Categories
SELANGOR

Kos Teknologi Membran Berpatutan

 

SHAH ALAM, 22 NOV : Kerajaan Negeri sentiasa memantau penggunaan teknologi rawatan air dengan memastikan kosnya berpatutan bagi mengelakkan pengguna di Selangor terbeban.

 

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata demikian apabila Kerajaan Negeri bercadang menggunapakai teknologi penapisan air membran bagi merawat bekalan air di Selangor.

Sebagai permulaan teknologi ini akan digunakan di Loji Perawatan Air (LPA) di Bukit Jelutong yang ditutup pada tahun 1990.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga bersikap terbuka dalam menggunakan teknologi terkini di pasaran dengan tujuan mendapatkan pengeluaran air yang maksimum dari segi kuantiti dan kualiti.

“Apabila loji ini dibuka semula, ia boleh mengeluarkan air dengan kadar 50 juta liter sehari (JLH) dan membekalkan air ke seluruh kawasan Shah Alam seterusnya diagihkan ke kawasan lain yang memerlukan air seperti di Klang.

“Selain itu, kita juga bercadang untuk membuka semula loji rawatan air yang tidak beroperasi di Ampang dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran air yang terawat kepada pengguna Lembah Klang,” katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2013 di Dewan Negeri Selangor di sini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga meneliti cadangan sumber air baru bagi mengatasi masalah bekalan air kepada pengguna, antaranya menggunakan air tanah, menambah baik sistem agihan dan menggunakan teknologi penapisan air sungai.

Katanya, peruntukan sebanyak RM100 juta bagi pelaksanaan sistem tadahan ‘StormWater’ atau air hujan di hiliran sungai sebagai sumber air dapat mengatasi masalah air di beberapa tempat di negeri ini.