Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keluarga ‘sandwic’: 6.2 juta wanita sara anak, ibu bapa serentak

SHAH ALAM, 27 JAN: Hampir 6.2 juta atau 68.2 peratus wanita di negara ini dikategorikan sebagai keluarga ‘sandwic’ iaitu menyara anak dan ibu bapa serentak, kata Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Ketua Pengarahnya Abdul Shukur Abdullah berkata Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima mendapati wanita berkenaan mempunyai kerjaya, namun terbeban kerana perlu menjaga dua generasi serentak, lapor Berita Harian.

“Berdasarkan unjuran penduduk pada 2014, seramai 5.9 juta wanita pernah berkahwin berada dalam situasi generasi ‘sandwic’,” katanya yang menambah situasi itu menyebabkan wanita merasa tertekan.

Bagi mengatasinya, Abdul Shukur berkata pihaknya menawarkan khidmat kaunseling kekeluargaan di semua pusat keluarga LPPKN dan Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh negara.

Kajian itu menunjukkan 71.3 peratus keluarga ‘sandwic’ direkodkan paling tinggi di Sarawak diikuti Sabah (68.9 peratus) dan Semenanjung (67.8 peratus).

Peratusan keluarga ‘sandwic’ juga lebih tinggi di bandar (68.3 peratus) berbanding luar bandar (67 peratus).

Categories
NASIONAL

Pulau Pinang catat kadar kes kanser payudara tertinggi

KEPALA BATAS, 30 Mei: Pulau Pinang mencatatkan kadar kes kanser payudara tertinggi dalam kalangan wanita di negeri ini dengan 50 kes bagi setiap 100,000 wanita, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, selepas Pulau Pinang ia diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 42 kes bagi 100,000 wanita serta Johor (39 kes bagi 100,000 wanita).

Pulau Pinang mencatatkan kadar tertinggi disebabkan kaum wanita di negeri itu mempunyai kesedaran yang sangat tinggi berhubung kanser payudara dengan menjalankan pemeriksaan awal di hospital, klinik dan agensi berkaitan seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Kerajaan Persekutuan melalui LPPKN pada tahun ini memperuntukkan RM20 juta khusus untuk wanita di seluruh Malaysia melibatkan tiga program. Sejumlah RM11.4 juta diperuntukkan bagi Program Subsidi Ujian Mamogram, Program Vaksinasi Human Papilloma Virus percuma (RM5 juta) dan Program Rintis Saringan Kanser Serviks (RM3.6 juta).

“Program-program ini dilaksanakan di seluruh Malaysia melalui Klinik Nur Sejahtera LPPKN,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Saringan Mamogram Percuma (Mammo Penang) antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan LPPKN Pulau Pinang, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Azhar Arshad mewakili Kerajaan Negeri manakala LPPKN Pulau Pinang diwakili oleh Ketua Pengarah LPPKN Malaysia Abdul Shukur Abdullah.

Yeoh berkata, pihaknya menyambut baik usahasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan LPPKN untuk kesejahteraan wanita di negeri ini dan berharap negeri lain dapat mengikut contoh Pulau Pinang.

Beliau berkata, Program Subsidi Ujian Mamogram LPPKN menyasarkan 47,000 wanita dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah di seluruh Malaysia akan mendapat manfaat bagi menjalani ujian mamogram tahun ini.

“Tahniah saya ucapkan kepada LPPKN Pulau Pinang kerana dipilih oleh Kerajaan Negeri sebagai agensi pelaksana bagi program ini bermula pada 1 Mac 2019 hingga 28 Feb 2022. Saya difahamkan bahawa peruntukan RM2.658 juta telah diluluskan untuk program Mammo Penang bagi tempoh tiga tahun.

“Para wanita Pulau Pinang sangat bertuah kerana di samping kuota mammogram sebanyak 1,500 wanita daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pulau Pinang bersetuju untuk membiayai 5,000 wanita untuk ujian mammogram percuma menjadikan 6,500 wanita yang layak akan mendapat manfaat melalui saringan kanser payudara pada tahun ini,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL WANITA & KEBAJIKAN

LPPKN sasar 27,000 wanita dapat suntikan HPV

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 MAC: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mensasarkan 27,000 wanita berusia lingkungan 22 hingga 27 tahun bakal mendapatkan suntikan di bawah program Vaksinasi Human PapillomaVirus (HPV), pada tahun ini.

Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah berkata, lebih 400 wanita sudah menerima vaksinasi HPV secara percuma melalui Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh negara sejak pendaftaran dibuka, bermula 29 Januari lalu.

Beliau berkata, hanya wanita yang lahir pada 1991 hingga 1996 sahaja akan diberikan vaksinasi HPV secara percuma oleh LPPKN kerana usia 22 hingga 27 tahun adalah amat sesuai, bermula tahun ini.

“Kajian itu mendapati untuk tiga dos vaksin HPV bagi mereka berusia sembilan hingga 27 tahun lebih baik berbanding wanita yang lebih dewasa.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) begitu komited dalam pemberian vaksinasi HPV bertujuan membantu mencegah virus papiloma manusia yang menjadi punca barah pangkal rahim, sejak 2012.

“Sejak ia dilancarkan enam tahun lalu, sudah 312,677 wanita menerima manfaat menerusi program ini,” katanya memetik laporan BH Online.

Selain itu, Abdul Shukur berkata, program ini turut mensasarkan ‘catch-up group’ iaitu wanita layak yang tidak termasuk dalam Program Imunisasi HPV Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan sejak 2010 bagi pelajar perempuan berusia 13 tahun.

Katanya, penerima baharu yang menerima manfaat daripada Program Vaksinasi HPV adalah 32,472, tahun lalu.

“Sarawak muncul negeri paling ramai memperoleh manfaat HPV iaitu 4,007 (12.34 peratus) daripada 32,472 jumlah keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, LPPKN menetapkan beberapa syarat yang melayakkan wanita menerimanya iaitu warganegara Malaysia/penduduk tetap, lahir pada tahun 1991-1996, bujang/belum pernah berkahwin, tidak hamil dan tidak pernah mengalami alahan teruk yang perlu dirawat di hospital bagi mendapatkan vaksinasi itu.

Terdahulu, kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima pada 2014 mendapati wanita secara purata berkahwin, pada usia 26 tahun.

Mereka yang ingin menerima suntikan itu boleh menghubungi mana-mana Klinik Nur Sejahtera LPPKN terdekat atau merujuk kepada www.lppkn.gov.my.