Categories
SELANGOR

Bandar Baru Bangi perintis LCCF 2035

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 4 OKT: Bandar Baru Bangi dipilih oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sebagai kawasan perintis dalam melaksanakan projek ‘Low Carbon City Framework’ (LCCF) ke arah perbandaran rendah karbon 2035.

Yang DiPertuanya, Sayuthi Bakar berkata, kawasan pusat bandar berkenaan dijadikan contoh untuk pelaksanaan projek LCCF yang lain di kawasan dalam pentadbiran MPKj pada masa akan datang.

Katanya, program terbabit bertujuan menyeru peniaga di kawasan itu untuk membantu MPKj dalam usaha mengurangkan karbon dari segi pengurusan sisa pepejal dan penanaman pokok.

“LCCF merupakan satu rangka kerja yang disesuaikan dengan mengukur impak alam sekitar yang disebabkan oleh pembangunan dari aspek jumlah pengeluaran karbon.

“Pusat Bandar Seksyen 9 ini, sebagai sempadan kawasan kajian ‘Project Based’ untuk kerangka perbandaran rendah karbon bagi mendapatkan pengiktirafan Greentech Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pelaksanaan Perbandaran Rendah Karbon Bandar Baru Bangi 2035, di Laman Bangiku, Seksyen 9, di sini.

Sayuthi berkata, kawasan berkeluasan 64.74 hektar itu merangkumi 1,118 unit ruang kedai yang sedang beroperasi, manakala dua pusat membeli belah, plot-plot komersial dan Taman Awam Tasik Cempaka.

Program LCCF itu dibangunkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) dengan kerjasama Malaysian Green Technology Corporation bagi memudahkan pihak berkuasa tempatan, perancang bandar dan pemaju dalam pembangunan bandar rendah karbon di Malaysia.

Ia dibentuk dalam satu sistem pencapaian berdasarkan prestasi (Performance Based System) membabitkan empat elemen iaitu persekitaran, infrastruktur, pengangkutan dan bangunan.