Categories
AGENDA NASIONAL

Kes bendera: Presiden MABA ambil cuti

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Atas dasar tanggungjawab terhadap organisasi, Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Lua Choon Hann secara sukarela mengambil cuti dengan segera bagi memberi ruang kepada proses siasatan pihak berkuasa yang masih berjalan.

Keputusan itu dibuat ekoran insiden paparan imej Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima semasa majlis perasmian Kejohanan Kebangsaan Piala Lum Mun Chak bawah 15 tahun pada 25 November lalu.

“MABA akan terus bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa berkaitan penyiasatan ini. MABA tekad dengan pendirian bahawa insiden ini tidak disengajakan oleh pihak kami dan adalah disebabkan kecuaian.

“Pihak MABA akan mengambil langkah sepatutnya untuk memperbaiki prosedur persatuan dan meningkatkan kemahiran kakitangan kami demi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini pada masa hadapan,” kata MABA dalam satu kenyataan.

MABA juga turut menamatkan kontrak syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan ‘penstriman langsung’ ketika perasmian kejohanan itu.

Insiden yang berlaku ekoran syarikat terbabit menghasilkan serta memaparkan paparan Jalur Gemilang yang salah pada skrin diod pancaran cahaya (LED) semasa lagu kebangsaan dimainkan.

“MABA menamatkan kontrak mereka pada hari kejadian. Pihak kami akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya berdasarkan keputusan siasatan yang sedang dijalankan,” kata kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu bendera: Polis panggil MABA beri keterangan

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Empat individu daripada Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) sudah memberi keterangan kepada polis berhubung paparan imej Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima semasa perasmian Kejohanan Kebangsaan Piala Lum Mun Chak Bawah 15, di Stadium Maba, di sini, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata selain mereka, beberapa individu lagi termasuk wakil dari syarikat kontraktor teknologi maklumat yang menguruskan imej itu akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Saya menjangkakan wakil syarikat itu akan dipanggil pada malam ini atau esok pagi bagi membantu siasatan kes ini.

“Siasatan menyeluruh akan dijalankan termasuk sebab video itu dimuat naik ke media sosial,” katanya pada sidang media harian Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini pihaknya menerima sembilan laporan berhubung kejadian itu dan polis akan menyiasat sama ada video yang dimuat naik itu secara sengaja dilakukan untuk mencipta perkara yang tidak tenteram dalam negara.

“Video ini tular di media sosial dan kita menerima komen yang negatif daripada masyarakat kerana perbuatan sedemikian. Saya yakin kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Imej Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima itu dipaparkan menerusi klip video yang berdurasi 1 minit 42 saat bersama logo Westport ketika nyanyian lagu Negaraku semasa perasmian kejohanan itu.

Semalam, polis telah memanggil presiden Maba (Datuk Lua Choon Hann) bagi memberi keterangan tentang insiden berkenaan.

-BERNAMA