Categories
AGENSI SELANGOR

Hijrah Selangor jalin kerjasama dengan MDEC bantu usahawan

PUCHONG, 19 SEPT: Yayasan Hijrah Selangor bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi memberikan latihan keusahawanan digital kepada usahawan Hijrah.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Dato’ Mansor Othman berkata, ia bagi membantu usahawan untuk membina kemahiran dalam menggunakan teknologi internet dan komputer.

Katanya, menerusi inisiatif itu ia dapat mencapai matlamat pemasaran untuk meningkatkan jualan dan prestasi terutama dalam perniagaan mikro.

“Hijrah Selangor mengambil inisiatif melaksanakan kursus pemasaran digital dan latihan keusahawanan dengan kerjasama MDEC bagi mempersiapkan usahawan Hijrah meningkatkan jualan serta prestasi perniagaan secara dalam talian.

“Malah, kerajaan pun ingin majukan digital ekonomi dan kita tidak mahu usahawan di Selangor terutamanya ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Sidang Media sempena Lawatan Kembara Sukses Hijrah 2019 di Restoren Mio’s Kitchen, Bandar Kinrara, di sini, hari ini.

Sementara itu, Peneraju Projek, Pembangunan Perniagaan, Kemahiran Digital MDEC, Amirul Ashraf Roslan berkata, pihaknya juga akan membangunkan pusat e-dagang setempat di setiap cawangan Hijrah tidak lama lagi.

“Menerusi pusat e-dagang itu, usahawan dan orang awam boleh membuat rujukan berkaitan perniagaan secara digital melalui penyediaan modul latihan yang disediakan kami ,” katanya.

Pada masa sama, Hijrah Selangor berhasrat melahirkan 40 tenaga pengajar bertauliah dalam kalangan Pegawai Hijrah Selangor melalui Kursus ‘Training of Trainers’ oleh MDEC supaya mereka berkeupayaan melatih usahawan Hijrah pada masa akan datang.

Categories
AGENDA NASIONAL

HIJRAH-MDEC meterai MoU rancak program usahawan

SHAH ALAM, 25 JUL: Hijrah Selangor (HIJRAH) dan Malaysia Digital Economy Malaysia (MDEC) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi merancakkan lagi program pembangunan keusahawanan di negeri ini.

MoU ditandatangani Pengerusi Eksekutif Yayasan HIJRAH, Dato’ Mansor Othman dan Pengarah ‘Enabling Ecosystem’ MDEC, IR Wan Murdani Wan Mohamad di Dewan Jubli Perak.

Pemeteraian MoU yang disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari itu dijangka membolehkan 800 usahawan HIJRAH menerima kursus e-usahawan secara percuma.

Sementara itu, Amirudin menyatakan keyakinanya terhadap kepakaran yang dimiliki MDEC mampu memberi manfaat besar khususnya buat usahawan Selangor.

“Usahawan Selangor harus mengambil manfaat ini bagi meningkatkan usaha dan seterusnya ‘go beyond comfort zone’ bagi menjadi usahawan berjaya di rantau Asia Tenggara.

“Ini selari dengan hasrat dan visi Kerajaan Negeri menjadi negeri pintar serantau (Regional Smart State) menjelang 2025,” katanya dalam ucapan.

Sementara itu Mansor berkata, kerjasama yang merangkumi tiga komponen itu juga akan membabitkan latihan kepada kakitangan terpilih bertujuan membantu usahawan dalam memberi tunjuk ajar serta sebagai tempat merujuk sekirannya berdepan permasalahan perniagaan mereka selain masalah modal.

“Kerjasama ini juga membolehkan wujudnya Pusat e-Dagang Setempat melalui cawangan terpilih untuk para usahawan mendapatkan kursus atau latihan anjuran MDEC secara percuma,” katanya.

Untuk rekod, HIJRAH telah menerima peruntukan dana pembiayaan sebanyak RM186 juta sejak penubuhannya pada 2015.

Sehingga kini, HIJRAH berjaya membantu lebih dari 50,000 peserta meningkatkan pendapatan serta melebarkan lagi golongan menengah di negeri ini.