Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Gombak Setia tubuh Skuad Bencana, bersedia depani bencana

GOMBAK, 3 OKT: Gombak Setia menjadi Dewan Undangan Negeri (DUN) pertama di negeri ini yang melancarkan Skuad Bencana bagi mendepani kes kecemasan.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha murni itu perlu dicontohi DUN lain kerana kejadian bencana tidak dapat diduga dan dijangka.

“Dengan perubahan iklim dan sebagainya, kadang kala kit tidak boleh agak apa berlaku seperti banjir kilat di Shah Alam minggu lalu.

“Dengan kewujudan kumpulan ini kita boleh membantu ramai pihak dan dapat bersedia awal terhadap sebarang kemungkinan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas melancarkan pusat operasi pasukan itu.

Pusat berkenaan yang terletak berhampiran Dewan Beringin, Taman Sri Gombak turut dilengkapi beberapa peralatan kecemasan antaranya mesin gergaji berantai, generator dan cecair kimia.

Menurut Amirudin pasukan yang dianggotai tujuh ahli itu bertindak membantu anggota kecemasan seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam serta Majlis Perbandaran Selayang ketika kecemasan.

“Ahli ini akan ditambah melibatkan penduduk kampung. Mereka juga akan dilatih sebagai persediaan berdepan bencana sebenar,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Penyelaras Gombak Setia ligat atasi masalah setempat sepanjang wabak

SHAH ALAM, 3 APRIL: Pelbagai bantuan dihulur kepada penduduk sekitar kawasan Gombak Setia sejak wabak Covid-19 melanda negara.

Meskipun berlaku peralihan politik pada peringkat pimpinan, penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia bertungkus-lumus memastikan kebajikan penduduk terjaga.

Dilantik pada 15 September lepas, Abdul Rahim Kasdi menyedari amanah yang dipikulnya bagi membela penduduk di kawasan berkepadatan lebih 70,000 orang, 85 peratus daripada orang Melayu.

Biarpun baru berkhidmat, seramai 2,445 orang menerima manfaat Inisiatif Peduli Rakyat iaitu bahan barangan asas (212 set), Skim Mesra Usia Emas (1,542), Jom Shopping Deepavali (450), sumbangan Deepavali (230), bantuan khas kewangan (enam) dan komputer riba (lima).

Beliau juga memainkan peranan memastikan barang keperluan asas sampai kepada hampir 4,500 penerima yang dihimpit wabak Covid-19 antara Mac hingga Mei tahun lalu.

Abdul Rahim Kasdi (dua, kanan) menyerahkan bantuan barangan asas Covid-19 kepada penduduk Gombak Setia di perkarangan Pusat Khidmat Rakyat – Penyelaras Dun Gombak Setia pada 31 Mac 2021. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat – Penyelaras Dun Gombak Setia

Penjaja juga menikmati pengecualian bayaran lewat cukai taksiran dan pengecua-lian sewa gerai daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selama tiga bulan.

Selain itu, pelitup muka guna semula diedar ke sekolah dan orang awam bagi memelihara keselamatan mereka. Agihan dijayakan pusat khidmat penyelaras DUN, ahli majlis atau ketua kampung dan program ziarah ke rumah.

Bela penduduk

Abdul Rahim juga memastikan golongan berpendapatan rendah dibela sebaik-baiknya. Setakat Mac, sebanyak 3,500 bantuan makanan termasuk beras, minyak, biskut dan gula diagih menerusi Pakej Kita Selangor. Turut diedar, bara-ngan basah antaranya ayam kepada 1,000 penduduk.

“Terhentinya aktiviti ekonomi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan memberi kesan langsung kepada peniaga kecil dan penjaja. Ada juga hilang mata pencarian kerana diberhenti kerja,” katanya kepada Selangorkini.

Selain bantuan secara langsung, Abdul Rahim juga menggariskan perancangan dalam mengatasi masalah penduduk antaranya:

  • Menyelesaikan isu dua penempatan setinggan di Kampung Makmur, Sri Gombak dan Perkampungan Indian Settlemant di Batu 8, Jalan Gombak
  • Menyusun atur isu penambakan tanah sekitar Sungai Pusu dan Gombak Utara
  • Menyediakan zon penjaja untuk membantu penjaja

Beliau juga berusaha menyelesaikan isu banjir kilat di perkampungan tradisional melalui kerjasama pihak berkuasa tempatan untuk membaiki sistem saliran dan perparitan.

Abdul Rahim turut memandang serius isu pembuangan sampah haram yang berlarutan sekian lama di beberapa lokasi termasuk di Jalan Gombak.

“Walaupun masih baru memegang amanah, saya ada perancangan untuk memberi lebih tumpuan ke arah mewujudkan masyarakat harmoni dan selamat.

“Ini dapat dilakukan dengan memperkasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan jawatankuasa penduduk agar mereka berfungsi sebagai perantara rakyat dan Kerajaan Negeri,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

ADN Gombak Setia selesai masalah lori hantu

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 JULAI: Masalah lori hantu yang membelenggu penduduk Gombak Setia sejak awal Mac lalu berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang sebulan, kata Ahli Dewan Negeri kawasan itu, Mohd Hilman Idham.

Beliau berkata, kemelut berkenaan berjaya ditangani menerusi komitmen dan gerak kerja pelbagai agensi serta pihak berkuasa negeri.

“Ada beberapa perkembangan positif dicapai dalam tempoh sebulan saya menjadi wakil rakyat di kawasan ini.

“Sepanjang tempoh ini, rakyat Gombak Setia sudah mendapat keselesaan lebih baik apabila tiada lagi lori hantu dibenarkan masuk ke kawasan utama penduduk.

“Ini kejayaan kita bersama dan pastinya gerak kerja berterusan akan dilaksanakan,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis di Gombak, semalam.

Sebelum ini, SelangorKini mendedahkan rungutan penduduk Sri Gombak Fasa 9 yang mendakwa kemasukan lori hantu ke laluan utama Gombak Setia menimbulkan rasa kurang senang masyarakat tempatan.

Laporan berkenaan turut mendedahkan, satu kemalangan jiwa berlaku ekoran kecuaian pemandu lori hantu, di kawasan berkenaan.

Susulan insiden itu, jawatankuasa khas (task force) ditubuhkan dalam tempoh 24 jam bagi menanganinya.

Pada masa sama, Majlis Perbandaran Selayang turut diarah membuat kawalan serta merta melarang kemasukan lori khususnya, pada waktu puncak.

Categories
SELANGOR

ADN ucap tahniah, Amirudin ‘lakar sejarah’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JUN : Dato’ Menteri Besar baru, Amirudin Shari terus menerima ucapan penghargaan daripada masyarakat selepas dipilih menerajui kepimpinan negeri sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor ke 16.

Tidak melepaskan peluang itu, barisan pimpinan Ahli Dewan Negeri (ADN) turut sama menzahirkan penghargaan tahniah kepada ADN Sungai Tua itu.

Antaranya di Twitter, ADN Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, pemilihan Amirudin dianggap sebagai lakaran sejarah baru, selepas mengambil kira faktor usia muda Dato’ Menteri Besar itu yang baru berusia 38 tahun.

“Tahniah dan selamat berkhidmat buat sahabatku Amirudin Shari yang menempa sejarah baru sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

“Semoga diberi kekuatan dan hikmah dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini kepada rakyat dan negeri,” katanya.

ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menyifatkan Amirudin sebagai individu berkredibiliti dan layak menerajui kepimpinan negeri.

“Beliau seorang yang sangat bersemangat dan tegas. Ini memberikan kelebihan kepada beliau sebagai pemimpin muda untuk bekerja lebih kuat dan memberikan perhatian yang lebih kepada pembangunan anak muda Selangor.

“Tentunya saya akan memberikan sepenuh kerjasama dan komitmen dalam membantu pentadbiran Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan beliau,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi ADN Gombak Setia, Hilman Idham, beliau percaya kredibiliti Amirudin untuk terus mengekalkan kemajuan Selangor sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

“Amirudin Shari adalah kesinambungan kecemerlangan negeri Selangor. Stay cool bro!” katanya di Twitter.

Categories
SELANGOR

Hilman tunggu rakyat di Pusat Khidmat Gombak Setia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hilman Idham, optimis dapat meluangkan masa mendekati masyarakat, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Komitmen itu dilaksanakan menerusi inisiatif beliau untuk mendengar permasalahan setempat warga Gombak Setia, di Pusat Khidmat Khidmat Rakyat DUN berkenaan.

“Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hilman Idham, meluangkan masa bertemu dan menyantuni rakyat di Pusat Khidmat Rakyat (sementara) Gombak Setia, di Dewan JKP, Dewan Beringin, Taman Sri Gombak.

“Beliau akan berada di pusat khidmat ini setiap hari Sabtu, bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari untuk bertemu rakyat,” menurut kenyataan dinyatakan Facebook rasmi DUN itu, Gombak Kita Setia.

Terdahulu, Hilman dalam manifesto Gombak Setia optimis mampu menyelesaikan permasalahan rakyat khususnya golongan muda, di kawasan itu.

Berucap pada satu majlis sebelum ini, beliau turut menegaskan, akan menyebar luar keberkesanan dasar Inisiatif Peduli Rakyat kepada rakyat Selangor.

Categories
SELANGOR

Muafakat PAKATAN, pilihan rakyat Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 10 MEI: Muafakat Pakatan Harapan (PAKATAN) yang dipertahankan gabungan itu menjadi asas terbaik kepada rakyat mengekalkan mandat pentadbiran komponen di negeri itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hilman Idham berkata, semangat tinggi rakyat mengekalkan PAKATAN turut didorong semangat tinggi, menolak kepimpinan rakus pentadbiran Kerajaan Pusat terdahulu.

“Rakyat berani membuat perubahan kerana tuntutan hal berbangkit dalam soal ekonomi dan sosial berdasarkan penyelesaian dan tawaran di bawah manifesto PAKATAN.

“Rakyat bukan hanya mengekalkan Kerajaan Selangor tetapi membantu PAKATAN menang enam negeri lain untuk perubahan,” katanya, kepada SelangorKini.

Hilman merupakan pimpinan muda PAKATAN yang diberi mandat masyarakat Gombak Setia untuk menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Kata Hilman, kepercayaan itu akan dizahirkan secara konsisten dengan memberi tumpuan kepada pembangunan agenda golongan muda di Selangor.

Muhammad Hilman menewaskan penyandang Dun Gombak Setia dari Pas, Hasbullah Ridzwan dan BN, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dengan majoriti 12,399 undi.

Terdahulu, Hilman yang berusia 29 tahun merupakan lulusan Ijazah Sains Politik dari UKM dan berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, sejak 2013.

Categories
SELANGOR

PAS menang Gombak Setia kerana muafakat PAKATAN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 7 MEI: PAS menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu hanya bersandarkan kepada muafakat komponen PAKATAN ketika itu.

Calon N17, Gombak Setia, Hilman Idham berkata, tanpa penyatuan parti lawan Barisan Nasional, pOAS dilihat sukar mengekalkan kemenangan di kerusi panas berkenaan.

Justeru, katanya, faktor itu sekali gus membuka peluang besar kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk menang di Gombak Setia.

“Saya cukup yakin rakyat sudah matang dan bijak membuat pilihan.

“Walaupun Gombak Setia dilihat sebagai kubu kuat PAS tetapi harus diingat, PAS menang di Gombak Setia sebelum ini dalam ruang muafakat politik sahaja,” katanya pada sidang media bersama Sinar Harian di Bilik Gerakan Utama, baru-baru ini.

Calon PAKATAN itu turut menguatkan kenyataannya dengan merujuk sentimen kemenangan PAS, pada pilihan raya terdahulu.

Antaranya Dato’ Ismail Kamus (PAS) yang menang di Gombak Setia atas tiket Barisan Alternatif, Hassan Ali (PAS) atas tiket muafakat PAKATAN dan Hasbullah Ridzuan (penyandang kerusi Gombak Setia yang juga wakil PAS) menang atas tiket Pakatan Rakyat.

“Penyatuan nilah yang kita laksanakan melalui gabungan muafakat PAKATAN untuk menang,” katanya.

Hilman Idham

Optimis kejayaan itu mampu dicapai, Hilman mensasarkan untuk memancing undi pengundi muda khususnya pengundi kali pertama di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui lawannya bukan calang, sebaliknya individu berpengalaman.

“Untuk bersaing dengan tokoh politik sebegini, ia cabaran untuk saya bagaimana mampu merangkul 10,000 pengundi baru di kawasan ini.

“Kelebihan saya tentunya aspirasi yang saya bawa, saya mewakilit suara pengundi baru khususnya generasi baru di kawasan ini,” katanya.

Saingan PRU14 menyaksikan pertembungan Hilman dengan Hasbullah Mohd Ridzwan (PAS) dan wakil Barisan Nasional, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Categories
SELANGOR

Pertahan agenda Reformasi, Hilman Idham wakil suara anak muda

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 28 APR: Calon muda KEADILAN N17 Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham yang mewakili Pakatan Harapan (PAKATAN) komited membawa suara anak muda bagi menyelesaikan isu kemasyarakatan pengundi di kawasan itu.

Beliau berkata, pengalaman beliau sebagai setiausaha sulit Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali cukup meyakinkan kredibiliti beliau untuk diangkat sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

“Pengalaman saya menjalankan kempen pilihan raya Dato’ Menteri Besar sebelum ini dan pengalaman bekerja di bawah beliau mematangkan saya.

“Saya kira ini juga peluang yang baik sebagai golongan muda untuk mewakili golongan muda di kawasan Gombak Setia.

“Lebih-lebih lagi difahamkan terdapat lebih 10,000 pengundi muda di kawasan ini dan Gombah Setia menjadi elemen terpenting kepada kita untuk meneruskan perubahan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas hadir menyerahkan borang penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di SMK Sungai Pusu, pagi ini.

Kerusi N17 bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara wakil Pakatan Harapan (PAKATAN), wakil PAS, Hasbullah Mohd Ridzwan; dan wakil Barisan Nasional, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Pada Pilihan Raya Umum 13 lalu, kerusi DUN berkenaan dimenangi calon PAS dengan majoriti sebanyak 1,681 undi.

Dilaporkan seramai 47,369 pengundi berdaftar bagi kawasan DUN berkenaan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Relawan Gombak Kita Setia dekati masyarakat

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 26 APR: KEADILAN kawasan Gombak Setia melancarkan ‘Program Relawan Gombak Kita Setia’ di Dataran Greenwood, semalam.

Penubuhan program itu bertujuan mendekati lebih ramai masyarakat dan menjelaskan tentang dasar kepimpinan serta program diamalkan Kerajaan Negeri.

Calon N17 Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Hilman Idham berkata, penubuhan Relawan Gombak Kita Setia susulan pertambahan pengundi yang kini 55,000 berbanding 44,000 pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Pertambahan ini disebabkan kebanyakkannya pengundi kali pertama atau generasi muda yang sememangnya bersemangat membuat pilihan kali pertama.

“Sebab itu kita ilhamkan Relawan Anak Muda bagi menggembleng kekekuatan anak muda, menyampaikan mesej dan membawa penerangan Kerajaan Negeri kepada setiap kampung tradisi dan taman perumahan di Gombak Setia ini,” katanya.

Katanya, dengan 500 anak muda yang sudah berdaftar sebagai relawan beliau percaya kumpulan ini mampu menyampaikan mesej jelas kepada rakyat.

Perasmian program disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang juga penyandang kerusi P98 Parlimen Gombak dengan meletakkan pelekat Relawan Gombak Kita Setia di motosikal selain menyerahkan Vest dan bendera KEADILAN.

Sehingga malam tadi hampir sembilan bilik gerakan Relawan Gombak Kita Setia sudah dibuka.

Hadir sama, pesara tentera, Nasri Mat Jusoh, 56 yang melakukan misi berjalan kaki sejauh 284 kilometer dari Kuantan hingga ke Putrajaya sebagai simbolik meminta masyarakat mengubah kerajaan sedia ada pada PRU-14.

“Tujuan saya berjalan sejauh 284 kilometer dari Kuantan ke Putrajaya adalah untuk memberitahu kepada Barisan Nasional (BN) bahawa rakyat perlu bangkit dan memilih yang benar,” katanya.

Selain itu, majlis turut diserikan dengan persembahan penyanyi lagenda, Ito Blues Gang yang menyampaikan lagu ‘Gombak Kita Setia’.

 

Categories
SELANGOR

Hampir 1,000 mendaftar sebagai pengundi baru

GOMBAK 27 SEPT: Seramai hampir 1,000 pemilih baru didaftarkan dalam Program Kaunter Daftar Pemilih di Giant Batu Caves anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Gombak Setia dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Program berlangsung bermula jam 10 pagi hingga 7 petang itu mendapat sambutan hangat dari pengunjung yang tidak berpusu-pusu datang ke kaunter untuk mendaftar sebagai pemilih baru dan menukar tempat mengundi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan, berkata kaunter daftar yang dibuka hanya pada mulanya empat kaunter terpaksa ditambah kepada lapan kaunter pada tengah hari kerana permintaan tinggi dari pengunjung yang ada datang ke Giant semata-mata untuk mendaftar sebagai pemilih.

Walaupun peserta terpaksa beratur panjang untuk mendaftar, ia tidak mematahkan semangat untuk menjadi pendaftar baru bagi pilihan raya akan datang.

Rata-rata pemohon baru adalah dari kalangan anak muda yang baru sahaja mencapai 21 tahun dan ingin merasai sendiri menjadi pengalaman mengundi pada masa akan datang.

Hasbullah berkata inisiatif dibukakan kaunter di pasaraya besar adalah sangat sesuai kerana orang ramai dapat datang dan parking dengan baik disamping penjawat awam dan pekerja swasta mendapat gaji di akhir bulan untuk berbelanja di pasaraya.

Beliau juga berterima kasih kepada para petugas dari SPR yang bertungkus lumus mendaftarkan pemilih baru.

“Tidak lupa juga kepada para petugas JPrD Gombak Setia dan petugas PAS kawasan Gombak yang berpakaian serba hijau dan menyantuni pengunjung yang hadir,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

AKTIVITI YB: Adun Gombak Setia edar limau mandarin di pasar malam

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 18 FEB: Pusat Khidmat Masyarakat Dun Gombak Setia  mengadakan program pemberian buah limau mandarin sempena meraikan sambutan Tahun Baru Cina.

Pemberian buah limau itu diagihkan kepada penduduk setempat terutama masyarakat Tiong Hua di Pasar Malam Sri Gombak.

DSC_0015Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan berkata, 100 kotak limau mandarin diedarkan dan mendapat sambutan baik daripada pengunjung dan penggerai.

“Walaupun hujan lebat yang bermula lewat petang, namun tidak mematahkan semangat petugas mengedarkan limau kepada orang ramai.

“Pemberian limau ini adalah sebagai tanda saling menghormati perayaan bangsa lain selagi tidak menyalahi syarak,” katanya.

Turut serta, dalam program aitu adalah wakil DHPP Gombak, Kong Tuck Wah dan beberapa ahli pemuda Pas Gombak.

-NFN-

Categories
SELANGOR

AKTIVITI YB: Kemelut MB tidak halang ziarah raya DUN Gombak Setia

Oleh: LIZAWATI MADFA

GOMBAK, 28 OGOS: Kemelut menteri besar yang melanda Selangor bukan alasan untuk wakil rakyat negeri itu menangguhkan tugasan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan, berkata rakyat tidak seharusnya menjadi mangsa pergolakan parti politik.

Baginya, aktiviti dan program dirancang pusat khidmatnya terus berjalan seperti dirancang termasuk siri Ziarah Kebajikan sempena Raya 2014.

DSC_0021“Walaupun Selangor dilanda kemelut, namun tugas sebagai wakil rakyat tidak dilupakan dan saya akan terus berkhidmat untuk rakyat.

“Program ziarah ini adalah tahun kedua selepas tahun lepas berjaya diadakan,” katanya yang ditemui selepas menziarahi ahli PAS, Taufiq di Taman Gombak, di sini.

Taufiq yang mengalami masalah kesihatan adalah ahli PAS sejak tahun 1975 dan dikenali sebagai individu aktif di peringkat cawangan dan kawasan.

Pada masa sama, Hasbullah turut berkesempatan menyampaikan sumbangan hamper dan wang bantuan bagi meringankan beban Taufiq.

“Saya harap Taufiq diberikan kesihatan dan dipanjangkan umur untuk terus beribadat kepada Allah,” katanya.

-NFN-