Categories
NASIONAL SELANGOR

Flat Taman Permata : “Tidur Tak Lena, Takut Dihempap Batu”

flet taman permata retak 03

DENGKIL, 13 JUL : Walaupun sudah 33 hari tidur di dalam khemah K Mathavi, 65, lebih sanggup tinggal daripada bermalam di dalam unit flatnya di Taman Permata di sini.

“Setiap malam saya akan dengar bunyi pelik iaitu keretakan pada dinding dan siling rumah sehingga membuatkan kami sekeluarga takut untuk bermalam di rumah sendiri kerana bimbang batu akan menghempap kami.”

Mahthavi, seorang daripada 266 penghuni yang mendiami Blok 5, Pangsapuri Taman Permata, di sini yang dibelenggu ketakutan setelah bangunan itu didapati tidak selamat berikutan keretakan serius yang berlaku di bahagian bawah rumah.

Mahthavi, yang sudah tinggal di situ sejak 15 tahun lalu berkata, kejadian tersebut mula dihadapi penduduk seawal tahun 2001, iaitu kira-kira tiga tahun setelah mendiami pangsapuri berkenaan.

Penghuni flat itu adalah sebahagian daripada ?penduduk asal? Putrajaya, yang terpaksa berpindah bagi memberi jalan kepada pembangunan kota pentadbiran itu.

Namun katanya, keretakan yang dialami penduduk pada mulanya tidaklah begitu serius, tetapi ia bertambah buruk saban hari sehingga menyebabkan keadaan pangsapuri itu semakin mendap dan menjadi senget secara tiba-tiba.

“Ramai penduduk mengambil keputusan untuk tinggal di khemah ini setelah mendapati kediaman mereka tidak lagi selamat untuk diduduki.

“Ada salah seorang penduduk di sini yang mengalami sakit jantung akibat terkejut dengan bunyi bising dari dinding rumah. Malah kami masih mendengar bunyi bising sehingga ke hari ini.

flet taman permata duduk khemah 02

?Kami tidak mahu tinggal di sini lagi kerana pangsapuri ini tidak lagi selamat. Mahu duduk sekejap dalam rumah pun kami risau, apatah lagi dalam tempoh lama. Kami tidak sanggup,? katanya ketika ditemui pemberita, pagi tadi.

Tinjauan TVSelangor mendapati beberapa rumah di blok itu mengalami keretakan agak teruk, jubin bertaburan di lantai manakala keadaan flat empat tingkat itu pula mendap.

Saluran air bawah tanah di penjuru flat didapati mengalirkan air terus ke longkang dan ia dipercayai penyebab berlakunya mendapan berkenaan.

Disebabkan keadaan bangunan yang tidak selamat, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengarahkan semua penduduk berpindah sementara waktu bagi membolehkan mereka membuat pemantauan terhadap keselamatan flat.

Sebagai langkah keselamatan, lebih 80 buah keluarga di situ mengambil keputusan untuk tinggal di tiga buah khemah yang didirikan sendiri oleh penghuni pangsapuri berkenaan sejak 11 Jun lalu.

Seorang lagi penduduk, S.Angela, 50, berkata beliau terpaksa menggunakan wang simpanannya untuk mengubah suai rumah lebih daripada tiga kali akibat dinding rumah terutama di bahagian dapur mula mengalami keretakan serius.

Beliau yang tinggal bersama suami dan enam orang anaknya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga tidak kira siang atau malam ekoran bimbang rumah yang sudah 15 tahun didiami itu akan menggugat keselamatan mereka.

“Suami saya kini diserang pelbagai penyakit kerana terlalu bimbangkan nasib kami sekeluarga di sini yang masih belum menerima sebarang kata putus daripada pihak bertanggungjawab.

flet taman permata retak 09

“Ketua blok di sini sudah membuat laporan di balai polis dan Jabatan Kerja Raya (JKR), tetapi belum ada jawapan yang pasti,” luahnya.

S.Muniandy, 60, berkata penduduk di situ bukan hanya berhadapan masalah keretakan dinding rumah, tetapi turut berhadapan masalah saluran paip air tersumbat.

Malah setahun lalu katanya, akibat sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik, penduduk di kawasan itu berhadapan banjir besar melebihi satu meter pada musim hujan lebat.

“Kalau Kerajaan Pusat mahu betul-betul bantu kami, tolonglah sediakan rumah yang sesuai. Jangan buat kami begini,” ujarnya.

flet taman permata banner 01