Categories
AGENDA NASIONAL

Skuter elektrik dilarang di jalan raya mulai 1 Jan 2021 – polis

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Bermula 1 Januari depan, penggunaan skuter elektrik di atas jalan raya atau kawasan selain yang digazetkan di ibu negara adalah dilarang dan tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 boleh dikenakan terhadap individu ingkar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata penggunaan skuter elektrik hanya dibenarkan di tempat yang digazetkan seperti di taman-taman permainan, kawasan penjalan kaki dan kawasan sekitar pusat beli-belah di ibu negara.

“Penunggang skuter elektrik tidak dibenarkan untuk menggunakannya di atas jalan raya kerana ia menganggu pengguna jalan raya yang lain, boleh mendatangkan bahaya atau terlibat kemalangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai tindakan penunggang skuter elektrik yang menunggang di atas jalan raya di ibu negara.

“Setakat ini, polis telah mengenal pasti tiga kawasan aktif penggunaan skuter berkenaan di ibu negara, iaitu di sekitar Dataran Merdeka, KLCC dan Bukit Bintang.

“Pihak polis sedang memantau orang ramai yang bermain skuter itu di atas jalan raya dan setakat ini, kami tidak mengambil tindakan dan hanya menasihatkan dahulu sebelum tindakan mula dikenakan pada 1 Januari depan,” katanya.

Katanya, penunggang skuter elektrik perlu memohon lesen kebenaran khas daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jika mahu menggunakan skuter berkenaan di atas jalan raya.

Zulkefly berkata, setelah dikuatkuasakan, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 54 APJ 1987 dengan kesalahan pertama didenda sebanyak RM300 dan kesalahan kedua, boleh didenda sebanyak RM1,000 atau penjara tiga bulan.

Penggunaan skuter elektrik mula diperkenalkan pada Mei lepas dan kini menjadi semakin popular dalam kalangan masyarakat kerana ia memudahkan pergerakan khususnya mereka yang berjalan kaki dan menaiki pengangkutan awam.

Kenderaan skuter elektrik tergolong di bawah takrifan Kenderaan Mikromobiliti. Di bawah pindaan terbaharu APJ (Oktober 2020) Seksyen 2 (b) takrifan bagi kenderaan mikromobiliti bermaksud, ‘mana-mana kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia atau gabungan sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia dan mempunyai kelajuan maksimum 50km sejam.

Terdahulu, Zulkefly mengetuai operasi khas pasukan (JSPT) Kuala Lumpur memberi kempen advokasi dan mendidik penunggang skuter elektrik di tiga lokasi di ibu kota.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

MBSA perkenal sewaan skuter elektrik bulan depan

SHAH ALAM, 25 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memperkenalkan perkhidmatan sewaan skuter elektrik, bulan depan.

Datuk Bandarnya, Dato’ Haris Kasim berkata, sebanyak 100 unit skuter elektrik itu akan beroperasi di sekitar pusat bandar.

Katanya, ia akan dilaksanakan melalui syarikat Neuron dan akan dipertingkatkan lagi pada tahun hadapan.

“Inisiatif ini bertujuan memantapkan lagi sistem pengangkutan bandar secara sistem pintar.

“Selain itu, MBSA turut akan membeli sebuah lagi bas elektrik dan akan beroperasi pada 2020 dengan menggunakan laluan Bas Smart Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan Belanjawan MBSA 2020, di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA, di sini.

Haris berkata, MBSA bersama Kerajaan Negeri dalam keadaan siap siaga ke arah agenda bandar pintar dengan pengukuhan teknologi maklumat yang membolehkan pelaksanaan lebih efisien dan menyeluruh.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan fungsi kecekapan dan produktiviti pengurusan sesebuah bandar raya.

“Dalam menyokong gagasan perdana iaitu Negeri Pintar 2025, MBSA mengikut rapat perkembangan terkini globalisasi sebagai persediaan Shah Alam menuju bandar raya pintar.

“Hal ini termasuk kepada peralihan kaedah dan amalan semasa ke dalam sistem seperti pengangkutan awam, pengurusan sisa, pengurusan tenaga (elektrik), pengurusan trafik, keselamatan awam, pengurusan data pengguna dan kesejahteraan sosial masyarakat,” katanya.

Pada 2017, MBSA melancarkan dua unit bas elektrik bagi merealisasikan matlamat bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

Perkhidmatan bas percuma itu menggantikan dua unit bas diesel sedia ada yang disediakan untuk kegunaan orang awam yang menghubungkan Seksyen 19 dan 7 melalui pusat bandar di Seksyen 2, 3, 6 dan 7.

Categories
SELANGOR

Mad Velocifero 1600 mudahkan kawal selia masjid

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 MAC: Dua skuter elektrik Mad Velocifero 1600 disumbangkan kepada Masjid Negeri Shah Alam dan Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13 bagi memudahkan urusan kawal selia masjid terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Cervello Tres, Azrul Helmy Hafiz, berkata sumbangan itu bernilai RM13,000 dan penyelenggaraan secara berterusan akan dilakukan pihak syarikat.

ceo cervellostres a“Kami dari awalnya memang berniat untuk mewakafkan kepada pihak masjid bagi tujuan pengurusan dan Alhamdulillah hari ini kita dapat melaksanakannya.

“Dari segi penyelenggaraan, pihak masjid hanya perlu telefon jika ada masalah berkenaan produk itu.

“Kami akan terus menjalinkan hubungan dengan masjid lain jika berminat, malah sudi mewakafkan untuk kebaikan bersama,” katanya kepada SelangorKini.

Cervello Tres dimiliki tiga anak muda itu adalah syarikat baru bertapak di negara ini, bagaimanapun sambutan diterima amat menggalakkan.

Azrul yang juga anak jati Selangor menjangkakan sebanyak 10,000 unit akan terjual di Malaysia sehingga hujung tahun ini.

“Kita bertanggungjawab memperluaskan pasaran skuter elektrik ini bukan sahaja di Malaysia malah Singapura dan Brunei.

cervellotres wakafkan skuter kepada Masjid Negeri (ASRI) (1)“Setakat ini sambutan amat menggalakkan, kami juga sudah menerima tempahan 2,500 unit,” katanya.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya berharap pemberian itu akan memudahkan kakitangan masjid membuat kawal selia kawasan sekitar.

“Terima kasih kepada syarikat yang menyumbang.

“Semoga sumbangan ini memudahkan pentadbiran masjid dari sudut kawal selia dan ketempat lain. Insyaallah kita akan gunakan sebaiknya,” katanya.

-AA-