Categories
NASIONAL

LIMA’19 capai kejayaan-Tun M

LANGKAWI, 30 MAC: Kabinet berpendapat Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) mencapai kejayaan apabila menerima banyak penyertaan dalam acara yang berlangsung mulai Selasa lepas hingga hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata selain itu, ia turut menarik kedatangan ramai pengunjung yang berpeluang menyaksikan pelbagai pertunjukan yang disediakan sepanjang pameran itu.

“Di samping itu, semasa LIMA, ada perjanjian-perjanjian perniagaan (ditandatangani) yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis sambutan jubli perak Permodalan Kedah Bhd (PKB) dan merasmikan Hotel Adya Chenang di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai intipati perbincangan mesyuarat kabinet yang diadakan di sebuah hotel di sini, semalam.

Dr Mahathir berharap Langkawi akan terus menjadi tuan rumah kepada acara dwitahunan itu yang seterusnya akan memberi manfaat kepada penduduk pulau peranginan berkenaan.

“Jadi saya percaya orang Langkawi akan menjadi tuan rumah yang baik kepada pelancong semasa LIMA dan selepas LIMA, dengan itu orang Langkawi akan dapat keuntungan yang besar apabila melayan pelancong yang datang ke Langkawi,” katanya.

Perdana menteri berkata, ada peserta pameran itu yang menyuarakan hasrat untuk membuat pelaburan di Malaysia khususnya di Kedah dan Langkawi.

“Ada negara yang mengaku akan import lebih banyak minyak kelapa sawit, tetapi kita mesti beli barangan mereka. Ada yang berkata walaupun tiada pembelian apa pun oleh Malaysia mereka berminat untuk melabur di Kedah dan Malaysia khususnya di Langkawi,” kata anggota Parlimen Langkawi itu.

LIMA’19 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini melibatkan penyertaan sejumlah 406 syarikat – 206 tempatan dan 200 asing – yang kebanyakannya berkaitan pertahanan.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, perdana menteri menggesa agensi kerajaan negeri yang menjalankan perniagaan supaya melaksanakannya dengan tertib mengikut pentadbiran perniagaan sebenar.

Menurut beliau, ada entiti perniagaan yang ditubuhkan kerajaan termasuk di peringkat pusat menghadapi kegagalan atau tidak mendapat keuntungan disebabkan tidak diuruskan dengan betul.

“Sebabnya bukanlah projek itu tidak baik tetapi pengurusannya tidak baik, amat penting sekali pengurusan yang baik diadakan dalam semua perniagaan kerajaan negeri ataupun pusat,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Hotel Adya Chenang milik PKB, syarikat kerajaan negeri Kedah dibina berkonsepkan patuh Syariah yang menawarkan 128 bilik dan telah mula beroperasi 15 November tahun lepas. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kejayaan LIMA’19 usaha bersama-Mohamad

LANGKAWI, 30 MAC: “Menteri (menteri pertahanan) hanya datang dan pergi, kejayaan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) pada kali ini adalah kejayaan semua pihak yang terlibat menjayakannya,” kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Sambil mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terlibat menjayakan LIMA’19, Mohamad berkata ini merupakan pertama kali beliau mengepalai LIMA’19 bersama Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk membuat penambahbaikan pada pameran LIMA pada masa akan datang.

“Pameran LIMA’19 kali ini banyak dibantu oleh pihak seperti Ketua Setiausaha kedua-dua kementerian (Mindef dan MOT), Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pegawai dan anggota tentera berpengalaman untuk menjayakannya,” katanya kepada Bernama selepas diminta mengulas mengenai pameran LIMA’19 di sini yang berakhir hari ini.

Mohamad berkata apabila diberi amanah, pihaknya akan cuba sebaik mungkin untuk bekerja dengan semua kakitangan sama ada ATM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahupun MOT.

“Saya sebagai menteri hanya memberikan motivasi kepada mereka yang terlibat LIMA’19 untuk menjayakannya.

“Selain itu, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak media kerana memberikan publisiti yang baik dan positif untuk menaikkan martabat LIMA’19,” katanya.

Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pameran LIMA’19 adalah antara yang terbaik pernah dianjurkan.

LIMA’19 yang bermula Selasa lepas dan berakhir hari ini melibatkan sejumlah 406 syarikat – 206 tempatan dan 200 asing – yang kebanyakannya berkaitan pertahanan, mengambil bahagian dalam LIMA’19. -BERNAMA

Categories
RENCANA

Cabaran juruterbang TUDM di kawasan bencana

LANGKAWI, 29 MAC: Usaha mendaratkan pesawat Airbus A400M di kawasan bencana gempa bumi di Palu, Indonesia mendapat pengiktirafan antarabangsa atas kecekapan dan kemahiran juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat pendaratan di landasan yang hampir tidak boleh digunakan selepas retak akibat bencana itu.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan pesawat pengangkut terbesar itu membuat pendaratan pesawat yang penuh dengan muatan kargo di kawasan itu ketika terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan dan bencana.

Berikutan prestasi cemerlang serta tahap penggunaan yang tinggi, Skuadron Ke-22 TUDM mendapat pengiktirafan daripada Airbus dalam satu majlis semalam atas kejayaan mereka merakam jam penerbangan paling tinggi dalam kalangan semua pengendali A400M di seluruh dunia.

Pegawai Memerintah Skuadron Ke-22 TUDM, Lt Kol Yusrizal Zain, 43, berkata sebahagian landasan telah rosak dan menyebabkan A400M sukar untuk mendarat kerana kawasan landasan yang terhad.

”Pada mulanya, pesawat ini tidak dibenarkan mendarat di kawasan berkenaan namun selepas membuat analisis dan perkiraan, kami mendapati pesawat ini mampu untuk masuk landasan dan melaksanakan tugas operasi kemanusiaan dan bencana di Palu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di Pusat Pameran Mahsuri Antarabangsa (MIEC), di sini semalam.

Yusrizal berkata, hanya satu pertiga landasan rosak dan menggunakan lebih kurang 2,000 meter landasan yang tinggal untuk mendarat.

“Oleh itu, pesawat ini terbukti mampu beroperasi di landasan yang rosak atau tidak diturap dan lebih pendek kerana reka bentuk dan teknologinya,” katanya.

LANGKAWI, 28 Mac — Pegawai Memerintah Skuadron Ke-22 TUDM, Left Kol Yusrizal Zain yang membawa pesawat A400M mendapat prestasi cemerlang merakam jam penerbangan paling tinggi dalam kalangan semua pengendali A400M di Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini.–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Pesawat berkenaan membolehkan Malaysia menyokong pelbagai operasi kemanusiaan dengan lebih efektif berbanding dahulu kerana TUDM memiliki keupayaan untuk terbang lebih jauh dan pantas sambil membawa berat bebanan lebih tinggi berbanding pesawat lain.

“Walaupun A400M secara idealnya lebih sesuai digunakan untuk menyokong misi kemanusiaan di rantau Asia Pasifik, namun ciri pesawat yang serba boleh akan memantap dan mempertingkatkan keupayaan operasi TUDM,” katanya.

Ditanya berkenaan jumlah misi kemanusiaan dan bencana yang pernah dijalankan A400M, Yusrizal berkata, pesawat berkenaan telah melaksanakan enam misi bantuan kemanusiaan dan bencana sejak 2017.

Empat pesawat yang mula diterima secara berperingkat sejak Mac 2015 itu turut pernah melaksanakan tugas bagi mengisi bahan api pesawat-pesawat tempur milik TUDM di udara.

LIMA’19 yang bermula pada Selasa lepas dan akan berkahir pada 30 Mac. Venue pameran ialah di MIEC dan Resorts World Langkawi (RWL).

Sejumlah 406 syarikat – 206 tempatan dan 200 asing – yang kebanyakannya berkaitan pertahanan, mengambil bahagian dalam LIMA’19. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kementerian Pertahanan meterai kontrak RM3.67 bilion

LANGKAWI, 28 MAC: Kementerian Pertahanan menandatangani tujuh kontrak program perolehan dan kerjasama industri bernilai RM3.67 bilion di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19).

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, kebanyakan kontrak perolehan adalah penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi aset pertahanan strategik sedia ada.

“Ini untuk memastikan kesediaan keselamatan dan pertahanan semasa negara berada pada tahap optimum,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu, di sini hari ini.

Beliau berkata, kementerian sudah menandatangani 31 kontrak dan memorandum persefahaman (MoU) di LIMA’19.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata, kerajaan akan terus mempertimbang pemerolehan aset pertahanan strategik baharu, dengan mengambil kira kecanggihan teknologi semasa dan ancaman keselamatan bukan tradisional.

Menurut satu kenyataan oleh kementerian itu, antara yang terbesar adalah kontrak penyenggaraan Airod Sdn Bhd untuk penyenggaraan gabungan bagi besawat orang kenamaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang terdiri daripada pesawat Falcon 900, Global Express dan Black Hawk S70A.

Ia berkata, Airod juga dianugerahkan kontrak untuk penyenggaraan, baik pulih, ujian, kalibrasi, pembaikan, pembetulan kecacatan, pengubahsuaian peralatan, bantuan teknikal, fabrikasi dan pembekalan bahan untuk pesawat dan peralatan kerajaan, TUDM Hawk MK108/208, TUDM C130 dan peralatan.

LIMA’19, berlangsung dari 26 hingga 30 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resorts World Langkawi (RWL), disertai 406 syarikat, kebanyakannya daripada industri berkaitan pertahanan.
-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor berkenan berangkat ke LIMA’19

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan berangkat ke Langkawi sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19).

Selangor Royal Offical dalam satu kenyataan memaklumkan, baginda berangkat bersama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Selain melawat ke ruang pameran, baginda berkenan menyaksikan pertunjukan aeroangkasa bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sebagai Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tuanku juga berkenan melawat ke Pameran Segmen Maritim di Resort World Langkawi,” kata kenyataan itu.

LIMA’19 yang berlangsung dari 26 hingga 30 Mac itu dijangka akan menerima lebih 240,000 pelawat termasuk 42,000 delegasi perdagangan.

Pameran yang mula dianjurkan 28 tahun lalu itu bertujuan memperkenalkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama Malaysia ke mata dunia.

Sebanyak 104 aset kapal dan maritim serta 103 pesawat terbabit dalam pameran statik dan persembahan.

Daripada jumlah itu, 60 peratus adalah pesawat tentera dan agensi keselamatan, manakala 40 peratus milik komersial dan awam.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dua juruterbang Hawk TUDM catat rekod dunia terbang lama

LANGKAWI, 28 MAC: Dua juruterbang pesawat Hawk 208 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), mencatat rekod dunia durasi penerbangan pesawat Hawk paling lama, iaitu empat jam 12 minit yang dilakukan pada Ogos 2016.

Mejar Fairul ‘Gillette’ Mohd Rustham, 33 dan Mejar Zulkifli ‘Steady’ Mohamad, 38 daripada No 15 Skuadron di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang mengatasi rekod bekas ketua skuadron Tentera Udara Diraja Britain, John Hurrell, yang mencatatkan tiga jam 56 minit pada 1988.

Kejayaan mereka diiktiraf syarikat pertahanan dan aeroangkasa Britain, BAE Systems yang menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini.

Mengulas rekod berkenaan kepada Bernama, Fairul berkata, mereka ketika itu melaksanakan operasi pemintasan di Laut China Selatan.

“Kami berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan, Pahang untuk membuat tinjauan di Laut China Selatan dan sememangnya tidak pernah menduga akan berada dalam pesawat selama itu,” katanya.

Beliau berkata lazimnya juruterbang Hawk hanya terbang sekitar satu jam dan mereka tidak dilatih untuk terbang selama itu.

“Kebiasaannya kami terbang dalam pesawat sekitar sejam atau sejam lebih, itulah tempoh maksimum untuk menerbangkan pesawat. Hari itu adalah hari operasi pemintasan, maka kami terpaksa menerbangkan pesawat melangkaui had,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pesawat Hawk kebiasaannya digunakan untuk melatih juruterbang baharu.

Pengiktirafan daripada BAE itu merupakan yang kedua diterima oleh dua juruterbang terbabit. Kali pertama ialah pada 2 Mac lalu daripada TUDM.

Sejarah perkhidmatan pesawat Hawk 208 TUDM bermula pada 15 April 1994 selepas pasukan itu menerima dua pesawat pertama hasil memorandum persefahaman yang dimeterai oleh negara, pada 10 Disember 1990.

LIMA’19 yang berlangsung di MIEC dan Resorts World Langkawi bermula pada Selasa sehingga Sabtu ini menyaksikan 406 syarikat pertahanan dan komersil dari 32 negara mengambil bahagian.

Pameran LIMA’19 edisi ke-15 ini dianjurkan bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan bertemakan ‘Defence and Commercial Connecting Intelligence’. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

LIMA’19: Pertunjukan udara gegar Langkawi

LANGKAWI, 27 MAC: Sekali lagi ruang udara Langkawi bergegar dengan bunyi jet pejuang, yang dapat didengar di seluruh pulau.

Pertunjukan udara sudah tidak asing lagi pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19), dan ia sentiasa mendapat sambutan hebat daripada pengunjung sejak edisi pertamanya, pada 1991.

Pelawat perdagangan yang mengunjungi landasan terbang di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sanggup berdiri di bawah panas terik matahari, semata-mata untuk menyaksikan kehebatan aksi pesawat, manakala warga tempatan membanjiri jalan, tidak mahu ketinggalan melihat pertunjukan itu.

Ramai yang kagum dengan gerakan aerobatik di udara dan ada juga yang mengeluarkan telefon serta kamera untuk merakam detik itu apabila jet berkenaan melepasi mereka.

Antara jet yang mengambil bahagian dalam pertunjukkan itu ialah Sukhoi SU-30MKM dari Tentera Udara Diraja Malaysia, Russian Knights (Tentera Udara Rusia) dan X300 (Tentera Udara Indonesia).

Seorang petugas perubatan, Sharifah Saffinaz Syed Soffian, 34, menyifatkan pertunjukan udara itu sebagai menakjubkan terutama ketika Tentera Udara Indonesia membuat formasi bentuk hati daripada asap jet mereka.

“Sangat cantik,” katanya.

Pelawat perdagangan yang hanya mahu dikenali sebagai Brian, 40-an, berkata pertunjukan udara itu sangat hebat.

LANGKAWI, 27 Mac — Pesawat Su30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia ketika melakukan pertunjukan udara pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Ini kali pertama saya mengunjungi pameran LIMA dan rasa amat bertuah dapat menyaksikan sendiri pertunjukkan udara yang menakjubkan ini,” kata warga Britian itu.

Seorang lagi pelawat perdagangan, Mior Azman Noor, 36, berkata beliau kagum dengan pertunjukan daripada pasukan Indonesia dan Rusia sepanjang sesi itu.

“Saya tidak pernah menyangka kedua-dua pasukan boleh melakukan gerakan yang sukar di ruang udara,” katanya.

LIMA’19 yang bermula di sini semalam akan berkahir pada 30 Mac ini. Venue pameran ialah di MIEC dan Resorts World Langkawi (RWL).

Sejumlah 406 syarikat – 206 tempatan dan 200 asing yang kebanyakannya berkaitan pertahanan mengambil bahagian dalam LIMA’19. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

LIMA’19: 40 kapal canggih berkampung di perairan Langkawi

LANGKAWI, 27 MAC: Perbarisan 40 kapal tempatan dan antarabangsa sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di perairan pulau pelancongan itu begitu memukau dan menarik perhatian delegasi pentadbiran kerajaan diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir dan delegasi dibawa menaiki KD Perantau, milik Tentera Laut Diraja Malaysia selama sejam setengah sambil menerima tabik hormat daripada kru kesemua kapal tersebut di sekitar Resorts World Langkawi di sini pada pameran yang memasuki hari kedua hari ini.

Antara barisan delegasi kerajaan persekutuan dan negeri adalah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kesemua mereka diberi penghormatan melihat sendiri kehebatan dan kecanggihan kapal-kapal tersebut antaranya adalah 17 kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, lima kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), MV Polaris dari Jabatan Marin, RV Discovery dari Universiti Malaysia Terengganu dan 16 kapal dari 12 buah negara yang terlibat dalam acara ini.

Pada edisi ke-15 ini menyaksikan LIMA menjadi tuan rumah delegasi perniagaan dari 32 negara dan 406 syarikat pertahanan dan komersial dengan 200 perniagaan antarabangsa.

Semua produk dan perkhidmatan mereka akan dipamerkan sepanjang pameran lima hari, sehingga 30 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resorts World Langkawi (RWL).

Kira-kira 42,000 pelawat perdagangan dijangka berhimpun di LIMA`19, bukan sahaja untuk melihat produk dan perkhidmatan terkini yang ditawarkan peserta pameran tetapi juga meneroka potensi perniagaan terutamanya dengan syarikat berpangkalan di Malaysia.

LIMA`19 terdiri daripada 60 peratus pertahanan dan 40 peratus komersial dianjurkan secara bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan.

Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan disokong oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi-sgensi di bawahnya dalam menganjurkan seminar industri, mesyuarat perniagaan dan perbincangan untuk menggalakkan penglibatan perniagaan serta menampilkan inisiatif kerajaan terhadap pembangunan industri kemudahan perdagangan. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

LIMA’19: 120 pilihan patch pesawat, helikopter buat pengunjung

LANGKAWI, 27 MAC: Pertunjukan udara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) edisi ke-15 yang menarik kehadiran ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara turut memberi tempias positif kepada seorang penjual barangan cenderahati.

Shukri Sarjeng berkata pada acara dwitahunan kali ini dia membawa 120 jenis PVC dan ‘sublimation patch’ pesawat tempur, pesawat pengangkut dan helikopter yang sering mendapat permintaan tinggi pengunjung serta pengumpul patch dalam dan luar negara.

Katanya setiap corak patch tersebut dibuat berdasarkan latihan dan penyertaan pameran yang disertai pesawat tempur, pesawat pengangkut serta helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Saya jual 120 jenis PVC dan sublimation patch pada harga RM25 setiap satu, setiap rekaan saya bawa 30 keping. Antara pilihan yang ada ialah patch pesawat tempur Sukhoi SU-30MKM dan F/A-18D Hornet serta pesawat pengangkut Airbus A400M dan Charlie C-130 milik TUDM.

“Selain itu ada juga patch pasukan aerobatik, Russian Knights daripada Tentera Udara Rusia dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemui di Laman Tinjau Pertunjukan Udara, di sini.

Shukri berkata antara patch melibatkan latihan dalam dan luar negara ialah Exercise Paradise 2018 serta Exercise Pitch Black di Australia.

“Patch paling diminati ramai ialah pesawat tempur Sukhoi SU-30MKM. Selain patch melibatkan latihan yang disertai pesawat dan helikopter saya juga buat ‘fun patch’ pesawat-pesawat tersebut,” katanya yang mula menjual sejak LIMA 2015.

Selain patch pesawat dan helikopter, Shukri juga menjual pelbagai lagi barangan cenderahati seperti kemeja-T, cawan, rantai kunci, model kapal terbang, pelekat dan lanyard. -BERNAMA