Categories
PELANCONGAN SELANGOR

MWM terima peserta maraton wanita paling ramai di Malaysia

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 3 MAC: Malaysia Women Marathon (MWM) 2019 menerima peserta maraton wanita paling ramai di Malaysia sehingga mencecah hampir 7,000 orang.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, acara kali ketujuh itu turut menyaksikan jumlah penyertaan dari kaum wanita meningkat saban tahun dengan 1,000 peserta pada kali pertama penganjurannya.

Katanya, pihaknya juga bersedia untuk mencatatkan sejarah berkenaan melalui Malaysia Book of Records sekiranya penyertaan itu terus meningkat untuk MWM pada 2020.

“Untuk pengetahuan semua, acara ini adalah yang keempat di dunia menerima peserta wanita paling ramai dan sudah tentunya ia yang pertama di Malaysia.

“Kejayaan ini menunjukkan simbolik semangat kaum wanita yang berterusan mengejar kejayaan dalam kehidupan masing-masing,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Acara MWM 2019 edisi ketujuh di Padang Timur, di sini, hari ini.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad; EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairudddin Othman dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv.

Pada MWM 2019 ini, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu larian 42kilometer (km), 21km, 10km dan 5km.

Noorul Ashikin berkata, penganjuran acara larian itu juga sebagai usaha untuk mempromosikan Selangor sebagai salah sebuah destinasi pelancongan dengan pelbagai kemudahan disediakan.

Katanya, ‘sports tourism’ juga dapat dipertingkatkan dan memberi kesan positif terhadap ekonomi negara khususnya perniagaan hospitaliti.

“Selain itu kita mahu golongan wanita menjadikan acara ini sebagai landasan untuk memulakan gaya hidup sihat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Lebih 7,000 peserta Malaysia Women Marathon 2019

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 20 FEB: Lebih 7,000 peserta dijangka menyertai Malaysia Women Marathon (MWM) 2019 edisi ke tujuh di Padang Timur, di sini, pada 3 Mac depan.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu larian 42 kilometer (KM), 21 km, 10 km dan 5 km.

Katanya, peserta berpeluang meraih wang tunai RM28,200 dalam cara tahunan yang dilaksanakan sempena Hari Wanita Sedunia yang diadakan setiap 8 Mac itu.

Hadir sama, Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad.

Noorul Ashikin berkata, penganjuran larian itu juga sebagai usaha untuk mempromosikan Selangor sebagai salah sebuah destinasi pelancongan dengan pelbagai kemudahan disediakan.

Katanya, ‘sports tourism’ juga dapat dipertingkatkan dan memberi kesan positif terhadap ekonomi negara khususnya perniagaan hospitaliti.

Pada masa sama, katanya, bagi memperingati tema MWM 2019, karya seni ‘Ode to Women’ oleh Habshah Abang Saufi dipilih untuk didedikasi ke atas t-shirt acara berkenaan.

“Ia menandakan semangat perpaduan dalam menyokong pemberdayaan wanita yang dikaitkan dengan kesaksamaan gender,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Swarovski Malaysia dalam penghasilan pingat.

Sejak 2013, larian berkenaan turut disertai pelari Indonesia, Singapura, Filipina dan United Kingdom.

Selain itu, pada 28 Februari hingga 1 Mac, turut diadakan pameran wanita, persembahan budaya, pertunjukkan pentas dan sebagainya termasuk jualan pelbagai jenis barangan dengan cara berbelanja tanpa tunai.

Tourism turut menawarkan pakej khas bagi tempat-tempat pelancongan di Kuala Selangor antaranya Sky Mirror, Bukit Melawati, Sekinchan, makanan laut di Pasir Penambang dan Kelip-kelip di Kampung Kuantan.

Laluan sekitar akan ditutup bermula jam 2 pagi dan dibuka semula pada 8.30 pagi. Seramai 100 anggota polis dan penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan ditempatkan di program itu.

Sebanyak 4,000 tempat letak kenderaan disediakan di kawasan sekitar antaranya Amcorp Mall, Jalan Gasing, Taman Jaya, Kompleks MBPJ, Armada Hotel Pinnacle dan Hotel Sheraton.