Categories
SELANGOR

Lahir lebih ramai pengusaha lebah madu kelulut

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SABAK BERNAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri menggerakkan langkah serius membangunkan lebih ramai pengusaha lebah madu kelulut atau ‘Stingless Bee’, di sini, khususnya membabitkan belia bagi memangkin industri asas tani.

EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, hal itu memandangkan industri pengeluaran madu lebah, di Selangor dilihat berpotensi untuk dikembang dan dimajukan.

Katanya, ia mendapat permintaan tinggi ekoran nilai khasiatnya yang mampu menjadi makanan kesihatan tambahan dan mengubati pelbagai jenis penyakit secara semula jadi.

“Lebah madu kelulut memang ada di bawah perancangan kita, malahan kita sudah mengenal pasti ‘Fruit Valley’, di Bestari Jaya seluas kira-kira 60 hektar untuk tanaman bunga bagi mendapatkan madu.

“Kita mahu menjadikan industri kelulut sebagai yang terpenting dalam usaha memperkasa pembangunan pertanian kerana ia tidak memerlukan banyak persiapan daripada aspek menyediakan koloni,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Dialog Penternak Lebah Kelulut Sungai Air Tawar yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Kuang, Sallehudin Amirudin, di sini, semalam.

Kira-kira 50 pengusaha lebah madu kelulut termasuk penduduk tempatan di sekitar daerah itu turut serta dalam sesi perbincangan berkenaan.

Pada masa sama, Ir Izham berkata, pihaknya juga mempunyai perancangan kukuh untuk menjadikan Selangor sebagai pusat pengumpulan lebah madu kelulut terbesar, di negara ini.

Katanya, ia sekali gus memberi peluang kepada pengusahanya untuk mengkomersialkan produk mereka, sekali gus mampu menjana pendapatan lumayan.

“Kalau kita dapat buat pengumpulan, tidak mustahil hasrat menjadikan Selangor sebagai hab pengeluaran kelulut terbesar di Malaysia dapat dicapai dan saya percaya kita boleh mempertingkatkan lagi pada masa hadapan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jaringan niaga diwujud promosi madu kelulut

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 DIS: Jaringan perniagaan khas diwujudkan Kerajaan Negeri bagi mempromosi hasil madu lebah kelulut Selangor.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan berbincang dengan wakil pengusaha madu lebah kelulut berhubung cadangan berkenaan.

lebahKatanya, ia akan melibatkan penggunaan media sosial seperti Facebook bagi mencapai sasaran lebih besar meliputi dalam dan luar negara.

“Selain dianggotai penternak sedia ada, ia juga boleh disertai masyarakat luar Selangor.

“Kita mahu laman terbabit mempromosi kebaikan madu lebah kelulut Selangor seterusnya menarik minat orang ramai untuk mengusahakannya,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam Program Bersama Pengusaha Lebah Madu Kelulut Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, petang semalam.

Hadir sama Pembantu Exco Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Mohd Haslin Hassan dan Pengarah Jabatan Pertanian Selangor, Mohamad Idrus Ab Hamid.

Zaidy berkata, perusahaan madu lebah kelulut juga mampu memberikan pendapatan lumayan seperti mana tanaman komersial lain.

“Jabatan Pertanian Selangor sendiri memulakan projek terbabit di Sabak Bernam bagi meningkatkan pendapatan pengusaha ladang kelapa.

“Saya dimaklumkan beberapa pengusaha mencatat pendapatan hasil madu lebah kelulut melebihi jualan kelapa atau tanaman lain,” katanya.

EZY