Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.1600/1700 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu mengukuh, disokong oleh data pekerjaan, yang menunjukkan kadar pengangguran menurun dan hasil Perbendaharaan AS yang meningkat.

Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1600/1700 berbanding dolar AS daripada 4.1550/1600 semasa ditutup pada Isnin.

Seorang peniaga berkata ringgit merupakan mata wang Asia yang mencatatkan prestasi terbaik, mendapat manfaat daripada dolar AS yang rendah dan permintaan terhadap unit tempatan.

“Kami menjangka ruang untuk ringgit menguji paras 4.12-4.13 berbanding dolar AS pada minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Keputusan mengenai Kadar Dasar Semalaman oleh Bank Negara Malaysia pada 10 September akan menjadi penting apabila penurunan kadar tidak dilakukan dijangka dapat mengukuhkan lagi kenaikan ringgit, katanya.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit turut diniagakan bercampur-campur.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0416/0491 daripada 3.0411/0452 pada Isnin dan susut berbanding yen kepada 3.9149/9247 daripada 3.9113/9171.

Ringgit naik berbanding pound kepada 5.4712/4848 daripada 5.4804/4887 semalam dan meningkat berbanding euro kepada 4.9105/9235 daripada 4.9145/9209.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.2500/2560 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Ringgit meneruskan aliran peningkatannya apabila dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini, didorong terutamanya oleh kelemahan mata wang Amerika Syarikat itu serta harga minyak yang stabil, kata penganalisis.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan berakhir pada 4.2500/2560 berbanding dolar US daripada 4.2505/2545 semalam.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata ketegangan Washington-Beijing yang meruncing turut meningkatkan lagi risiko yang dihadapi oleh pelabur menjelang pilihan raya presiden Amerika Syarikat tidak lama lagi.

“Pasaran perlu bersedia untuk menyaksikan lebih banyak perkembangan akan datang, walaupun selepas Presiden Donald Trump tidak lagi berkuasa di Rumah Putih. Malah, kemungkinan Joe Biden mengambil alih pentadbiran juga dijangka tidak akan mengubah hala tuju bagi meredakan hubungan China-Amerika Syarikat,” kata Innes dalam nota penyelidikannya.

Selain itu, Innes berkata, walaupun dolar US-renminbi diniagakan pada paras melebihi 7.01, pasaran mata wang berkemungkinan besar menangguhkan penjualan dolar US berikutan pedagang cenderung untuk mencatat keuntungan susulan penyusutan seterusnya.

Dalam pada itu, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, diniagakan menokok 0.14 peratus kepada US$44.35 setong, setakat ini.

Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0670/0716 daripada 3.0692/0725 pada Rabu dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.9660/9724 daripada 3.9721/9769.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.9160/9233 daripada 4.9064/9127 semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4090/4175 daripada 5.3871/3930 sebelum ini.

-BERNAMA