Categories
SELANGOR

Komited bantu MAKSAK

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 NOV: Kerajaan Negeri komited untuk membantu Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) dengan menyediakan fasiliti yang diperlukan, selain peruntukan geran RM300,000.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri mahukan penjawat awam tidak hanya tertumpu kepada aktiviti formal dan harian di pejabat sahaja.

“Saya percaya salah satu aktiviti MAKSAK akan dapat menjalin hubungan dengan komuniti luar terutamanya seperti kelompok kebudayaan.

“Ia adalah medium penyampaian atau ejen terbaik masa hadapan,” katanya
di Majlis Perasmian Penutup Festival Kesenian MAKSAK Malaysia 2018, di Dewan Banquet, Dewan Jubli Perak, di sini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) merangkap Timbalan Yang Dipertua MAKSAK Selangor, Zamani Ahmad Mansor dan Setiausaha Aging MAKSAK Malaysia, Radin Hedly Shah Radin Mohamad Hambali.

Pada program itu, Amirudin yang juga Penaung MAKSAK Selangor berkata, MAKSAK Selangor aktif menyertai semua acara yang dipertandingkan tahun lalu.

Katanya, Anugerah Johan Keseluruhan dan Kebajikan Malaysia tahun lalu turut dirangkul MAKSAK Selangor.

“Festival kesenian ini dapat menyatukan dan membudayakan budaya seni dalam kalangan penjawat awam di Malaysia.

“Saya sentiasa menyokong bagi memastikan sejarah kesenian yang bertapak sekian lama tidak akan terkubur,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Sukan MAKSAK beri pengalaman berharga

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 MAC: Ahli Majlis Kebajikan & Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) menyifatkan penyertaan dalam Karnival Sukan MAKSAK Malaysia 2017 memberi pengalaman berharga apabila berpeluang bersaing dengan atlet yang pernah mewakili negara dalam acara sukan masing-masing.

Pemain badminton MAKSAK Selangor, Mohd Amali Che Ismail berkata, kehadiran bekas pemain kebangsaan dan negeri yang lebih ramai berbanding edisi sebelum ini memberi pengalaman berharga kepada atlet muda yang memiliki kecenderungan dalam sukan.

Katanya, ia sekali gus mendorong mereka berusaha dengan lebih gigih dalam lapangan sukan yang diceburi.

“Mutu sukan dalam edisi kali ini sangat hebat kerana ada pemain yang bukan sahaja berbakat, malahan ada juga bekas pemain kebangsaan dan negeri turut serta.

“Saya percaya lebih ramai bekas atlet kebangsaan dan negeri akan menyertai kejohanan akan datang mewakili pasukan masing-masing untuk mencabar pemenang tahun ini,” katanya selepas dinobatkan juara dalam acara badminton berpasukan.

Mohd Amali berkata demikian kepada SelangorKini ketika Majlis Perasmian Penutupan Karnival Sukan MAKSAK di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, di sini, semalam.

Beliau yang menjuarai kategori badminton berpasukan itu turut bertindak sebagai Ahli Physiotherapy pasukan MAKSAK Selangor.

20170305_151646Sarjan Mejar Salmah Mat Ketah yang mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula berkata, walaupun sukar menyaingi kehebatan bekas pemain kebangsaan, namun ia disifatkan pengalaman berharga.

“Kakitangan biasa seperti kami memang sukar bersaing kerana mereka mempunyai kelebihan dari segi teknik tetapi ini adalah pengalaman menarik dan mampu merangsang atlet muda untuk berlatih lebih giat.

“Selain itu, ia juga boleh meningkatkan mutu sukan dengan ada pemain baru dan muda untuk meningkatkan prestasi dalam sukan serta kerja di tempat masing-masing,” katanya yang memenangi tempat ketiga tenpin boling berpasukan wanita.

Atlit MAKSAK Negeri Sembilan, Mohd Fahmi Ramli yang bertugas di Jabatan RISDA Negeri Sembilan pula menyifatkan penyertaan beliau sebagai sesuatu yang bermakna apabila berpeluang bergaul dengan atlet lebih berpengalaman.

“Kami sebagai anggota lebih muda berpeluang bergaul dengan mereka yang lebih berpengalaman dan saya sendiri rasa puas hati dapat bersaing dengan pemain yang pernah bermain di peringkat lebih tinggi.

“Selain menanam minat anak muda dalam sukan, pertandingan ini juga merapatkan hubungan, mengenali anggota perkhidmatan lain dan meredakan tekanan dengan bersukan,” katanya yang berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir acara badminton berpasukan.

-AA-