan khas.

?Saya nak cabar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin tubuhkan pasukan khas untuk menyiasat semua sekali yang menghina pemimpin sama ada dalam kerajaan ataupun pembangkang.

?Adalah satu perkara yang tidak adil untuk sekadar buat satu siasatan nak jaga Perdana Menteri tetapi boleh menghina pemimpin-pemimpin yang lain. Ini tidak betul,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Pasukan itu dilaporkan akan menyiasat tindakan beberapa individu yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor pada himpunan ?Janji Demokrasi? di Dataran Merdeka Kuala Lumpur pada 30 Ogos.

Pada 1 September, bas ceramah Pakatan disimbah cat merah ketika program siri jelajah Merdeka Pakatan di Kota Baru.

Pada bulan Mei lalu, sekumpulan penyokong persatuan pro-ketuanan Melayu Perkasa, melakukan perkara yang sama terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Pada bulan Jun pula, sekumpulan aktivis pesara tentera melakukan senaman punggung di depan rumah pengerusi jawatankuasa gerakan Bersih Datuk Ambiga Sreenivasan.

Dalam ketiga-tiga kes pemimpin Pakatan, pihak berkuasa tidak memberi sebarang respons tentang tindakan yang mereka akan ambil melainkan sekadar ?menerima laporan polis?.

Shamsul Iskandar berkata, AMK tidak terlibat dan tidak mengetahui pihak yang terlibat dalam insiden pada ambang kemerdekaan itu.

Bagaimanapun, katanya, AMK turut sedia membantu bagi mengesan individu atau pihak yang terlibat itu.

“Saya tidak kenal tetapi saya dah minta pihak AMK Wilayah Persekutuan untuk menyiasat dan mencari mereka yang terlibat.

?Kita juga nak bantu tentang kes pijak gambar Perdana Menteri dan isteri ini.?