Categories
NASIONAL

KKM: Sulfur dioksida tidak berbahaya jika dalam kuantiti dibenar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 JAN: Penggunaan sulfur dioksida dibenarkan dalam pengawetan makanan namun penggunaannya adalah pada kadar tertentu dengan tidak melebihi 30mg/kg.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah berkata, sulfur dioksida tidak berbahaya kepada manusia jika digunakan pada kadar dibenarkan namun individu sensitif akan mengalami lelah sekiranya terhidu atau tertelan.

“Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 membenarkan sulfur dioksida sebagai bahan pengawet dalam makanan tertentu. Ini termasuk buah-buahan segar seperti limau mandarin di mana sulfur dioksida dibenarkan pada kadar tidak melebihi 30 mg/kg.

“Sulfur dioksida dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan pada kadar tertentu oleh badan penilai antarabangsa Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additive (JECFA).

“Sulfur dioksida tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan dalam kadar dibenarkan tetapi ia boleh menyebabkan lelah terhadap orang yang sensitif apabila terhidu atau tertelan,” katanya dalam kenyataan.

Noor Hisham berkata demikian mengulas penyebaran berita di laman media sosial berkaitan limau mandarin yang didakwa mengandungi sulfur dioksida.

Katanya, bagi melindungi pengguna sensitif kepada sulfur dioksida, di bawah subperaturan 20(6) Peraturan-Peraturan Makanan 1985, setiap bungkusan mengandungi makanan untuk jualan termasuk produk segar seperti limau mandarin ditambah sulfur dioksida lebih daripada 10 mg/kg, suatu pernyataan “mengandungi sulfur dioksida” hendaklah dilabel pada bungkusan itu.

“Sesiapa yang gagal mematuhi peraturan ini boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun,” katanya.

Manakala, katanya, di bawah subperaturan 11(1) (j), Peraturan-Peraturan Makanan 1985, bagi makanan import termasuk limau mandarin, nama serta alamat pembungkus dan pengimport, termasuk nama negara dari mana makanan itu berasal hendaklah dinyatakan pada label.

“Dalam hal ini, sesiapa yang membuat pelabelan palsu boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga (3) tahun atau denda atau kedua-duanya seperti yang diperuntukan di bawah Seksyen 16, Akta Makanan 1983.

“Adalah menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan limau mandarin diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemantauan sepanjang 2015 hingga 2016 mendapati tiada limau mandarin dikesan mengandungi sulfur dioksida.

“KKM bagaimanapun meneruskan pemantauan ke atas limau mandarin dijual di pasaran bagi memastikan ianya selamat dimakan,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

AKTIVITI YB: Adun Gombak Setia edar limau mandarin di pasar malam

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 18 FEB: Pusat Khidmat Masyarakat Dun Gombak Setia  mengadakan program pemberian buah limau mandarin sempena meraikan sambutan Tahun Baru Cina.

Pemberian buah limau itu diagihkan kepada penduduk setempat terutama masyarakat Tiong Hua di Pasar Malam Sri Gombak.

DSC_0015Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan berkata, 100 kotak limau mandarin diedarkan dan mendapat sambutan baik daripada pengunjung dan penggerai.

“Walaupun hujan lebat yang bermula lewat petang, namun tidak mematahkan semangat petugas mengedarkan limau kepada orang ramai.

“Pemberian limau ini adalah sebagai tanda saling menghormati perayaan bangsa lain selagi tidak menyalahi syarak,” katanya.

Turut serta, dalam program aitu adalah wakil DHPP Gombak, Kong Tuck Wah dan beberapa ahli pemuda Pas Gombak.

-NFN-