Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu bapa, guru lega kerajaan kekalkan syarat asal kemasukan ke MRSM

SHAH ALAM, 7 SEPT: Keputusan kerajaan mengekalkan syarat asal pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) memberi kelegaan kepada ibu bapa dan guru.

Jawatankuasa Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Selangor menyambut baik keputusan berkenaan.

Yang Dipertua PIBG SRAI di negeri ini dalam kenyataan bersama memaklumkan keputusan itu membuktikan kerajaan cakna dengan nasib rakyat.

“Pengumuman menteri memberi kelegaan dan menyuntik kembali semangat buat ibu bapa dan murid khususnya yang telah lama menanam impian mahu melanjutkan pelajaran ke MRSM.

“Kami wakil ibu bapa, guru serta murid sekolah SRAI mengucapkan terima kasih kepada menteri yang telah membuat keputusan tepat, adil dan bijaksana. Kami juga akan terus membantu murid SRAI mengekalkan prestasi cemerlang dalam semua bidang,” katanya.

Kelmarin, kerajaan bersetuju mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke MRSM tanpa mengambil kira aliran sekolah selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kenyataan itu dibuat Yang Dipertua (YDP) PIBG berikut :

– Dr Shahrizan Adzham Ahmad (SRAI Dato’ Mufti Yusof Sahabuddin, Seksyen 7, Shah Alam)
– Taqiyuddin Amini Abdul Satar (SRAI Seksyen 19, Shah Alam)
– Hasnul Baharuddin (SRAI Sungai Manggis, Banting)
– Ir Jafrry Masat (SRAI Bandar Baru Bangi)
– Shamsuddin Ali (SRAI Tengku Ampuan Fatimah, Klang)
– Mohd Nasir Babas (SRAI Taman Keramat)
– Abdul Aziz Mohd Ali (SRAI Bandar Baru Kuala Selangor)
– Dr Mohamad Hakim Hamzah (SRAI SUngai Chinchin, Gombak)
– Dr Azman Ab Rahman (SRAI Salak Tinggi)
– Ir Mohd Zamri Mohamud (SRAI Pekan Beranang)
– Mohamad Hairi Keliwon (SRAI Muhammadiah, Pekan Sabak)

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Mara jamin keselamatan pelajar MRSM

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Ibu bapa pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara tidak perlu bimbang akan keselamatan anak mereka berikutan seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di MRSM Lipis disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Azizah Mohd Dun berkata pihaknya telah mengambil langkah-langkah pencegahan serta sentiasa berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkaitan permasalahan kesihatan pelajar.

“Nasihat saya kepada semua ibu bapa, mereka boleh menghubungi pihak pengurusan maktab jika timbul sebarang kebimbangan tentang anak-anak mereka.

“Pihak MARA peka dan sentiasa mengambil berat mengenai hal ehwal pelajar yang sedang berada di maktab sepanjang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 20 Jan lepas, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang memaklumkan seramai 144 pelajar MRSM Lipis dikuarantin selepas seorang pelajarnya positif Covid-19 pada Selasa (19 Jan).

Daripada jumlah itu, seramai 142 pelajar perempuan menjalani kuarantin di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan tempatan (I-KPKT) Bukit Tinggi manakala dua pelajar lelaki di asrama berkenaan, dan tiga daripada pelajar yang dikuarantin di I-KPKT disahkan positif Covid-19 dan dihantar ke hospital.

Azizah, yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata ketika ini, Mara telah membenarkan seramai 8,106 pelajar MRSM Tingkatan 5 (tahun 2020) untuk kembali ke asrama pada 9 Jan lepas untuk mengikuti pembelajaran secara bersemuka bagi menduduki peperiksaan SPM.

Pelajar daripada Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 (tahun 2021) yang lain hanya menjalani proses pembelajaran secara dalam talian di rumah masing-masing (PdPR) mengikut jadual yang ditetapkan dan tarikh untuk mereka kembali ke maktab untuk mengikuti pengajian secara bersemuka akan dimaklumkan kelak.

“Pelajar ini perlu mengikuti tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan MKN sebelum pulang ke MRSM manakala ibu bapa yang menghantar anak hanya diberi masa 30 minit dengan hanya seorang penjaga dibenarkan turun untuk mengangkat barang dan tidak dibenarkan untuk memasuki asrama.

“Sepanjang berada di maktab pula, pelajar perlu mengikuti SOP asas meliputi saringan suhu bagi mengenal pasti pelajar yang bergejala sebelum bermula Pembelajaran dan Pengajaran di maktab oleh guru yang bertugas.

“Maktab juga mengikuti garis panduan pembukaan sekolah dengan SOP yang ketat diamalkan untuk semua MRSM seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, mencuci tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan ke MRSM bagi tingkatan satu dan empat dibuka mulai esok

BEAUFORT, 23 OGOS: Permohonan kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi sesi 2021 bagi pelajar Tingkatan 1 dan 4 akan dibuka mulai esok (24 Ogos), bermula pukul 9 pagi.

Pengerusi MARA Datuk Azizah Mohd Dun berkata kemasukan ke MRSM pada tahun depan mewajibkan calon menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) bagi menguji potensi calon dan minat pelajar melibatkan mata pelajaran Matematik, Sains dan bahasa Inggeris serta ujian Keperibadian.

Beliau berkata calon yang berminat boleh memohon melalui laman web http://www.mara.gov.my dan tarikh tutup permohonan adalah pada 4 Disember depan.

“Calon perlu lulus keempat-empat UKKM untuk melayakkan diri dipertimbangkan memasuki MRSM dan keutamaan diberikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah. Pemohon dinasihatkan untuk membuat permohonan lebih awal bagi mengelak sebarang masalah dan memudahkan urusan UKKM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Institusi Pendidikan MARA, yang berlangsung dua hari sejak semalam, di Dewan Pa’ Musa, di sini hari ini.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata sebuah Kolej Profesional MARA (KPM) Beaufort akan dibina di daerah itu sebaik cadangan projek pembinaan kolej itu, diluluskan kelak.

Katanya, pembinaan kolej di atas tanah seluas 12 hektar itu dijangka akan dapat memulakan operasi pada pertengahan 2023.

“Kolej berkenaan merupakan yang pertama di Sabah, menawarkan kursus-kursus profesional yang memberi manfaat kepada penduduk setempat selain membuka peluang pengajian kepada rakyat di negara ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kebajikan pelajar MRSM daripada golongan B40 terus dipelihara

KUALA LUMPUR, 3 APR: Kebajikan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) akan terus dijaga dalam usaha memastikan mereka mendapat pendidikan berkualiti.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa berkata, kerajaan telah menyediakan beberapa kemudahan untuk membantu golongan tersebut termasuk pengecualian bayaran yuran pengajian sekiranya tidak berkemampuan melunaskannya.

“Pembayaran yuran untuk setiap bulan adalah lebih kurang RM60. Mana-mana pelajar yang menghadapi masalah kewangan boleh memohon pengecualian dan hampir semua akan dapat pengecualian itu sekiranya perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2018 (2019) dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, komitmen kerajaan itu juga dibuktikan apabila kuota 65 peratus kemasukan baharu pada tahun ini telah diisi golongan pelajar B40.

Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam satu kenyataan pada 13 Januari lepas telah memberi kelonggaran kepada pelajar daripada golongan B40 yang kurang berkemampuan untuk membayar yuran pendaftaran MRSM secara ansuran atau memohon penangguhan bayaran.

Dalam perkembangan lain, Sivarasa berkata, RM2.057 bilion pinjaman telah diperuntukkan kepada pelajar Bumiputera menerusi Skim Pinjaman Pelajaran yang melibatkan 56,957 pelajar pada 2018.

Sementara itu, ketika penggulungan, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, menterinya, Dr A Xavier Jayakumar berkata, kerajaan bersetuju meneruskan pembinaan empangan pelbagai guna ‘Cinta Mata Dam’ di Jalan Gudang Empat, Tawau.

Menteri itu berkata, beliau telah berbincang dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung projek empangan air itu yang tertakluk dalam skim bekalan air Tawau Fasa Ketiga.

“Saya minta kerjasama dari Sabah (kerajaan negeri) untuk kita teruskan dan selepas perbincangan dengan kontraktor dan juga Sabah dalam masa terdekat, kita akan buat pengumuman bahawa projek ini akan diteruskan di Tawau,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan kesemua RUU yang dibahaskan hari ini dengan suara majoriti.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

SUMBER: BERNAMA