Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Isteri MB mahu pelajar RPA mantapkan diri hadapi cabaran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 JUL: Isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad mahu pelajar di Rumah Perlindungan Puteri Arafiah (RPA) terus memantapkan diri dengan pengisian rohani yang cukup supaya mereka tidak tersasar mengulangi kesilapan selepas tamat pengajian di rumah berkenaan.

Beliau berkata, pelajar juga perlu menggunakan peluang yang disediakan untuk melakukan ‘penghijrahan’ diri dan memulakan diari hidup baru selepas 24 bulan berada di RPA.

“Sejak ditubuhkan, saya melihat penambahbaikan secara berterusan dijalankan di rumah ini. Kini, RPA semakin baik.

“Malah, anak-anak di sini gembira dan positif menerima perubahan baru di sini selepas mengikuti pelbagai motivasi yang disediakan.

“Oleh itu, mereka perlu memantapkan kemahiran berfikir, menterjemah, menilai dan membuat keputusan supaya apabila keluar nanti mereka tidak mengulangi kesilapan lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri di RPA, Seksyen 7, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Negeri Selangor (Pekawanis), Shamshida Taharin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof.

Pada masa sama, Masdiana berharap RPA sentiasa melahirkan pelajar yang berkualiti dan berpendidikan bagi menjamin masa depan mereka.

“Saya sentiasa mahukan RPA menjaga kualiti berbanding kuantiti. Sudah tentu jika mahu memperluaskan operasinya, RPA perlu mempunyai kakitangan bertauliah.

“Ini bagi membolehkan kakitangan berupaya untuk mendepani isu berbangkit atau isu-isu baru bagi pelajar-pelajar ini,” katanya.

 

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Rumah Perlindungan Arafiah lahirkan pelajar berpendidikan tinggi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 JUL: Rumah Perlindungan Puteri Arafiah (RPA) kini bukan lagi sekadar rumah penjagaan remaja bermasalah, malah melahirkan pelajar berkemahiran dan berpendidikan tinggi.

Pengerusinya, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, hal itu boleh dibuktikan selepas 14 pelajar berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 10 pelajar berjaya mendapatkan tempat di universiti tempatan antaranya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Beliau berkata, manakala empat lagi pelajar sudah bekerja sepenuh masa.

“Saya berasa sangat gembira melihat kejayaan anak-anak ini. Rumah ini berjaya membina jati diri semula secara perlahan-lahan.

“Walaupun dalam tempoh belajar yang singkat namun mereka berjaya membuktikan bahawa mereka merupakan golongan yang berjaya dan berguna dalam masyarakat,” katanya kepada SelangorKini.

Hadir sama, isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof.

Shamshida berkata, pihak pengurusan rumah ini sentiasa mahukan pelajar terbabit menerima pendidikan yang terbaik dengan menyediakan kelas-kelas tambahan.

“Selain memberikan kelas agama, motivasi dan kemahiran, kita juga menyediakan kelas tambahan bagi memudahkan mereka mengambil peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata hubungan kemesraan pihak pengurusan bukan setakat diantara pelajar, malah alumni, ibu bapa dan keluarga pelajar.

Katanya, pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan untuk mereka sama ada tamat pengajian atau masih dalam pengajian.

“Mana-mana pelajar yang keluar tetapi masih mempunyai masalah mereka boleh menghubung kita untuk kita menjamin mereka terus bersemangat menjalani kehidupan seharian,” katanya.

RPA menyediakan khidmat bimbangan rohani meliputi pendidikan moral, bimbingan solat dan al-Quran, selain menjalani sesi kaunseling individu dan kelompok, bengkel motivasi, rekreasi dan aktiviti seni.

Kemahiran masakan, jahitan, berkebun, kraftangan dan pengendalian komputer turut diajar supaya mereka bersedia mendepani cabaran kehidupan sebenar.