Categories
SELANGOR

63 kawasan terjejas, MPAJ kenal pasti punca kejadian paip pecah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 30 MAC: Bekalan air di 63 kawasan perumahan di sepanjang Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Ulu Klang ke Ampang terjejas ekoran masalah paip pecah berhampiran Dataran Ukay, pagi ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abdul Hamid Hussain berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan untuk lanjutan proses baikpulih secepat mungkin.

“Bekalan dijangka akan dibuka selepas kerja-kerja pembaikan siap sepenuhnya, namun menurut SYABAS, kita tidak dimaklumkan jangka waktu pembaikan ini.

“Namun, punca paip pecah masih tidak dikenalpasti lagi, tapi di kawasan punca terdapat projek Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).

“Jadi kita sedang kenalpasti sekiranya kerja-kerja pembinaan lebuh raya itu (menjadi punca) dan kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada kontraktor projek berkenaan,” katanya.

Dilaporkan, kesesakan teruk hampir lima kilometer di laluan berkenaan ekoran kejadian paip pecah jam 5 pagi tadi.

Ia turut menyebabkan lorong kiri laluan berkenaan terpaksa ditutup kepada lalu lintas.

Sehingga jam 9.30 pagi ini, laluan berkenaan masih dipenuhi air dan kebanyakan pengguna terpasa meredah laluan berair.

Bagaimanapun MPAJ memaklumkan, paip utama sudah ditutup sejak awal pagi ini, dan keadaan trafik mula beransur lancar sehingga jam 12 petang tadi.