Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Ambil Iktibar Melalui Al-Quran, Elak Fitnah Dan Pilih Kasih

TANJONG KARANG 15 MEI :Umat Islam termasuk golongan pemimpin perlu mengambil iktibar daripada Al-Quran berkenaan situasi semasa yang berlaku di negara ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan demikian apabila banyak perkara yang tidak sihat semakin menular dalam masyarakat kini antaranya penyebaran pelbagai berita buruk yang bertujuan menjatuhkan seseorang dan kumpulan melalui media massa.

“Adalah lebih baik semua pihak mengambil iktibar daripada Al-Quran tentang azab pedih bagi orang yang membawa fitnah dan orang yang suka memfitnah wajarlah menginsafi dirinya,” katanya.

Tambah Abdul Khalid mutakhir ini, timbul pula gelagat pemimpin yang bersikap pilih kasih dalam hal memberi bantuan kepada golongan yang berhak menerima.

Malah katanya, orang ini sanggup berkata ‘tidak rela’ dan ‘tidak redha’ jika pemberiannya diambil oleh yang tidak memberi sokongan kepadanya.

“Padahal Allah SWT melarang sikap begini kerana dia mempunyai harta dan seharusnya harta itu dibahagikan kepada orang miskin dan golongan yang memerlukan serta hendaklah memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu,” katanya.

Beliau juga mengajak pemimpin kerajaan termasuk yang memegang kuasa dalam pelbagai bidang supaya menginsafi diri bahawa Allah SWT adalah Maha Pemilik Kekuasaan.

Sehubungan itu, Abdul Khalid menyeru masyarakat supaya bersikap bersangka baik antara sesama Islam mahupun bukan Islam bagi mewujudkan kehidupan harmoni dalam masyarakat.

“Bagi saya, umat Islam tidak akan berpecah belah dan sesat selagi berpegang teguh pada dua sumber yang ditinggalkan Nabi Muhammad SAW iaitu Al-Quran dan Sunnah.

“Justeru, kita harus menolak sikap dan sifat keterlaluan dalam semua percakapan dan tingkah laku kita supaya tidak bersikap zalim sesama manusia,” katanya.

Tambahnya, kemakmuran, keamanan dan perpaduan sesebuah negeri yang dinikmati oleh rakyat pelbagai kaum terletak kepada persefahaman yang baik di kalangan masyarakat walaupun berbeza fahaman politik.

Abdul Khalid berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran 1433H/2012M peringkat Negeri di Masjid Ar-Raudah, Tanjong Karang di sini.

Majlis tilawah yang bertemakan ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’ disertai 20 peserta yang mewakili setiap daerah di Selangor.

Hadir sama Mufti Selangor, Sahibus Samahah Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammed Khusrin Munawi.