KUALA LUMPUR, 14 NOV: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM9.5 juta bagi Bantuan Zakat Kecemasan kepada golongan yang terjejas, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
MAIWP dalam satu kenyataan menyatakan dua syarat utama permohonan ini adalah pemohon yang tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, serta pemohon bukan penerima Bantuan Kewangan Bulanan Baitulmal MAIWP.
“Mereka yang menjadi tumpuan (bantuan) kali ini ialah pemandu teksi atau e-panggilan, pengawal keselamatan, peniaga kecil, mereka yang hilang pekerjaan akibat Covid-19 dan lain-lain yang terkesan akibat wabak itu.
“Mereka yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM500 dan akan disalurkan sebelum 31 Disember ini,” menurut kenyataan tersebut.
Orang ramai boleh membuat permohonan bantuan yang dibuka secara dalam talian menerusi pautan ebaitulmal.maiwp.gov.my/ez-zakat mulai 16 hingga 27 November.
Menurut kenyataan itu lagi, Bantuan Zakat Kecemasan bukan kali pertama diluluskan, malah telah mula dibuka semasa PKP pertama pada Mac lalu, dengan RM10 juta telah diperuntukkan serta membantu seramai 23,340 orang.
-BERNAMA