Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu Air : Umno Selangor Jangan Jadi Orang Suruhan Rozali

 

SHAH ALAM, 31 MEI: Umno Selangor dinasihatkan jangan terus menjadi ?orang suruhan? kepada Tan Sri Rozali Ismail iaitu Pengerusi Syarikat Bekalan Air Selangor(SYABAS) dan Puncak Niaga, kata Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar.

Nasihat ini ditujukan kepada Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar, Setiausaha Perhubungan Umno Selangor, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed dan mantan Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo.

Sebelum ini, Khir menerusi laman blog peribadinya secara angkuh mengatakan bahawa segala kos Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang Ke Selangor (PPAMPS) dan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA 2) yang dianggarkan menelan kos RM6 bilion adalah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dan tidak langsung mengambil wang Kerajaan Negeri.

Kenyataan yang disifatkan begitu korup selain mementingkan diri sendiri jelas menunjukkan Umno-BN lupa rakyat Selangor juga turut menyumbang kepada kewangan negara.

“Yang jelas dan nyata ialah pemimpin-pemimpin Umno-BN sebenarnya tidak peduli samada berlakunya krisis air menjelang 2014 atau tidak tetapi yang sangat penting bagi mereka ialah memastikan syarikat Puncak Niaga dan Syabas milik bekas Bendahari Umno Selangor, Tan Sri Rozali Ismail dapat terus menjalankan ‘perniagaan air’ di Negeri Selangor,” katanya.

Tegas beliau, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk menyelesaikan isu air ini secara holistik sekiranya semua pihak termasuk Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui dapat duduk berbincang secara muafakat.

Sekiranya semua pihak bersetuju, Kerajaan Negeri begitu yakin bahawa dalam tempoh 48 jam semua masalah berbangkit dapat diselesaikan.

Pemimpin Umno-BN diingatkan supaya tidak terus memperbodohkan rakyat Selangor dalam isu penyaluran air mentah dari Pahang Ke Selangor dan pembinaan Langat 2 yang bernilai RM6 bilion demi menjaga kepentingan kroni semata-mata.

Jelas Xavier, rakyat Malaysia khususnya warga Selangor harus sedar bahawa pelaburan RM6 bilion bagi projek tersebut harus dibayar balik oleh warga Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam bentuk kenaikan tarif air yang tinggi dalam masa terdekat. 

Dakwanya, Kerajaan Negeri sedar bahawa pemberi pinjaman dari negara Jepun dan perunding kejuruteraan serta kontraktor utama terowong penyaluran air yang juga dari Jepun menekan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk meneruskan projek tersebut memandangkan kerja-kerja menggerudi di bawah gunung ganang sejauh 44.6 km bermula dari Karak, Pahang hingga Hulu Langat telah 50 peratus siap.