Categories
SELANGOR

Laksana pelbagai program tangani masalah mental

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Pelbagai program diatur Kerajaan Negeri sepanjang tahun ini bagi menangani permasalahan kesihatan mental dalam kalangan rakyat.

EXCO Kesihatan, Kebajikan dan Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, antara program itu adalah Jelajah Kesihatan Mental; Bengkel Seminar Menangani Stress (Lay Counsellor); Kursus Pemantapan Kaunselor dan Sesi Saingan & Konsultasi di Karnival 3W (Wellness, Welfare, Women).

“Program Jelajah Kesihatan Mental dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) adalah geran yang akan diberikan bagi penganjuran sekurang-kurangnya 20 program kesedaran yang dilaksanakan dengan kerjasama organisasi atau syarikat mempunyai kepakaran dalam bidang psikologi atau berkaitan.

“Program ini dirancang bagi mendekati golongan sasar yang berpotensi mendapat masalah mental seperti kawasan perumahan kos rendah di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, Ahli Dewan Negeri (ADN) boleh membuat permohonan daripada pihaknya jika berminat untuk program itu dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Manakala, katanya, dua bengkel berkaitan ‘Lay Counsellor’ pula sudah dilaksanakan manakala lima lagi sedang dirancang bakal dilaksanakan tahun ini.

“Kita mensasarkan petugas barisan hadapan Kerajaan Negeri terlibat dalam ‘Lay Counsellor’ bagi memastikan mereka boleh mengawal tekanan selain membantu menyampaikan kepada masyarakat kaedah mengatasi kesihatan mental.

“Antara mereka yang boleh turut serta adalah Penyelaras Pusat Wanita Berdaya, Penyelia Penggerak Belia Tempatan, ketua kampung dan pihak memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Manakala, katanya, kursus pemantapan kaunselor pula adalah penganjuran kursus kepada kaunselor bagi menambah kemahiran dan kepakaran mereka dalam bidang baru yang bersesuaian dengan isu semasa.

“Kursus Pemantapan Kaunselor dan Sesi Saingan & Konsultasi di Karnival 3W pula adalah sesi saringan kesihatan mental dan konsultasi oleh kaunselor bertauliah,” katanya.

Terdahulu, ADN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze membawa usul berkaitan tahap kesihatan mental yang semakin serius dalam kalangan masyarakat terutama di Subang Jaya.