Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Pembelian jenis vaksin Covid-19 dimuktamad seawal Mei

SHAH ALAM, 3 APRIL: Kerajaan Selangor akan memuktamadkan jenis vaksin Covid-19 yang dibeli daripada kerajaan persekutuan untuk kegunaan negeri pada awal Mei ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu masih dibincangkan secara terperinci bersama pihak pengeluar sebelum membuat keputusan pembelian.

“Kita akan putuskan (jenis vaksin) seawal Mei untuk memastikan akhir Jun kita akan dapat vaksin tersebut seterusnya membantu mempercepatkan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.

Beliau ditemui Media Selangor selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Alumni 4B (Bersatu, Bersetia, Belajar dan Berkhidmat) di Hotel De’Palma hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan melancarkan program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (Imunisel) di Dataran Puchong Permai, Puchong esok.

Menurutnya, program itu bertujuan membantu masyarakat yang tidak memiliki telefon pintar mendaftar suntikan vaksin secara dalam talian dengan bantuan ketua masyarakat, ahli majlis dan sukarelawan.

Minggu lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Selangor sedang mengenal pasti lima vaksin ditempah kerajaan persekutuan sebelum membuat keputusan pembelian.

Sebelum ini, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk pembelian vaksin bagi membantu mempercepatkan program vaksinasi negara.

Pada 18 Januari lalu, Kerajaan Negeri berhasrat membeli kira-kira lima juta dos vaksin Covid-19 bagi rakyat negeri itu dan usaha berkenaan disambut baik kerajaan persekutuan serta Kementerian Kesihatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM jangka 500 kes Covid-19 sehari menjelang Mei

PUTRAJAYA, 15 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan 500 kes harian positif Covid-19 menjelang Mei ini, bergantung kepada tahap kepatuhan rakyat terhadap tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan trend penurunan nilai kebolehjangkitan (RT) atau R-naught (R0) iaitu 0.87 semalam berbanding 0.9 pada 28 Feb lepas.

“Namun begitu, sekiranya SOP tidak dipatuhi, RT dijangkakan meningkat semula melebihi 1.0, begitu juga bilangan kes harian,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.

Sehingga semalam, katanya kebanyakan negeri mencapai nilai RT kurang 1.0 kecuali Terengganu dan Pulau Pinang.

Mengenai taburan kes Covid-19 mengikut daerah di Semenanjung, Dr Adham berkata bagi tempoh 28 Feb hingga 14 Mac, zon hijau meningkat daripada enam daerah kepada 11 daerah.

Daerah terbabit adalah empat di Kedah, masing-masing dua di Pahang dan Perak manakala masing-masing satu di Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Dalam tempoh sama juga berlaku pengurangan zon merah iaitu daripada 42 daerah turun kepada 35 daerah yang direkodkan di Semenanjung, manakala zon kuning meningkat daripada 31 daerah kepada 37 daerah.

– BERNAMA