Categories
NASIONAL

KFC, McDonald’s diminta jelas kenaikan harga

SHAH ALAM, 1 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah menghantar notis kepada restoran makanan segera KFC dan McDonald’s untuk meminta penjelasan berhubung kenaikan harga makanannya, baru-baru ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, Timbalan Pengarah Penguat kuasa KPDNEHP, Iskandar Halim Sulaiman berkata, kedua-dua restoran itu diberi tempoh sehingga 5 Januari ini untuk menghantar laporan mereka.

“Notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 yang memerlukan mereka memberi penjelasan sebab kenaikan harga.

“Ada undang-undang untuk melindungi pengguna, isu ini juga dibangkitkan di media sosial dan media. Sebab itu kita tanya mereka mengapa naikkan harga,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah amaran, sebaliknya hanya notis meminta penjelasan.

Terdahulu, KFC menjelaskan harga makanan yang disenaraikan bermula Disember 2018 adalah termasuk 6 peratus cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Katanya, terdapat beberapa pelarasan kecil bagi harga produknya untuk memastikan syarikat berkenaan dapat terus menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan kenaikan mendadak harga ayam KFC yang disifatkan pengguna terlalu tinggi.

Dikatakan harga set ayam Snack Plate yang sebelum ini berharga RM12.30 naik kepada RM15.30, manakala Dinner Plate dari RM15.60 kepada RM19.60.

Categories
SELANGOR

HIJRAH jalin hubungan erat bersama usahawan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 23 MAC: Yayasan Hijrah Selangor melaksana program Lawatan dan Aktiviti ‘Indoor Game’ untuk anak usahawan sempena cuti sekolah bagi mengeratkan hubungan usahawan dan pihak pengurusan HIJRAH.

Ketua Pegawai Eksekutif HIJRAH Selangor, Roslim Md Akhir berkata, program itu adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama McDonald Bukit Tinggi dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Katanya, ia diadakan bertujuan membina jalinan yang lebih erat antara peserta HIJRAH dan anak.

“Selain dapat mengeratkan hubungan bersama usahawan, secara tidak langsung mereka akan lebih setia bersama HIJRAH dan bayaran balik juga menjadi lancar. Selain itu, kita juga bukan hanya mahu usahawan ini berjaya dalam perniagaan tetapi turut cemerlang dalam membangunkan keluarga yang bahagia dan maju,” katanya kepada SelangorKini.

Roslim berkata, seramai 30 anak usahawan antara umur lima hingga 12 tahun menyertai beberapa program yang dilaksanakan HIJRAH termasuk pertandingan mewarna, program membaca buku bersama PPAS, pertandingan congkak juga sesi bersama beads dan borders.

Tambahnya lagi, Hijrah turut mengambil berat hal pendidikan anak-anak usahawannya dari segi pembelajaran.

“Kita juga mengadakan program seminar ketika cuti sekolah khusus bagi mereka yang bakal menduduki UPSR, PT3 dan SPM.

“Selain itu, HIJRAH juga berkolaborasi dengan Universiti Selangor (UNISEL) dalam mengadakan program bertujuan memberi pendedahan suasana di institusi pengajian tinggi kepada mereka sebagai motivasi untuk cemerlang dalam pelajaran.

“Oleh itu, HIJRAH amat menggalakkan syarikat swasta dan agensi kerajaan yang ingin melaksanakan CSR turut serta dalam program yang bakal kita laksanakan bersama usahawan,” katanya.

Sementara itu, peserta HIJRAH, Nazurah Abd Hamid, 30, berkata program itu memberi ruang kepada usahawan untuk meluangkan masa bersama anak ketika musim cuti sekolah.

“Program ini bagus untuk ibu bapa dan anak untuk luangkan masa kerana mungkin sebelum ini kita terlalu sibuk berniaga jadi masa untuk mereka kurang.

“Selain itu, melalui program ini juga kita dapat mengenal usahawan lain dan secara tidak langsung berkongsi ilmu perniagaan antara peserta,” katanya.

Manakala Duta Khidmat Pelanggan Mcdonalds Bukit Tinggi, Rosniati Nasarun, 24, berkata pihaknya berbesar hati dan gembira dapat menjalin kerjasama dengan HIJRAH kerana dapat mengerat hubungan Mcdonalds dan masyarakat.

Categories
GLOBAL

McDonald’s tutup 169 restoran di India

NEW DELHI 23 OGOS: McDonald’s menutup 169 restorannya di wilayah utara dan timur India berikutan pertikaian francais.

Rangkaian makanan segera Amerika Syarikat (AS), mendakwa berlaku kegagalan pembayaran royalti, berkata pada Isnin, ia telah menamatkan perjanjian antara McDonald’s India Pvt Ltd dan Connaught Plaza Restaurant Ltd (CPRL).

Usaha sama 50-50 antara ahli perniagaan tempatan, Vikram Bakshi dan syarikat AS, CPRL telah mengusahakan restoran McDonald’s di wilayah utara dan timur India.

McDonald’s berkata, CPRL perlu ‘menghentikan penggunaan keseluruhan sistem McDonald’s (yang termasuk hak milikan nama, cap dagangan, reka bentuk, penjenamaan, amalan serta dasar operasi dan pemasaran, resepi makanan serta spesifikasi McDonald’s) dan harta inteleknya berkaitan semua restoran berkenaan dalam tempoh 15 hari dari tarikh notis penamatan tersebut
McDonald’s mengalami pertikaian berpanjangan dengan Bakshi, yang dipecat daripada jawatan pengarah urusan CPRL pada 2013.

Tribunal Undang-undang Syarikat Negara India pada bulan lepas memutuskan mengembalikan semula jawatan itu kepada Bakshi.

Bakshi berkata, beliau akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap penamatan perjanjian francaisinya.

McDonald’s telah menutup 43 daripada 55 restorannya di ibu negara India setakat Jun 2017.

Penutupan perniagaan keseluruhan McDonald’s di utara dan timur India akan menjejaskan ribuan pekerja.

Syarikat AS itu memasuki India ketika pembaharuan pasaran pada 1990-an dan hari ini ia mengendalikan lebih 300 restoran di 65 bandar.

Rakan francaisnya di wilayah selatan dan barat India ialah Hardcastle Restaurants Private Ltd.

SUMBER: BERNAMA