Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM fokus tambah baik aspek komunikasi

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sentiasa fokus menambahbaik komunikasi dalam semua aspek selain mengatasi kekurangan yang ada, kata Menterinya Gobind Singh Deo.

“Bagi saya banyak kerja perlu dilaksanakan. Kementerian saya dibahagikan kepada beberapa bahagian termasuk apa yang kita lihat hari ini dengan fokus kepada ekonomi digital dan kesemuanya bertujuan menaik taraf dan memperbaiki apa yang kita sebut sebagai teknik komunikasi kita.

“Tetapi saya tiada masalah dengan kritikan yang ditujukan kepada saya, saya rasa ini adalah proses demokrasi di mana semua dibenar menyuarakan pandangan masing-masing.

“Pada saya ‘work goes on’ dan kita perlu bekerja lebih kuat untuk pastikan kita lebih berjaya,” katanya selepas merasmikan 3rd Annual National Malaysian Indian Digital Economy Conference 2019 di sini, hari ini.

Gobind berkata selaku menteri dan pemimpin, beliau perlu mendengar apa jua kritikan untuk mencatatkan kejayaan lebih tinggi.

Beliau mengulas kenyataan seorang anggota perwakilan Amanah dari Sarawak pada Konvensyen Nasional Amanah semalam yang mahu Perdana Menteri menggugurkan beliau daripada portfolio Menteri Komunikasi dan Multimedia kerana dilihat gagal mempromosi kejayaan kerajaan Pakatan Harapan.

Berhubung ancaman siber, beliau berkata ia perkara yang menjadi fokus sekian lama lebih-lebih lagi ke arah dunia teknologi dan digital.

“Kita perlu pastikan bahawa selagi kita lihat bagaimana kita boleh mengembangkan rangkaian infra dan sebagainya, kita juga perlu lihat sudut sekuriti,” katanya.

Gobind berkata daripada sudut penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia atau Angkatan Tentera Malaysia, ia perlu dilaksanakan oleh kementerian lain yang terlibat.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Salah laku warga maya perlu dijelaskan andai tiada tindakan

KUALA LUMPUR, 22 APR: Sebarang salah laku netizen (warga maya) perlu dijelaskan andai tiada tindakan daripada pihak berkuasa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, ini kerana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah sedaya upaya membantu pihak berkuasa dalam sebarang siasatan berkaitan salah laku netizen dan tiada kuasa untuk menangkap dan seterusnya membawa pelaku jenayah ke mahkamah.

“Kami perlu bertindak pantas. Kerap kali kalau tidak setiap kali, kita memberikan respons dengan pantas. Tetapi selepas dari itu kita lihat tidak ada tindakan. Jadi, saya telahpun maklumkan kepada pihak polis. Adalah penting bagi anda memberi penjelasan kepada rakyat.

“Tidak boleh ada keadaan di mana kita dilihat berlakunya muat naik yang tidak sepatutnya, kemudian tidak ada tindakan. Bagi saya kalau kita nak wujudkan undang-undang, ianya perlu efektif. Kalau ada undang- undang, kita perlu bersedia untuk menggunakan undang-undang tersebut.

“Jadi bila laporan polis dibuat, kita perlu ambil tindakan cepat. Setakat mana yang SKMM boleh, kita akan laksanakan, tapi kuasa untuk tangkapan, kuasa untuk keputusan, tuduh dan sebagainya, ini di luar bidang kementerian saya. Saya fikir rakyat patut tahu soal kenapa tiada tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena ulang tahun pertama pentadbiran kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan di pejabatnya di Wisma Angkasapuri hari ini.

Gobind ditanya mengenai peranan agensi di bawah kementeriannya, SKMM dalam mendepani pelbagai cabaran sejak setahun lepas berkaitan media sosial dan salah laku netizen seperti menghina Nabi Muhammad SAW dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tegasnya, apabila ada kekangan atau tiada tindakan daripada polis dan Jabatan Peguam Negara, ia harus dimaklumkan kepada semua tentang apa yang sebenarnya berlaku agar tiada gambaran seolah-olah SKMM yang tidak mengambil tindakan.

“Walhal kita sudah ambil tindakan, dan saya pun tertunggu-tunggu kenapa lambat sangat ambil tindakan dan apa masalah yang berlaku,” katanya.

Apabila ditanya bagaimana hendak mengimbangi antara gesaan untuk mengambil tindakan terhadap penghinaan dan kebimbangkan akan dikritik rakyat mengenai hak kebebasan media dan kebebasan bersuara, Gobind berkata, buat masa ini pihak berkuasa ada pelbagai peruntukan di bawah undang-undang yang boleh digunakan seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membolehkan tindakan diambil terhadap sebarang salah laku di media sosial.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan pimpinan Pakatan Harapan komited terhadap kebebasan media, tetapi ia mempunyai batasan yang dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang.

“Akhir-akhir ini, kita menyaksikan peningkatan kes di mana Internet digunakan untuk tujuan yang boleh mengakibatkan, kalau boleh saya katakan secara terus-terang, salah guna. Kita dapati berlaku penghinaan, terdapat juga orang yang menghasut kepada kebencian, orang yang mengugut orang lain, yang juga secara terbuka menghina institusi raja. Ini sesuatu yang perlu ditangani.

“Dan di mana terdapat kesalahan dilakukan, sudah tentu tindakan undang-undang akan diambil. Kita sudah melihat bagaimana penyalahgunaan media sosial boleh membawa kepada kesan buruk di seluruh dunia. Bukan sahaja di Malaysia. Negara-negara lain juga menghadapi cabaran serupa.

“Singapura, UK (United Kingdom) dan Australia juga menggesa supaya diwujudkan lebih banyak peraturan dan sudah tentu menekankan supaya ada pertimbangan secara amat berhati-hati mengenai banyak mana kebebasan atau sokongan yang mahu kita beri apabila membabitkan media,” tambah beliau.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada syarat liputan terhadap negeri pembangkang

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Kementerian Komunikasi dan Multimedia menegaskan pihaknya tidak mengeluarkan sebarang arahan atau syarat kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam membuat liputan di negeri bawah pemerintahan pembangkang.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, beliau sendiri tidak pernah memberi arahan malah meminta RTM sendiri menjelaskan perkara sedemikian.

“Kita tidak mengeluarkan sebarang arahan sebaliknya saya dimaklumkan ia adalah hasil perbincangan dalaman RTM sahaja di peringkat negeri berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media selepas lawatan sulungnya ke Ibu Pejabat Telekom Malaysia Bhd (TM) di sini, semalam.

Gobind diminta mengulas berkenaan catatan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di laman Facebooknya yang mendakwa terdapat panduan berhubung kandungan liputan dan siaran bagi negeri di bawah pentadbiran pembangkang, sekali gus mendakwa tiada kebebasan media di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Gobind berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berkenaan perkara itu selepas mendapatkan penjelasan daripada pihak terbabit.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menyediakan kemudahan jalur lebar bagi projek perumahan baharu.

Kementerian juga akan mencadangkan kepada kerajaan supaya kemudahan jalur lebar dimasukkan di bawah senarai utiliti sebagaimana bekalan elektrik dan air.

Pada masa sama, beliau berkata, TM layak diberi pengiktirafan kerana berjaya menyahut cabaran dalam menerajui kovergens dan menyampaikan aspirasi digital.

“Kumpulan TM memikul tanggungjawab yang besar dan unik, bukan sahaja sebagai peneraju kovergens tetapi sebagai rakan kongsi pembangunan negara dalam membina ekonomi digital.

“Dalam memanfaatkan sambungan global yang meluas, infrastruktur rangkaian dan himpunan kepakaran, TM berada pada kedudukan baik untuk melonjakkan Malaysia sebagai hab internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara,” katanya.

Selaras dengan agenda Customer Centricity Kumpulan TM yang memfokuskan terhadap kepentingan pelanggan sejak tahun lalu, Gobind turut menyampaikan Anugerah HERO 2018 kepada tiga kategori pemenang (Barisan Hadapan, Wira yang Tidak Didendang dan Anugerah Khas).

Anugerah itu diberikan kepada warga TM yang layak dan ia dipilih berdasarkan sumbangan besar mereka dalam memberi khidmat terbaik kepada pelanggan TM.

Categories
NASIONAL

Projek Media City dijangka siap Jun 2020

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 JUL: Pembangunan Media City yang diilhamkan Kerajaan Persekutuan sejak 2009 dijangka siap sepenuhnya pada 11 Jun 2020 dan kini berjalan mengikut sasaran ditetapkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, projek ini terbahagi kepada tiga komponen utama dengan kemajuan kerja bagi fasa pertama mencapai 91 peratus dan di jangka selesai sepenuhnya pada 11 September 2018.

“Komponen pertama dan kedua merupakan kerja pengubahsuaian pada bangunan sedia ada serta mereka bentuk, membekal dan memasang sistem penyiaran, manakala komponen ketiga ialah reka bentuk, membina dan melengkapkan kemudahan baharu.

“Bagi fasa kedua pula, status kemajuan kerja adalah 17% seperti yang dirancang dan dijangka siap sepenuhnya pada 11 Jun 2019.

“Status kemajuan kerja bagi mereka bentuk, membina, melengkap, mentauliah dan meyelenggara kerja infastruktur, bangunan dan peralatan Media City adalah 25 peratus seperti disasarkan,dan dijangka selesai sepenuhnya pada 11 Jun 2020,” katanya dalam kenyataan.

Gobind sebelum itu melawat ke tapak projek bagi meninjau perkembangan projek.

Turut mengiringi beliau, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Datuk Sri Syed Faisal Albar; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Dr Mohd Ali Mohamad Nor dan Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Abdul Muis Shefii.

Beliau turut diberikan taklimat khas mengenai kemajuan projek ini dan kemudiannya dibawa melawat ke sekitar tapak projek yang dibangunkan anak syarikat DRB-HICOM, Media City selaku kontraktor utama.

Menurutnya, projek yang mengambil konsep dan idea daripada Bandar Media, United Kingdom ini bertujuan menaik taraf dua saluran transmisi analog sedia ada kepada 10 saluran HD.

“Saya menyarankan agar RTM menonjolkan imej baharu memastikan stesen televisyen paling utama ini mampu bersaing secara sihat atau lebih baik berbanding stesen televisyen swasta tempatan dan juga di peringkat antarabangsa.

“Projek Media City ini bakal dilengkapi dengan infrastruktur moden seiring dengan perubahan teknologi semasa kearah rangkaian TV digital yang komprehensif.

“Dengan penaikan taraf ini juga, Malaysia mampu mencapai piawaianan tarabangsa seperti Bandar Media di Dubai, Sydney, Singapura dan Manchester,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pertingkat mutu internet, bukan ulang janji lama

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 MAC: Kementerian Komunikasi dan Multimedia diingatkan supaya bersikap serius jika mahu menggandakan kelajuan internet yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun seperti dinyatakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing berkata, hal ini perlu bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam merebut peluang besar daripada perkembangan ekonomi berasaskan internet yang semakin rancak.

“Ingin saya ingatkan, dalam menghadapi persaingan global yang semakin mencabar, Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang berkembang wajar memiliki capaian internet berkelajuan tinggi dan meluas.

“Memetik laporan kaji selidik mutu perkhidmatan internet oleh Akamai Technologies Inc pada suku pertama tahun lalu, saya berpendapat beberapa perkara wajar diberi perhatian

“Malaysia dilihat semakin gagal menyerlah sedangkan kita adalah antara negara paling awal menceburi dunia siber dengan memperkenalkan Koridor Raya Multimedia di Cyberjaya pada lewat 1990-an,” katanya.

Komputer (1)Bagi membuktikan kesungguhan tersebut, Kar Hing mencabar kerajaan memberi penjelasan berhubung status Projek High Speed Broad Band (HSBB) fasa ke-2 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa Pembentangan Bajet 2014.

“Sepanjang tempoh kira-kira tiga tahun yang dinyatakan itu, apakah projek dengan pelaburan kira-kira RM 4.9 bilion itu telah mencapai sasarannya untuk mempertingkat kelajuan internet sehingga 10Mbs dan berjaya memperluas liputan internet di luar bandar seperti yang dirancangkan?

“Kita bimbang kenyataan Salleh baru-baru ini hanyalah bertujuan menutup kegagalan kerajaan dalam usaha meningkatkan perkhidmatan internet di negara ini. Rakyat sudah muak dengan janji serupa yang sering diulang-ulang oleh pemimpin kerajaan,” katanya.

Laporan Akamai Technologies Inc menyatakan Malaysia di kedudukan ke-74 dunia daripada segi purata kelajuan Internet pada 2016 dengan kelajuan sekitar 6.4 megabait sesaat (Mbps), merosot satu tangga berbanding 2015 selain berada di tangga ke-9 dalam kalangan 15 negara rantau Asia Pasifik.

Smart Phone“Berkedudukan di belakang Korea Selatan yang berada di tangga teratas dengan purata kelajuan 29Mbps, Hong Kong (19.9Mbps), Jepun (18.2Mbps), Singapura (16.5Mbps), Taiwan (14.8Mbps), New Zealand (10.5Mbps) dan Thailand (10Mbps) apakah Malaysia akan mampu bersaing menghadapi negara-negara serantau?

“Suka saya mengingatkan Dr Salleh agar bersungguh-sungguh dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan internet di negara ini dan bukannya mengulangi janji-janji yang ditabur oleh para menteri sebelum beliau,” katanya.

-nR-