Categories
NASIONAL

Pemilihan Luis Suarez tidak bijak

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Pemilihan pemain Barcelona, Luis Suarez sebagai Duta Pelancongan Malaysia disifatkan sebagai tidak bijak.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian berkata, rekod disiplin dipamerkan Suarez di dalam padang ekoran beberapa insiden menggigit pemain lawan sepatutnya dipertimbangkan terlebih dahulu.

“Semasa di Ajax Amsterdam beliau pernah menggigit telinga pemain PSV Eindhoven, di Liverpool beliau menggigit pemain Chelsea dan menggigit pemain Italy ketika bermain dengan Uruguay.

“Saya rasa pemilihan beliau adalah tidak bijak,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dalam jawapannya berkata Suarez merupakan pemain popular dalam kalangan peminat bola sepak di rantau Asia khususnya di Indonesia dan China.

Setakat ini, Suarez mempunyai 25.3 juta pengikut di Instagram, 18.9 juta fi Facebook dan 12.4 juta di Twitter.

Katanya, melalui kempen pengiklanan perjanjian dibuat bersama Media Pro Asia berjumlah RM7.5 juta, RM4.4 juta daripadanya untuk pembelian media di semua 18 stadium di bawah La Liga.

Baki jumlah perjanjian itu digunakan untuk kerjasama bersama Suarez bagi mempromosikan destinasi pelancongan menarik di Malaysia khusus melalui media sosial beliau.

“Buat masa ini Malaysia adalah negara Asia pertama bekerjasama dengan pemain terkemuka dari Barcelona dan negara ini akan menjadi destinasi percutian Suarez pada tahun hadapan selepas tamat Piala Dunia 2018,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

RM3.14juta diperuntuk perbaiki aliran trafik di Jalan Othman Petaling Jaya

pecah tanah 1

PETALING JAYA 30 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuat keputusan untuk membelanjakan RM3.14 juta bagi merobohkan bulatan (roundabout) di Jalan Othman di sini dan menggantikannya dengan lampu trafik bagi menyelesaikan masalah kesesakan trafik yang dihadapi pengguna.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian, berkata projek itu yang akan disiapkan dalam masa 10 bulan akan datang diharap dapat memperbaiki aliran trafik di kawasan itu.

“Asalnya, projek ini hanya memerlukan lapan bulan. Namun, atas isu teknikal yang disebabkan oleh paip dan wayar di kawasan tersebut, kami menjangka projek itu akan siap pada bulan September,”

“Sekarang, pengguna lalu lintas di kawasan tersebut perlu mengambil masa sejam untuk melalui bulatan tersebut.

Selepas projek ini disiapkan, kami menjangka pengguna lalu lintas dapat menjimatkan 80 peratus dariapda masa yang diambil sekarang,” kata Loy Sian.

pecah tanah 2

Hee Loy berkata demikian Program Pecah Tanah Projek Naik Taraf Bulatan Jalan Othman bersama Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran di sini.

Beliau berkata, projek naik taraf ini akan memberikan manfaat mereka yang penduduk  di Seksyen 1, 2, 3, 4, 5, 6 dan 18, serta mereka yang menggunakan jalan menghala ke Puchong, Kota Damansara dan Serdang.

Loy Sian berkata, beliau menyeru orang ramai agar bersabar pada ketika ini bagi menantikan  lampu isyarat itu disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

-EZY-

Categories
SELANGOR

Banteras jenayah ragut, bukan sibuk ‘jaga’ abu mayat

haniza

PETALING JAYA 19 SEPT: Polis perlu serius membanteras jenayah ragut yang berleluasa, bukan sibuk mencegah kemasukan abu mayat individu lain, kata Haniza Talha.

“Saya gesa masyarakat mendesak pihak keselamatan meningkatkan usaha membanteras kes ragut. Bukan tunggu di sempadan Thailand untuk pastikan abu mendiang Chin Peng tidak masuk ke negara ini.

“Sebaliknya lebih fokus kepada keselamatan masyarakat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan.

Beliau berkata demikian pada sidang media kes kematian seorang wanita akibat jenayah ragut pada 12 September lalu di Taman Sri Manja di sini, semalam.

Pada 12 September lalu, Go Lee Koon, 27, seorang ejen bank diragut beg tangannya oleh dua lelaki bermotosikal berhampiran Sri Manja Court, kira-kira jam 9 malam.

Mangsa yang cuba mengelak beg tangannya diragut, cedera di kepala akibat terkena batu pembahagi jalan dan dikejarkan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia selepas lima hari koma akibat pendarahan serius dalam otak.

Pada sidang media sama, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian mahu polis lebih serius mengawal jenayah berikutan kes ragut semakin menjadi-jadi.

“Penduduk takut untuk keluar terutama pada waktu malam kerana khuatir keselamatan dan nyawa mereka terancam. Polis perlu bertindak segera,” katanya.

Beliau mengulangi desakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk meluluskan cadangan menambah anggota polis bantuan di Petaling Jaya bagi memerangi jenayah.

“Memang KDN luluskan polis bantuan untuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tapi ia terhad bagi menjaga bangunan MBPJ sahaja.

“Kita tidak mahu polis bantuan yang hanya jaga bangunan, kita mahu kelulusan bagi membolehkan mereka membantu polis menjaga keselamatan penduduk,” katanya.

Bapa mangsa, Go Hong Zhen, 65, berharap polis memandang serius kes yang menimpa keluarganya supaya kejadian sama tidak berulang.

“Saya terima (kematian anak) dengan hati yang terbuka. Saya tidak dapat ubah takdir ini. Namun, saya harap polis jagalah nyawa orang lain, jangan sampai jadi kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata, kes ragut bukan kes terpencil, malah hampir setiap hari kes seumpama itu berlaku di Taman Sri Manja di sini.

“Penduduk dalam ketakutan. Hari ini anak saya diragut dan mati. Esok lusa bagaimana pula dengan nasib penduduk yang lain,” katanya, sebak.

– FZL