Categories
AGENSI SELANGOR

Tindakan Luas elak henti tugas LRA Sungai Selangor, putus bekalan air

SHAH ALAM, 19 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bertindak pantas mengelak henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor dan bekalan air tergendala selepas insiden air berwarna hitam dikesan di Sungai Gong, Rawang hari ini.

Dalam kenyataannya agensi Kerajaan Negeri itu memaklumkan kejadian pada jam 12.11 tengah hari susulan laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gombak dan siasatan di kawasan Inlet Kolam Tebatan Banjir JPS mendapati air sungai berwarna hitam dan tiada bau selain disyaki disebabkan pewarna.

“Kod Kuning diaktifkan berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas Loji Pembersihan Air (LPA) utama di bahagian hilir Sungai Selangor,” katanya.

Luas menambah siasatan turut mendapati terdapat pelepasan efluen berwarna dan berbuih dari discaj efluen loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) GBK 134 area 5 di kawasan Perindustrian Rawang.

Katanya, pensampelan in-situ mendapati kandungan ammonia sebanyak 5.2 mg/I dan TSS adalah 47 mg/I sebelum aliran dari pam masuk serta pelepasan caj efluen diberhentikan.

“Siasatan bersama Air Selangor di sistem pemantauan sungai (RMS) Country Home Rawang mendapati sampel aliran air berwarna hitam tersebut menunjukkan tiada bau dan kesan minyak,” katanya.

Agensi itu menjelaskan siasatan diteruskan ke Sungai Sembah iaitu aliran sebelum masuk ke Sungai Selangor untuk pensampelan in-situ dan mendapati tiada bau serta tiada warna kehitaman.

“Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan Luas bersama agensi berkaitan. Tiada henti tugas loji dan gangguan bekalan air dilaporkan,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LRA Sungai Selangor, Rantau Panjang kembali beroperasi

SHAH ALAM, 22 JUL: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta LRA Rantau Panjang kembali beroperasi, pada 3.30 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasinya, Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya masih dalam proses meningkatkan serta menstabilkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi proses pemulihan air secara berperingkat.

“Bantuan lori – lori tangki digerakkan dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan.

“Memandangkan insiden ini melibatkan gangguan berskala besar, mohon kerjasama pelanggan untuk mendapatkan bantuan di Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan pili – pili awam bagi mengelakkan kelewatan penghantaran bantuan lori tangki air,” katanya dalam kenyataan awal pagi tadi.

Abdul Raof berkata, Air Selangor dengan bantuan agensi – agensi berkaitan sedang berusaha sedaya upaya memberi bantuan dan mempercepatkan pemulihan ke semua kawasan yang terlibat.

Katanya, bagi mengelakkan kesesakan talian di pusat panggilan kami ekoran kemasukkan panggilan yang tinggi , sila dapatkan maklumat dan status terkini melalui aplikasi telefon bimbit Air Selangor, laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook “Air Selangor” dan Twitter @air_selangor.