Categories
AGENSI SELANGOR

Banjir: Team Selangor bantu agih makanan, bersih lebih 3,000 rumah

SHAH ALAM, 1 JAN: Sukarelawan Team Selangor menyantuni sebanyak 3,403 buah rumah yang terjejas akibat banjir sejak 18 Disember lalu, kata ketua sekretariatnya.

Syahaizel Keman berkata rumah mangsa banjir itu melibatkan 71 lokasi dan disertai lebih 1,200 sukarelawan yang melaksanakan pelbagai aktiviti antaranya membersih rumah, mengagih air minuman serta membungkus dan menghantar bakul makanan.

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Setakat ini, semua sukarelawan masih bergerak ke lokasi terlibat dengan banjir untuk membantu mangsa. Kita berusaha bantu sebanyak mungkin mangsa yang terkesan akibat banjir.

“Namun keutamaan kita diberikan kepada golongan ibu tunggal, warga emas dan yang kurang berkemampuan,” katanya kepada SelangorKini.

Individu yang berminat menjadi sukarelawan Team Selangor boleh mendaftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-530 3578.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.

Sukarelawan Team Selangor bergotong-royong membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat di Kampung Lombong, Shah Alam pada 26 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mangsa banjir lega dikecuali bil air, tidak runsing tanggung kos pembersihan

HULU LANGAT, 2 JAN: Inisiatif Kerajaan Negeri mengecualikan bayaran bil air untuk mangsa banjir melegakan penduduk terbabit yang tidak perlu runsing menanggung perbelanjaan untuk kerja pemulihan pascabanjir.

Nooraseha Mohd Yahaya, 37

Nooraseha Mohd Yahaya,37, berkata kerja pembersihan rumah dan kenderaan diselaputi lumpur memerlukan penggunaan air yang banyak dan memberi kesan kepada bil bulanan.

“Mujur Kerajaan Selangor beri pengecualian bayaran bil selama sebulan, lega juga dan tidak runsing memikirkan bayaran tinggi.

“Memang ini membantu kami yang juga terpaksa menanggung perbelanjaan lain seperti mengganti perabot rosak,” kata ibu kepada tiga anak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jawa Batu 18 di sini.

Bagi Hasbi Ayan, 50, penjimatan daripada pengecualian bil air selama sebulan itu boleh digunakan untuk membeli keperluan atau barangan yang rosak ketika banjir.

Hasbi Ayan,50

“Untuk kerja pembersihan ini kami perlu guna air banyak untuk membersihkan kediaman serta barang-barang benar-benar bersih.

“Jadi tentunya bayaran bil pasti tinggi, bila ada pengecualian dapat kami berjimat dan gunakannya untuk membeli barang keperluan,” katanya yang juga menetap di Kampung Jawa Batu 18.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi pengecualian bayaran bil air selama sebulan kepada akaun terjejas.