Oleh: NAZLI IBRAHIM
SEPANG, 2 MAC: Cabaran dan krisis pelbagai isu semasa di negara ini dapat diatasi jika masyarakat Islam menerapkan nilai murni dalam Al-Quran.
Menteri Besar, Dato’ Seri Mohmamed Azmin Ali, berkata hikmah dan kreativiti diperlukan untuk menyelesaikan masalah ekonomi, politik, sosial, pendidikan, dan pentadbiran.
“Tatkala berdepan cabaran dan krisis dalam pelbagai bidang yang mencengkam umat Islam dan rakyat keseluruhannya, kita perlu mewujudkan muafakat atas prinsip jelas di dalam Al-Quran.
“Kita juga harus mencari titik temu kepentingan bersama dan kebajikan untuk rakyat terbanyak sebagai keutamaan serta mengenepikan ego, kepentingan sempit kumpulan dan kabilah dan sikap bengkeng.
“Marilah kita bersama-sama mencari jalan penyelesaian kerana kita yakin jika dilakukan bersungguh-sungguh dan ikhlas, Allah SWT akan memberikan kita petunjuk seperti firmanNya dalam surah Al-Ankabut, ayat ke 69,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1437H/2016M di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi di sini, malam tadi.
Mohamed Azmin turut menyeru masyarakat Islam di Selangor supaya memahami isi Al-Quran menerusi kitab tafsir agung dan muktabar seperti Tafsir Al-Tabari, Tafsir Al-Qutubi, Tafsir Al-Razi, Tafsir Ibnu Kasir dan lain-lain.
“Kitab tafsir ini mengandungi lautan ilmu dan juga hasil daripada ijtihad para ulama besar untuk menjelaskan kepada umat berkenaan relevensi Al-Quran dengan semua zaman.
“Ia juga mencakupi bidang seperti hukum, falsafah, kerohanian dan lain-lain,” katanya.
-AA-