Categories
SUKANKINI

Tornado muncul juara Piala Pejabat Tanah dan Daerah Klang 2019

KLANG, 18 OGOS: Pasukan Tornado dari Pelabuhan Klang muncul juara pada Kejohanan futsal Piala Pejabat Tanah dan Daerah Klang 2019 yang diadakan dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Dalam aksi final yang berlangsung di Sportizza, di sini, Tornado menewaskan pasukan Ikmal dengan 2-0, sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000.

Kapten, Hasrul Haffiz, 37 nyata gembira dengan pencapaian pasukannya yang berjaya di kejohanan itu.

Ketua pasukan Tornado FC(port klang), Hasrul Haffiz

Beliau turut berharap lebih banyak kejayaan mampu diraih oleh pasukkannya dalam pertandingan-pertandingan yang bakal disertai nanti.

“Kami selalu menjalani latihan di Shah Alam dan pasukan yang sama juga menyertai pelbagai kejohanan sebelum ini.

“Pada 31 Ogos ini, kami juga akan menyertai Piala Tun Dr Mahathir Mohamad, kami berharap dapat ke pusingan akhir,” katanya kepada SelangorKini.

Hasrul berkata, selain menyertai kejohanan di semua negeri, pasukannya berharap mampu ke peringkat yang lebih tinggi dan dapat mengharumkan nama negara.

Terdahulu, pasukan itu juga pernah menyertai kejohanan Raja Futsal, IM4U dan JenS Selangor.

Perlawan akhir pasukan Tornado FC menentang Ikmal Fc semasa Program Kejohanan Futsal Pejabat Daerah Klang di Sportizza Klang, Telok Gadong pada 18 Ogos 2019.-Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tornado juga merangkul tempat ketiga di Kejohanan Raja Futsal dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Hadiah berkenaan disampaikan oleh EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari.

Sebanyak 16 pasukan berentap bagi merebut kejuaraan Piala Pejabat Tanah Dan Daerah Klang itu.

Categories
EXCO SELANGOR

Kejohanan Futsal Piala Pejabat Tanah Klang dan MPKK erat hubungan

SHAH ALAM, 18 OGOS: Kejohanan futsal Piala Pejabat Tanah dan Daerah Klang 2019 dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mengeratkan lagi silaturahim antara penduduk setempat.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, inisiatif penganjuran aktiviti itu juga diharapkan menjadi contoh kepada MPKK di kawasan seluruh Selangor.

“Penganjuran kali pertama ini mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada 16 pasukan terdiri daripada golongan belia.

“Saya berharap aktiviti ini sentiasa diadakan pada masa akan datang dan mendapat lebih banyak penyertaan,” katanya kepada SelangorKini.

Abdul Rashid turut mencadangkan kejohanan seumpama itu diadakan di pelbagai peringkat termasuk warga emas.

“Tahun hadapan mungkin kita boleh memperkenalkan aktiviti seperti ini di peringkat usia pelbagai antaranya kategori 40-an, 50-an atau warga emas.

“Saya percaya aktiviti ini dapat menambahkan keharmonian dan penduduk dapat menjalani aktiviti riadah yang sihat supaya mengamalkan gaya hidup yang lebih proaktif,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Klang kawasan Telok Gadong, Jamil Jemain berkata, penyertaan kejohanan itu menarik perhatian penduduk kawasan sekitar.

Katanya, selain mengeratkan hubungan, golongan belia dapat mengelakkan diri daripada sebarang aktiviti atau gejala sosial yang tidak bermanfaat.

“Kita jangka ia akan menjadi aktiviti tahunan dan mungkin juga boleh diadakan dengan lebih kerap,” katanya.

Categories
SELANGOR

MMKN lulus 354 calon ketua kampung termasuk lima wanita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 OKT: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sudah meluluskan nama calon ketua kampung bagi 354 kampung di Selangor termasuk lima daripadanya adalah wanita.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, semua calon yang lulus sudah melalui proses temuduga dengan panel terdiri daripada Pejabat Daerah, Penghulu serta Ahli Dewan Negeri (ADN) masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat 17 lagi kekosongan jawatan ketua kampung yang akan dikemukakan kepada MMKN dalam tempoh terdekat menjadikan jumlah semua kampung adalah 371.

“Calon berjaya diberi surat pelantikan oleh Kerajaan Negeri melalui setiap Pejabat Daerah dan sudah mula berkuatkuasa mulai semalam (1 Oktober) sehingga 31 Disember 2020.

“Selaras dengan keputusan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Rina Mohd Harun pada Jun lalu yang ingin menggantikan istilah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ditukar kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK),” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat DUN Batu 3, di sini, hari ini.

Rodziah berkata, setiap ketua kampung perlu melantik seorang setiausaha dan 11 biro sekali gus menjadikan MPKK seramai 13 untuk setiap kampung.

“Di bawah portfolio saya sendiri, saya bersetuju mahu menubuhkan dua biro iaitu Biro Disiplin bagi memantau tatatertib ketua kampung dan Biro Memantau Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

“Malah, saya berasa amat gembira kerana kali ini kita membuat perubahan dengan melantik wanita selaku ketua kampung dan melibatkan 30 peratus penglibatan golongan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, katanya, lima ketua kampung wanita itu terdiri daripada calon dari kampung tradisi iaitu di Hulu Selangor (satu); Kuala Langat (satu) dan Hulu Langat (tiga).