Categories
NASIONAL

Tiada syarat liputan terhadap negeri pembangkang

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Kementerian Komunikasi dan Multimedia menegaskan pihaknya tidak mengeluarkan sebarang arahan atau syarat kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam membuat liputan di negeri bawah pemerintahan pembangkang.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, beliau sendiri tidak pernah memberi arahan malah meminta RTM sendiri menjelaskan perkara sedemikian.

“Kita tidak mengeluarkan sebarang arahan sebaliknya saya dimaklumkan ia adalah hasil perbincangan dalaman RTM sahaja di peringkat negeri berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media selepas lawatan sulungnya ke Ibu Pejabat Telekom Malaysia Bhd (TM) di sini, semalam.

Gobind diminta mengulas berkenaan catatan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di laman Facebooknya yang mendakwa terdapat panduan berhubung kandungan liputan dan siaran bagi negeri di bawah pentadbiran pembangkang, sekali gus mendakwa tiada kebebasan media di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Gobind berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berkenaan perkara itu selepas mendapatkan penjelasan daripada pihak terbabit.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menyediakan kemudahan jalur lebar bagi projek perumahan baharu.

Kementerian juga akan mencadangkan kepada kerajaan supaya kemudahan jalur lebar dimasukkan di bawah senarai utiliti sebagaimana bekalan elektrik dan air.

Pada masa sama, beliau berkata, TM layak diberi pengiktirafan kerana berjaya menyahut cabaran dalam menerajui kovergens dan menyampaikan aspirasi digital.

“Kumpulan TM memikul tanggungjawab yang besar dan unik, bukan sahaja sebagai peneraju kovergens tetapi sebagai rakan kongsi pembangunan negara dalam membina ekonomi digital.

“Dalam memanfaatkan sambungan global yang meluas, infrastruktur rangkaian dan himpunan kepakaran, TM berada pada kedudukan baik untuk melonjakkan Malaysia sebagai hab internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara,” katanya.

Selaras dengan agenda Customer Centricity Kumpulan TM yang memfokuskan terhadap kepentingan pelanggan sejak tahun lalu, Gobind turut menyampaikan Anugerah HERO 2018 kepada tiga kategori pemenang (Barisan Hadapan, Wira yang Tidak Didendang dan Anugerah Khas).

Anugerah itu diberikan kepada warga TM yang layak dan ia dipilih berdasarkan sumbangan besar mereka dalam memberi khidmat terbaik kepada pelanggan TM.