Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kakitangan Media Selangor ungguli Anugerah Media MDKL 2018

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 16 MAC: Enam kakitangan Media Selangor mengungguli Anugerah Media bagi kategori Media Cetak dan Televisyen untuk 2018 daripada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Daripada enam kakitangan itu, tiga daripadanya dari akhbar SelangorKini iaitu Penolong Editor, Hafizan Taib dan Wartawan Norhayati Umor serta Wan Muhammad Zareef Muzammil Wan Zulfikri.

Manakala, daripada TV Selangor pula dianugerahkan kepada Penolong Penerbit, Anna Farina Abdul Rauf dan Ahmad Nahar Sulaiman serta Jurukamera Kanan, Hanafi Mohamed.

Masing-masing membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai.

Anugerah berkenaan disampaikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, pada Majlis Penghargaan Media dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MDKL 2018 yang diadakan di Galeri Jualan, Bandar Rimbayu, di sini.

Hadir sama, Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid.

Amirudin dalam ucapannya berkata, hubungan baik antara Pihak Berkuasa Tempatan mahupun Kerajaan Negeri dengan media perlu dipupuk dan dipertingkatkan sebaik mungkin.

Katanya, hal itu kerana peranan media untuk melaporkan sebarang aktiviti sangat penting bagi memberi impak kejayaan sesebuah organisasi.

“Media yang adil serta bertanggungjawab akan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

“Laporan pihak media adalah bahagian penting untuk kita menambahbaik pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.

Media Selangor adalah lidah rasmi Kerajaan Negeri di bawah anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar, iaitu Communication Corporation Sdn Bhd.