Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerja penambahbaikan LRA SSP2 siap sepenuhnya

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 APR: Kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) siap dilaksanakan pada jam 11 malam semalam, kata Abdul Raof Ahmad.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, perkara itu dimaklumkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menerusi kenyataan di laman Facebook.

“Loji diaktifkan semula dan proses penyaluran bekalan air terawat ke kolam-kolam utama dan sistem agihan utama akan dilaksanakan sebelum bekalan dapat disalurkan kepada pengguna.

“Proses ini dijangka mengambil masa dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Menurutnya, proses pemulihan berlangsung secara berperingkat dan berbeza di setiap kawasan bergantung kepada geografi dan altitud premis pelanggan.

Terdahulu, Air Selangor dalam kenyataan awal sekitar jam 6 petang memaklumkan kerja-kerja di lapangan sudah berada di tahap 70 peratus dan berjalan mengikut jadual.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat di laman Facebook atau aplikasi Air Selangor yang boleh didapati menerusi Google Play atau Apps Store.

Kira-kira 4.1 juta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka berdepan gangguan bekalan air bermula 24 sehingga 27 April ini.

Categories
SELANGOR

Kerja baik pulih LRA SSP2 siap 70 peratus

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 APR: Kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) sudah berada di tahap 70 peratus dan berjalan mengikut jadual.

Perkara itu dimaklumkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan yang dimuatnaik menerusi laman Facebook rasminya sekitar jam 6 petang tadi.

“Air Selangor sedang bertungkus lumus sejak jam 9 pagi tadi bagi memastikan pelanggan menerima air seperti yang sudah ditetapkan.

“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mendapatkan maklumat di laman Facebook atau aplikasi Air Selangor yang boleh didapati menerusi Google Play atau Apps Store,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 4.1 juta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka berdepan gangguan bekalan air bermula hari ini sehingga 27 April ini.

Gangguan itu membabitkan 577 kawasan di enam daerah di Selangor iaitu Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor termasuk Kuala Lumpur.

Masalah itu juga ekoran sistem paip dan kabel elektrik 32 kiloWatt yang memerlukan penambahbaikan segera bagi mengelakkan letupan sistem dan gangguan tidak terancang.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau memberi jaminan tempoh gangguan bekalan air yang dialami penduduk di negeri itu tidak akan melebihi tiga hari.