OLEH SHEEDA FATHIL
SHAH ALAM, 16 MAC: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mensasarkan 27,000 wanita berusia lingkungan 22 hingga 27 tahun bakal mendapatkan suntikan di bawah program Vaksinasi Human PapillomaVirus (HPV), pada tahun ini.
Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah berkata, lebih 400 wanita sudah menerima vaksinasi HPV secara percuma melalui Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh negara sejak pendaftaran dibuka, bermula 29 Januari lalu.
Beliau berkata, hanya wanita yang lahir pada 1991 hingga 1996 sahaja akan diberikan vaksinasi HPV secara percuma oleh LPPKN kerana usia 22 hingga 27 tahun adalah amat sesuai, bermula tahun ini.
“Kajian itu mendapati untuk tiga dos vaksin HPV bagi mereka berusia sembilan hingga 27 tahun lebih baik berbanding wanita yang lebih dewasa.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) begitu komited dalam pemberian vaksinasi HPV bertujuan membantu mencegah virus papiloma manusia yang menjadi punca barah pangkal rahim, sejak 2012.
“Sejak ia dilancarkan enam tahun lalu, sudah 312,677 wanita menerima manfaat menerusi program ini,” katanya memetik laporan BH Online.
Selain itu, Abdul Shukur berkata, program ini turut mensasarkan ‘catch-up group’ iaitu wanita layak yang tidak termasuk dalam Program Imunisasi HPV Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan sejak 2010 bagi pelajar perempuan berusia 13 tahun.
Katanya, penerima baharu yang menerima manfaat daripada Program Vaksinasi HPV adalah 32,472, tahun lalu.
“Sarawak muncul negeri paling ramai memperoleh manfaat HPV iaitu 4,007 (12.34 peratus) daripada 32,472 jumlah keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata, LPPKN menetapkan beberapa syarat yang melayakkan wanita menerimanya iaitu warganegara Malaysia/penduduk tetap, lahir pada tahun 1991-1996, bujang/belum pernah berkahwin, tidak hamil dan tidak pernah mengalami alahan teruk yang perlu dirawat di hospital bagi mendapatkan vaksinasi itu.
Terdahulu, kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima pada 2014 mendapati wanita secara purata berkahwin, pada usia 26 tahun.
Mereka yang ingin menerima suntikan itu boleh menghubungi mana-mana Klinik Nur Sejahtera LPPKN terdekat atau merujuk kepada www.lppkn.gov.my.