Categories
NASIONAL

Media dikongkong punca isu mahasiswa lapar tidak dihebah – Anwar

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 9 APR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis dakwaan segelintir pihak yang menyatakan isu mahasiswa berlapar adalah suatu isu baharu terjadi ketika Pakatan Harapan (Pakatan) memerintah.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, isu terbabit tidak dihebahkan sebelum ini kerana media dikongkong dan menyebabkan mahasiswa takut untuk bercakap.

“Masalah ini dulu pun ada, cuma dulu media dikongkong, jadi mahasiswa tidak berani bercakap. Bila dalam keadaan budaya bisu, hal sebegini tidak diketengahkan.

“Tapi sekarang, semua masalah bebas dikemukan, jadi oleh demikian kita sambut isu ini dan cuba selesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika berucap pada Majlis Pelancaran Food Bank Siswa Universiti Malaya, di Kompleks Perdana Siswa, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, beliau turut mencadangkan supaya nama Program Food Bank itu bertukar kepada Tabung Makanan bagi memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Program inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu bakal memanfaatkan 20 ribu mahasiswa di 20 universiti awam seluruh Malaysia.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

PKPIM: Tangani segera isu mahasiswa ‘lapar’

OLEH : MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kenyataan Sekretariat Timbalan-Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Awam, dalam sidang media 13 Januari berhubung isu “mahasiswa lapar” yang heboh di media massa baru-baru ini.

Sidang media tersebut diadakan di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Putrajaya.

suspended-mealDalam sidang media tersebut, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran mewakili sekretariat itu mempertikai dapatan kajian “mahasiswa lapar” oleh sebuah NGO, Pertubuhan Kebajikan Muslim Malaysia (MVM) yang menyimpulkan bahawa 75% mahasiswa di universiti ‘kelaparan’.

Laporan ini dianggap oleh sekretariat ini sebagai keterlaluan dan mempunyai niat tersembunyi.

Bagi PKPIM, isu sebenar adalah bebanan hidup mahasiswa. Dengan keadaan kegawatan ekonomi negara, dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), sudah semestinya memberi kesan kepada rakyat.

Dalam konteks mahasiswa pula, GST menatijahkan kenaikan harga yuran di universiti.

Dalam masa yang sama, pada saat mahasiswa terbeban dengan kenaikan kadar yuran, jumlah pinjaman PTPTN pula diturunkan.

(rujuk Pekeliling PTPTN Bilangan 1 2014 (Penurunan Jumlah Pembiayaan Pendidikan…). Sudahlah harga yuran naik, jumlah pinjaman PTPTN pula dipotong.

Terlepas daripada membahaskan isu kebolehpercayaan laporan oleh MVM itu, PKPIM menggesa para pentadbir di universiti untuk berhenti menafikan isu sebenar yang menghambat para mahasiswa di universiti iaitu beban hidup mahasiswa yang semakin menekan.

Sudah sampai masanya pentadbir universiti dan juga Kementerian Pendidikan Tinggi sendiri hadapi isu sebenar. Cukuplah berdolak-dalih daripada isu sebenar kerana ‘sindrom penafian’ yang ditunjukkan oleh para pentadbir universiti seperti ini tidak akan menyelesaikan masalah.

Ini bukan kali pertama aduan bebanan hidup mahasiswa diutarakan. Berkali-kali aduan dihadapkan kepada pihak berwajib, tetapi jawapan yang diterima setiap kali adalah hampa kerana mereka terus-menerus mengelak daripada isu sebenar.

Sebagai contoh dalam pengalaman kami tahun lalu, PKPIM pernah mengeluarkan kenyataan media bertarikh 30 Mac 2015 bertajuk “Nasib Pelajar dan Mahasiswa Selepas Pelaksanaan GST: Kementerian Pendidikan Wajar Beri Penjelasan”.

Berikutan itu, aduan kami itu telah dijawab secara negatif oleh pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor (JKNC/R) IPTA, Brig Jen Datuk Prof Dr. Kamarudin Hussin yang “menyeru semua mahasiswa agar tidak terpengaruh dengan penyebaran maklumat yang tidak sahih seperti ini… Tindakan PKPIM yang secara melulu mengeluarkan kenyataan juga amatlah dikesali…”. (Rujuk laporan BERNAMA 31 Mac 2015).

Ini suatu contoh jelas sindrom penafian oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab tangani isu bebanan hidup mahasiswa.

Setelah itu, PKPIM telah dihubungi pula oleh Bahagian Pembangunan Mahasiswa Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang meminta kami mengusulkan bukti-bukti yang berkaitan.

PKPIM mengemukakan beberapa lampiran kepada Jabatan Pengajian Tinggi ketika itu termasuklah notis kenaikan yuran yang tersebar dalam kalangan pelajar universiti, Notis makluman pelaksanaan GST di univerisiti, dokumen kenaikan yuran dan Pekeliling PTPTN Bilangan 1 2014 (Penurunan Jumlah Pembiayaan Pendidikan…).

Selepas bukti-bukti ini dihantar, pihak PKPIM langsung tidak menerima sebarang respon. Pihak Jabatan Pengajian Tinggi (ketika itu) terus membisu setelah melihat bukti terpampang di depan mata.

Dalam perkembangan yang sama, kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berhubung program kebajikan bernilai RM5.2 juta diagihkan kepada 31,776 pelajar yang memerlukan sepanjang tahun lepas, kami sambut dengan positif.

Walau bagaimanapun, isu kenaikan harga yuran (yuran pengajian, yuran asrama dan yuran berkaitan) dan pemotongan jumlah pinjaman PTPTN wajar diambil serius oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

PKPIM juga menuntut agar label-label “simplistik” dan melulu seperti ‘mahasiswa manja’ yang dikeluarkan oleh pemimpin negara wajar dihentikan.

Kenyataan oleh pemimpin seperti ini bukan sekadar mengelak isu sebenar, malah melambangkan sikap tidak bertanggungjawab pemimpin yang menyalahkan rakyat atas kegagalan mereka mentadbir negara (contoh: rujuk rancangan bual bicara Lanskap RTM pada 15 Januari).

Pemimpin negara yang terpalit pelbagai skandal melibatkan wang bernilai bilion ringgit, kemudian menuduh rakyat yang terbeban sebagai manja. Langsung tidak menyelesaikan masalah.

Akhir sekali, PKPIM mengharapkan Menteri Pendidikan Tinggi dapat mengajukan permasalah ini kepada Kabinet Menteri bagi mendapatkan solusi yang tuntas, di samping KPT sendiri mengeluarkan pelan tindakan yang berkesan dalam mendepani isu sebenar yang berlaku dalam kalangan mahasiswa.

PKPIM sedia membantu pihak KPT dalam mencari solusi yang tuntas berhubung isu ini.

* MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH adalah presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Categories
NASIONAL

“Menteri tak apalah, makan sampai perut pecah”

SHAH ALAM 17 JAN: Menteri kabinet yang menyarankan pelajar universiti bekerja bagi menampung kehidupan diselar bekas pemimpin pelajar Universiti Malaya, Fahmi Zainol,

Beliau menempelak kenyataan itu kerana ketika membicarakan soal mahasiswa lapar namun menteri itu sendiri tidak menyelami penderitaan dihadapi golongan itu mutakhir ini.

“Tengok, bila ada mahasiswa lapar, dikatakan manja? Inilah taraf layanan yang disajikan buat mahasiswa oleh kerajaan.

mahasiswa“Apabila mahasiswa Malaysia 2016, baru kenal erti lapar. Korang menteri tak apalah, makan sampai perut pecah. Mana pernah rasa lapar?,” tulis Fahmi di laman Facebooknya.

Fahmi berkata tiada peningkatan dalam biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hampir sepuluh tahun tidak setara dengan peningkatan kos sara hidup.

“Harga teh ais , nasi lemak, teh oh ais dan mee segera naik dalam tempoh 10 tahun. Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini pun gaji ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri naik.

“Malah belanjawan pendidikan 2016 pula dipotong? Di mana kesaksamaannya?,” soalnya.

Beliau berkata kerajaan tidak menjalankan tanggungjawab asas mereka iaitu menyediakan pendidikan, kebajikan, keselamatan dan kesihatan buat rakyat dengan akhirnya mahasiswa dipersalahkan.

“Mahasiswa dah la sekarang ini terkejar-kejar cari merit nak duduk kolej, nak tambah markah kokurikulum, perlukan “nilai tambah” dalam sijil apabila keluar bekerja nanti.

“Dalam masa sama Menteri dan Timbalan Menteri suruh “budak-budak” ni bekerja,” katanya.

EZY