SHAH ALAM, 31 JAN: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi meluluskan peruntukan RM800,000 bagi menggantikan dua buah lif penumpang di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah yang rosak sejak dua tahun lalu.
Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata penggantian terbabit untuk memudahkan pergerakan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) sekali gus memberi keselesaan kepada jemaah.
“Lif ini sudah terlalu lama iaitu 30 tahun dan sejak dua tahun lalu ia tidak berfungsi, jadi penggantian ini untuk memberi kemudahan kepada warga emas dan OKU,” katanya selepas penyerahan replika cek kelulusan peruntukan terbabit kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di sini hari ini.
Penyerahan turut disaksikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Shahzihan Ahmad.
Mohd Shahzihan berkata kerja penggantian lif yang menghubungkan tingkat bawah ke dewan solat utama di tingkat satu serta ruang solat wanita di tingkat dua terbabit akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan dijangka siap antara enam hingga 12 bulan.
“Kerja penggantian melibatkan keseluruhan struktur dan dibuat mengikut pilihan reka bentuk sendiri (custom made). Malah, Tuanku sangat menekankan bentuk yang praktikal dan cantik bagi membolehkan OKU mengakses lif dengan baik,” katanya.