Categories
SELANGOR

Wanita perlu jalani saringan awal kanser

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG JAYA, 11 FEB : Wanita digesa untuk mengambil langkah proaktif dalam penjagaan kesihatan terutama berkaitan penyakit kanser dengan melakukan saringan awal.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, saringan awal itu penting bagi mengelakkan penyakit itu daripada terus berleluasa.

“Di Selangor terutamanya Kerajaan Negeri sudah menyediakan pemeriksaan mammogram secara percuma kepada wanita untuk melakukan pengesanan awal terhadap penyakit kanser payudara.

“Namun, kebanyakan wanita kini saya lihat kurang kesedaran untuk pergi membuat rawatan dan dalam tidak sedar mereka sudah menghidap kanser pada tahap merbahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Karnival Wellness, Welfare, Women (3W) di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, berdasarkan statistik yang diterimanya tidak sampai 50,000 orang menggunakan peruntukan disediakan Kerajaan Negeri untuk memeriksa mammogram.

“Oleh itu, saya berharap wanita di Selangor terutamanya untuk pergi ke Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri masing-masing untuk memohon pemeriksaan mammogram,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tegur sokong pembangkang, Menteri Umno kolot ancam guru

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 MAC: Tindakan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mengeluarkan ancaman terhadap guru yang menyokong pembangkang apabila dinasihatkan untuk berhenti daripada meneruskan perkhidmatan itu disifatkan sebagai tindakan kolot.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata demikian merujuk kenyataan Menteri Umno itu secara sinis yang dilihat sebagai ancaman supaya guru tidak terbabit dengan sebarang bentuk aktiviti kepartian parti pembangkang.

“Dengan perkembangan teknologi maklumat dan minat politik rakyat semakin bercambah baik, agak aneh apabila menteri memilih untuk bersikap kolot dan jumud dengan menafikan hal guru untuk menyokong parti politik bukan kerajaan.

“Barangakali kerana sikap kuno pemimpin inilah yang menyebabkan negara masih gagal mencapai taraf negara maju pada 2020 sehingga terpaksa menganjak, sehingga 2050,” sindirnya dalam kenyataan.

mariahBeliau berkata, menteri itu sewajarnya berhenti mencampuri urusan guru di luar waktu sekolah dan memberi tumpuan terhadap usaha membaiki mutu pengajaran dan pembelajaran.

“Bukan satu rahsia lagi apabila guru turut dibebankan dengan tugasan berbentuk pentadbiran dan perkeranian sehingga mengganggu fokus mereka untuk mengajar.

“Waktu kerja mereka bukan lagi setakat waktu persekolahan, adakala terpaksa dibawa pulang untuk diselesaikan sehingga larut malam.

“Dengan pelbagai bebanan tugasan yang tidak berkaitan ini, sudah tentu guru berhak untuk membuat pilihan dengan menyertai parti lain yang diharapkan boleh menjamin kualiti pendidikan negara pada tahap terbaik,” katanya.

Terdahulu, Mahdzir dilaporkan berkata, guru sekolah yang menghentam kerajaan secara keterlaluan dinasihati meninggalkan profesion mereka sebagai pendidik.

Mahdzir yang dilaporkan sebuah laman portal hari ini berkata, golongan guru yang menyokong pembangkang hingga berani naik ke pentas untuk berceramah lebih baik menjadi calon dan bertanding dalam pilihan raya.

Membidas kenyataan itu, Dr Mariah menyarankan Mahdzir lebih fokus kepada isu pendidikan khususnya di pinggir bandar yang semakin tercicir menikmati infrastruktur pembangunan sepenuhnya.

“Saya menggesa beliau menyiasat sekolah terutama di luar bandar, Sabah dan Sarawak yang sehingga kini tidak menikmati infrastruktur pendidikan yang lebih sempurna.

“Ini antara keutamaan yang perlu beliau laksanakan sebagai Menteri Pendidikan. Namun, menyedari suasana kerajaan yang semakin bersifat autokratik dan tidak terbuka untuk menerima kritikan daripada penjawat awam, saya turut menasihatkan guru dan penjawat awam lain supaya mengambil langkah berwaspada,” katanya.

-NFN-