Categories
SELANGOR

Selangor Sedia Tawar Tanah Taman Permata Dengan Syarat

flet taman permata demo 01

SHAH ALAM, 31 JULAI: Kerajaan Selangor hari ini sedia mencari bidang tanah baru untuk projek perumahan penduduk Pangsapuri Taman Permata di Dengkil setelah tanah asal yang dipilih tidak dipersetujui Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri juga akan mengeluarkan dana bagi memperoleh tanah tersebut dengan syarat Kerajaan Persekutuan memberi jaminan bahawa tanah itu hanya akan digunakan untuk projek perumahan tersebut.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebelum ini Kerajaan Negeri telah menyediakan tanah 30 ekar untuk projek perumahan itu yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan kepada penduduk tersebut.

Projek perumahan itu adalah sebagai ganti kepada 400 keluarga yang terpaksa meninggalkan rumah asal mereka di tiga buah ladang pada tahun 1998 untuk memberi laluan kepada pembinaan kota Putrajaya.

Keluarga tersebut ditempatkan di dalam perumahan flet sementara, iaitu Pangsapuri Taman Permata. Malangnya Kerajaan Persekutuan sehingga kini tidak menepati janji untuk membina rumah teres satu tingkat untuk mereka.

“Kami ada surat dari Kerajaan Persekutuan memberitahu tanah yang kita tawar untuk pembangunan baru Taman Permata tidak sesuai dan mereka memohon agar Kerajaan Negeri mencari tanah lain.

“Setiausaha Kerajaan Negeri sudah menjawab kepada Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri sanggup mengambilalih tanggungjawab itu termasuk bayaran untuk pengambilalihan tanah itu dengan jaminan Kerajaan Pusat membinanya,” kata Abdul Khalid.

Dilaporkan sebelum ini bahawa kehidupan penduduk di Taman Permata semakin sempit apabila flet yang mereka duduki mulai retak teruk di bahagian dinding dan siling.

Pangsapuri terbabit mulai retak selepas tiga tahun ia diduduki. Kini, retakan tersebut mengancam keselamatan penduduk sehingga ada di antara mereka yang memutuskan untuk bermalam di dalam khemah dan tempat meletak kereta kerana bimbang bangunan itu runtuh.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Flat Taman Permata : “Tidur Tak Lena, Takut Dihempap Batu”

flet taman permata retak 03

DENGKIL, 13 JUL : Walaupun sudah 33 hari tidur di dalam khemah K Mathavi, 65, lebih sanggup tinggal daripada bermalam di dalam unit flatnya di Taman Permata di sini.

“Setiap malam saya akan dengar bunyi pelik iaitu keretakan pada dinding dan siling rumah sehingga membuatkan kami sekeluarga takut untuk bermalam di rumah sendiri kerana bimbang batu akan menghempap kami.”

Mahthavi, seorang daripada 266 penghuni yang mendiami Blok 5, Pangsapuri Taman Permata, di sini yang dibelenggu ketakutan setelah bangunan itu didapati tidak selamat berikutan keretakan serius yang berlaku di bahagian bawah rumah.

Mahthavi, yang sudah tinggal di situ sejak 15 tahun lalu berkata, kejadian tersebut mula dihadapi penduduk seawal tahun 2001, iaitu kira-kira tiga tahun setelah mendiami pangsapuri berkenaan.

Penghuni flat itu adalah sebahagian daripada ?penduduk asal? Putrajaya, yang terpaksa berpindah bagi memberi jalan kepada pembangunan kota pentadbiran itu.

Namun katanya, keretakan yang dialami penduduk pada mulanya tidaklah begitu serius, tetapi ia bertambah buruk saban hari sehingga menyebabkan keadaan pangsapuri itu semakin mendap dan menjadi senget secara tiba-tiba.

“Ramai penduduk mengambil keputusan untuk tinggal di khemah ini setelah mendapati kediaman mereka tidak lagi selamat untuk diduduki.

“Ada salah seorang penduduk di sini yang mengalami sakit jantung akibat terkejut dengan bunyi bising dari dinding rumah. Malah kami masih mendengar bunyi bising sehingga ke hari ini.

flet taman permata duduk khemah 02

?Kami tidak mahu tinggal di sini lagi kerana pangsapuri ini tidak lagi selamat. Mahu duduk sekejap dalam rumah pun kami risau, apatah lagi dalam tempoh lama. Kami tidak sanggup,? katanya ketika ditemui pemberita, pagi tadi.

Tinjauan TVSelangor mendapati beberapa rumah di blok itu mengalami keretakan agak teruk, jubin bertaburan di lantai manakala keadaan flat empat tingkat itu pula mendap.

Saluran air bawah tanah di penjuru flat didapati mengalirkan air terus ke longkang dan ia dipercayai penyebab berlakunya mendapan berkenaan.

Disebabkan keadaan bangunan yang tidak selamat, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengarahkan semua penduduk berpindah sementara waktu bagi membolehkan mereka membuat pemantauan terhadap keselamatan flat.

Sebagai langkah keselamatan, lebih 80 buah keluarga di situ mengambil keputusan untuk tinggal di tiga buah khemah yang didirikan sendiri oleh penghuni pangsapuri berkenaan sejak 11 Jun lalu.

Seorang lagi penduduk, S.Angela, 50, berkata beliau terpaksa menggunakan wang simpanannya untuk mengubah suai rumah lebih daripada tiga kali akibat dinding rumah terutama di bahagian dapur mula mengalami keretakan serius.

Beliau yang tinggal bersama suami dan enam orang anaknya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga tidak kira siang atau malam ekoran bimbang rumah yang sudah 15 tahun didiami itu akan menggugat keselamatan mereka.

“Suami saya kini diserang pelbagai penyakit kerana terlalu bimbangkan nasib kami sekeluarga di sini yang masih belum menerima sebarang kata putus daripada pihak bertanggungjawab.

flet taman permata retak 09

“Ketua blok di sini sudah membuat laporan di balai polis dan Jabatan Kerja Raya (JKR), tetapi belum ada jawapan yang pasti,” luahnya.

S.Muniandy, 60, berkata penduduk di situ bukan hanya berhadapan masalah keretakan dinding rumah, tetapi turut berhadapan masalah saluran paip air tersumbat.

Malah setahun lalu katanya, akibat sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik, penduduk di kawasan itu berhadapan banjir besar melebihi satu meter pada musim hujan lebat.

“Kalau Kerajaan Pusat mahu betul-betul bantu kami, tolonglah sediakan rumah yang sesuai. Jangan buat kami begini,” ujarnya.

flet taman permata banner 01

Categories
SELANGOR

Ganabathirau : Jumpa Penduduk Taman Permata Minggu Depan

ganabatirau

SHAH ALAM 13 JULAI : Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan, Kerajaan Prihatin, V Ganabathirau dijangka bertemu dengan penduduk Taman Permata, Dengkil bagi menyelesaikan isu perumahan mereka yang kini mengalami keretakan serius.

Menurut Ganabatirau, dalam pertemuan dengan penduduk itu nanti, pihaknya akan berbincang mengenai tawaran pembaikan keretakan pangsapuri terbabit sementara menunggu Kerajaan Pusat membina rumah baru mereka.

Katanya, alternatif itu dilakukan selepas mendapat nasihat daripada badan profesional dan kajian dari Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM).

“Kita sedia membaiki keretakan itu, sementara menunggu Kerajaan Pusat membina rumah teres seperti yang mereka janjikan sebelum ini,” katanya ketika di temui di Pejabatnya, di sini.

Penduduk pangsapuri kos rendah itu terdiri daripada 400 penghuni sementara yang merupakan bekas pekerja di Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgley.

Mereka dipindahkan 14 tahun lalu berikutan memberi laluan kepada projek pembinaan Putrajaya seterusnya dijanjikan rumah teres satu tingkat.

Bagaimanapun, Kerajaan Pusat gagal menunaikan janji untuk membina perumahan itu dan penduduk hanya diberikan perumahan sementara iaitu pangsapuri kos rendah.

Manakala ketika ini, sebahagian daripada penduduk sudah 31 hari ‘berumah sementara’ di dalam khemah yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) selepas dikejutkan gegaran kuat.

Mengulas lanjut penyelesaian kepada kemelut itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan memperuntukkan tanah 30 ekar kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk kerja-kerja pembinaan rumah seperti yang dijanjikan mereka sebelum ini.

“Sebelum ini, kita memperuntukkan 18 ekar tanah, namun pihak Kementerian menolak tawaran itu kerana dikatakan tidak mencukupi untuk membina 400 buah rumah teres satu tingkat dalam surat mereka pada 7 Julai lalu.

“Oleh itu, kita membuat keputusan untuk memberikan tanah yang lebih luas kepada kementerian dan saya harap pihak kementerian serius membangunkan perumahan itu.

“Kerajaan Negeri serius dan komited untuk menangani isu seperti ini, kita sedia membantu menyelesaikan masalah penduduk,” katanya.

Difahamkan, proses pembangunan perumahan itu lambat dilakukan berikutan bekas Ahli Parlimen Sepang, Dr Mohd Zin Mohamed berkeras meminta 100 ekar daripada Kerajaan Negeri.