Categories
SELANGOR

Penjawat Awam Perlu Tingkat Prestasi Untuk Kemajuan Negeri

SHAH ALAM, 30 JUN : Penjawat Awam di Selangor disaran meningkatkan prestasi dan mutu kerja sebagai persediaan bagi menggerakkan ekonomi dan pembangunan negeri yang lebih baik, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid, perubahan dari segi tatacara dan kualiti kerja memainkan peranan penting untuk membolehkan sesebuah negeri itu diiktiraf sebagai negeri maju dan berdaya saing.

Beliau berkata, penerapan budaya prestasi bekerja yang tinggi ditambah dengan pengetahuan kemahiran yang luas akan menjana penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.

“Warga kerja mesti melengkapkan diri dari segi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan supaya dapat menggerakkan pembangunan negeri. Dalam usaha ke arah itu, kita perlu mengenali dan memahami kehendak pelanggan terlebih dahulu supaya segala permasalahn dapat diselesaikan secara berhemah,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri selangor (SUK) Tahun 2011 di De Palma Inn, di sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini merupakan penghargaan kerajaan negeri kepada anggota penjawat awam yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang di mana mutu atau penghasilannya melebihi daripada keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya.

Seramai 123 penjawat awam daripada lima jabatan menerima anugerah tersebut antaranya, Pejabat SUK, Perbendaharaan Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Lembaga Harta dan Perumahan Negeri Selangor serta Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).

Turut berlangsung, pemberian sijil penghargaan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) 2011, pentauliahan ahli Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) serta penyampaian watikah pelantikan mentor dan menti.