Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin rasmi sambutan Maulidur Rasul

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 DIS: Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 1438H/2016M di Stadium Malawati pagi tadi diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

img_20161212_130722_442Majlis memperingati hari keputeraan Nabi Muhammad SAW dirasmikan baginda itu dimulakan dengan perarakan melibatkan lebih 3,600 peserta daripada 90 kotijen daripada jabatan Kerajaan, badan berkanun, swasta, badan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam, masjid dan sekolah menengah.

Perarakan sambutan bertemakan ‘Umat Bersatu, Selangor Maju’ itu didahului Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Majlis yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Exco Kerajaan Negeri itu sarat dengan pengisian ilmu khususnya mengenai sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW sebagai ikon terbaik sepanjang zaman.

Sementara itu dalam majlis sama, seramai lima individu menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul 1438H/2016M di atas perkhidmatan cemerlang dan sumbangan mereka dalam meningkatkan syiar Islam di Selangor.

Penerima anugerah terbabit, Bilal Kamaruddin menerima Anugerah Saidina Ali, Profesor Madya Dr Khadijah Mohd Khambali@Hambali menerima Anugerah Saidatina Khadijah, Dato’ Aidit Ghazali menerima Anugerah Imam Al-Ghazali, Tun Hisan Tun Hamzah menerima Anugerah Khalid Al-Walid dan Dato’ Setia Mohamed Khusrin Munawi menerima Anugerah Umar Bin Abdul Aziz.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RMS dahului perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 DIS: Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 1438H pagi ini disemarakkan dengan Perarakan Maulidur Rasul.

Perarakan sambutan bertemakan ‘Umat Bersatu, Selangor Maju’ itu didahului DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dengan diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Perarakan pada jam 8.30 pagi itu bermula di Stadium Mini Shah Alam sebelum berakhir di Stadium Melawati, di sini.

Perarakan sejauh kira-kira dua kilometer itu melibatkan 90 kontijen yang dianggotai lebih 3,600 peserta.

img_20161212_093730_679Kontijen terbabit terdiri daripada jabatan kerajaan, badan berkanun, swasta, badan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam, masjid dan sekolah menengah.

Dalam perarakan itu, Jabatan Penjara Malaysia Sungai Buloh memenangi kategori pertandingan perarakan terbaik dan sepanduk terbaik.

Kontinjen lain turut memenangi dalam kategori masing-masing adalah Masjid Uniten, Sekolah Maahad Tahfiz Hishamuddin, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan PADAT.

-nR-