Categories
AGENDA NASIONAL

Bayi sembilan bulan maut diliwat suami pengasuh

PETALING JAYA, 12 MEI: Bayi lelaki sembilan bulan yang meninggal dunia dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Kelana Jaya pada 27 April lepas, disahkan diliwat suami pengasuhnya sehingga mengalami kesan pendarahan serta koyakan di bahagian dubur.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kematian dipercayai akibat sesak nafas kerana ditekup di mulut menggunakan tangan oleh suspek lelaki yang berusia 36 tahun, yang berada di bawah pengaruh dadah.

“Ketika kejadian suspek wanita sedang mengemas ruang tamu dan membiarkan suaminya bersendirian dengan bayi tersebut di dalam bilik yang dikunci selama dua jam, sebelum menemukan bayi itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan oleh si suami yang mengaku sebagai pengasuh bayi terbabit,” katanya katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, semalam.

Katanya, selain terdapat beberapa kesan koyakan pada dubur mangsa, dipercayai akibat dimasukkan benda tumpul, bedah siasat turut mendapati terdapat kesan lebam di bahagian mulut dipercayai ditekup menggunakan tangan.

Susulan daripada laporan yang diterima daripada seorang pegawai perubatan, polis menahan pasangan suami isteri itu, masing-masing berusia 36 tahun yang disahkan positif dadah jenis syabu di kediaman mereka pada 29 April lepas.

Katanya, suspek lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan, manakala isterinya akan dijadikan saksi pendakwaan dan akan dituduh di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berasingan, polis menahan seorang pelajar lelaki warga tempatan berusia 24 tahun disyaki membunuh rakannya di tempat letak kenderaan Bandar Sunway, Subang Jaya, pada Ahad lepas.

Beliau berkata mayat mangsa berusia 24 tahun, ditemukan dalam keadaan penuh dengan kesan tikaman pada Khamis lalu, di kawasan pembinaan bersebelahan bangunan kediaman milik suspek di Damansara Perdana, Petaling Jaya.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua belah tangan suspek cedera, dipercayai akibat pergelutan dengan si mati menyebabkan suspek menerima 100 jahitan di sebuah pusat perubatan swasta.

“Hasil saringan ujian air kencing juga mendapati, suspek positif dadah jenis ganja tertahydrocannabinol dan polis berjaya menemukan pakaian milik suspek yang berlumuran darah, dipercayai dipakai semasa kejadian,” katanya kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mohamad Fakhrudin, motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham tentang hasil jualan dadah, serta masalah hutang dan suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Ahad depan bagi siasatan lanjut.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Warden liwat lima pelajar tahfiz dipenjara 228 tahun, 42 sebatan

 

KANGAR, 30 Mei: Seorang warden asrama sebuah pusat tahfiz di sini, dihukum penjara berjumlah 228 tahun serta 42 sebatan selepas mengaku bersalah atas 25 pertuduhan meliwat dan melakukan jenayah seksual terhadap lima pelajar tahfiz serta satu kesalahan memiliki video lucah dalam telefon bimbit.

Hakim Mahkamah Sesyen Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Nawawi Anuar, 28, semalam (29 Mei) dan memerintahkan Nawawi menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap, awal bulan ini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 15 tahun, 10 tahun dan tujuh tahun bagi 25 pertuduhan meliwat dan melakukan jenayah seksual, serta penjara setahun bagi kesalahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Penapisan Filem iaitu memiliki video lucah di dalam telefon bimbitnya.

Semalam media melaporkan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadap Nawawi berjumlah 133 tahun, bagaimanapun pihak pendakwaan hari ini hadir ke mahkamah itu untuk menyemak semula jumlah hukuman itu dan mahkamah mengesahkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara berjumlah 228 tahun.

Ini berikutan mahkamah memerintahkan hukuman terhadap 20 pertuduhan berjalan secara berasingan manakala enam lagi berjalan serentak.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah Maahad Tahfiz di sini terhadap lima pelajar lelaki masing-masing berusia sembilan, 10, 11 dan 15 tahun sepanjang April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B dan 377C Kanun Keseksaan, Seksyen 15(e) dan Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002.

Lelaki itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan mahkamah menetapkan 9 Julai untuk sebutan kes itu.

Semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Noshuhada Mohd Yatim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat serius sehingga mengakibatkan trauma kepada semua mangsa dan keluarga mereka.

Katanya tertuduh juga gagal menjalankan amanah yang diberikan sebagai warden di pusat tahfiz itu.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Mohd Hapiz Rajali yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan kerana tertuduh kini insaf dan kejadian itu berlaku akibat dia trauma kerana pernah menjadi mangsa liwat.

“Tertuduh pernah menjadi mangsa liwat semasa belajar di sebuah pusat tahfiz sewaktu berumur 14 tahun. Ia menjadikan tertuduh trauma,” katanya dan menambah tertuduh merupakan anak ketiga daripada lima beradik telah kematian bapa manakala ibunya seorang suri rumah.

Pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali dan Mohd Farhan Aliff Ahmad. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Warden didakwa liwat pelajar tahfiz direman semula

KANGAR, 25 MEI: Seorang warden asrama yang didakwa meliwat dua pelajar selain mencabul tiga pelajar lain di sebuah pusat tahfiz di Simpang Empat di sini, bulan lalu, direman semula, bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Nurul Hafzan Ab Aziz.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari Kiew berkata, suspek berusia 28 tahun itu direman semula susulan laporan polis kedua dibuat mangsa yang juga pelajar di pusat tahfiz tersebut pada 9 Mei lepas.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 31 Mei,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, suspek sebelum ini pernah direman berhubung laporan polis yang dibuat seorang kakitangan pusat tahfiz berkenaan, juga pada 9 Mei, selepas seorang pelajar membuat aduan kepadanya.

Sebelum ini, media melaporkan dua pelajar pusat tahfiz mendakwa diliwat manakala tiga pelajar lagi mendakwa dicabul warden asrama mereka sepanjang berada di pusat tahfiz berkenaan.

Perbuatan tidak bermoral suspek terbongkar selepas seorang daripada mangsa berusia 15 tahun tampil membuat aduan pada 24 April lalu, mendakwa dia diliwat dan dipaksa melakukan amang seksual di bilik warden berkenaan.

Mangsa turut mendakwa suspek mengugut untuk memukulnya sekiranya kejadian itu dilaporkan namun mangsa yang tidak tahan diperlakukan demikian bertindak membuat aduan.

– BERNAMA