Categories
NASIONAL

Pemilihan Luis Suarez tidak bijak

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Pemilihan pemain Barcelona, Luis Suarez sebagai Duta Pelancongan Malaysia disifatkan sebagai tidak bijak.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian berkata, rekod disiplin dipamerkan Suarez di dalam padang ekoran beberapa insiden menggigit pemain lawan sepatutnya dipertimbangkan terlebih dahulu.

“Semasa di Ajax Amsterdam beliau pernah menggigit telinga pemain PSV Eindhoven, di Liverpool beliau menggigit pemain Chelsea dan menggigit pemain Italy ketika bermain dengan Uruguay.

“Saya rasa pemilihan beliau adalah tidak bijak,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dalam jawapannya berkata Suarez merupakan pemain popular dalam kalangan peminat bola sepak di rantau Asia khususnya di Indonesia dan China.

Setakat ini, Suarez mempunyai 25.3 juta pengikut di Instagram, 18.9 juta fi Facebook dan 12.4 juta di Twitter.

Katanya, melalui kempen pengiklanan perjanjian dibuat bersama Media Pro Asia berjumlah RM7.5 juta, RM4.4 juta daripadanya untuk pembelian media di semua 18 stadium di bawah La Liga.

Baki jumlah perjanjian itu digunakan untuk kerjasama bersama Suarez bagi mempromosikan destinasi pelancongan menarik di Malaysia khusus melalui media sosial beliau.

“Buat masa ini Malaysia adalah negara Asia pertama bekerjasama dengan pemain terkemuka dari Barcelona dan negara ini akan menjadi destinasi percutian Suarez pada tahun hadapan selepas tamat Piala Dunia 2018,” katanya.